Ahad, 17 April 2011

Tahniah Kepada BN Kerana Memenangi PRN Sarawak, Kepada Pakatan Rakyat Cerminlah Diri Dahulu, Mengapa Boleh Kalah?

Setelah lebih kurang sepuluh hari berkempen secara intensif akhirnya pemimpin-pemimpin BN boleh tersenyum lebar. Kemenangan itu pastinya amat manis. Apa tidaknya dalam keadaan gelombang besar kebencian rakyat Sarawak  terhadap regimTaib Mahmud yang memungkinkan Barisan Nasional tumpas, dan dalam keadaan permasalahan itu sukar dirungkaikan oleh pemimpin tertinggi BN khususnya Najib dan timbalannya yang cuba berusaha untuk memaksa Taib mengundur diri, namun akhirnya BN mengecapi kemenangan yang tidak diduga itu. Kemenangan itu bukan sekadar untuk mengekalkan kuasa, bahkan kuasa dua pertiga masih dapat dipertahankan. Merosotnya undi rakyat berketurunan Tiong Hua tidak lebih daripada undi protes terhadap kerakusan Taib Mahmud berkuasa. Apakah ini bermakna Orang Melayu Sarawak dan rakyat peribumi masih setia terhadap BN?
     Jika berdasarkan analisis pada peringkat awal, tidak kira Orang Melayu, Orang Iban, Orang Dayak, Orang Ulu apatah lagi rakyat berketurunan Tiong Hua, rata-rata mereka penuh dengan keazaman untuk menumbangkan regim Taib Mahmud. Rakyat berbangsa Tiong Hua secara total akan menolak kerajaan BN. Mereka sudah tidak lagi mempercayai janji-janji Kerajaan BN. Lebih-lebih lagi Taib Mahmud yang sudah kekal berkuasa selama 30 tahun. Pendek kata rakyat Tiong Hua itu sudah muak dan mual. Namun, selepas pengiraan undi selesai ternyata BN masih ampuh di Sarawak. Adakah segala ramalan dan analisis daripada pelbagai pihak itu tidak tepat? Atau ada faktor lain yang telah membantu BN untuk kekal berkuasa.
    Untuk mencari jawapan terhadap persoalan itu, pada pagi  17 April, saya cuba menelefon beberapa orang rakan yang juga  merupakan rakyat  serta pengundi rakyat Sarawak. Saya bertanyakan pandangan mereka terhadap pilihan raya negeri yang masih hangat itu. Sebelum penamaan calon, rakan-rakan saya itu rata-rata menyatakan dengan penuh optimis dan yakin bahawa BN dan regim Taib Mahmud kali ini pasti akan tumbang. Mereka menyatakan bahawa sekiranya Taib Mahmud tidak mengundur diri sebelum PRN Sarawak, 70% - 80% rakyat Sarawak akan berpaling kepada Pakatan Rakyat. Dan pandangan itu seakan-akan benar khususnya apabila tiba penamaan calon bilamana tidak ramai yang menyokong atau menyertai kem Barisan Nasional sebaliknya kem Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang hangat dan luar biasa. Meskipun ada sesetengahnya yang masih atas pagar, masih keliru dan masih ramai yang masih takut menyatakan pendirian namun pada peringkat awal, harapan untuk BN mengekalkan kuasa amat tipis. Demikian pandangan beberapa orang rakan di Sarawak. Dan pandangan ini disahkan pula oleh beberapa kajian yang dibuat oleh pensyarah UNIMAS yang mendapati bahawa sudah terlalu lewat untuk BN melakukan sesuatu. Rakyat sudah terlalu lama menunggu perubahan khususnya dari kepimpinan. Mereka sudah muak dan cuak dengan regim Taib Mahmud.
     Hampir semua kajian yang dilakukan mengesahkan bahawa kerajaan BN yang diketuai Taib Mahmud hanya menunggu hari untuk dipencenkan. Namun setelah hari pengundian ternyata ramalan itu tidak berlaku. Menurut analisa skeptikal yang dilakukan oleh beberapa orang rakan, ternyata kemenangan BN itu ada kaitannya dengan strategi Pakatan Rakyat khususnya tindakan Ketua Umum Parti Keadilan mengumumkan bakal ketua Menteri Sarawak sebelum kemenangan mereka capai. Pengumuman yang terlalu awal terhadap nama bakal Ketua Menteri Sarawak menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dan akhirnya mencetuskan sentimen yang telah memungkinkan rakyat berpaling semula kepada BN. Jika Pakatan Rakyat menang bermakna Orang Iban yang selama ini mengidamkan jawatan penting itu akan kempunan, sedangkan golongan minoriti Orang Ulu yang bakal menjadi ketua menteri. Pengumuman Baru Bian sebagai bakal ketua menteri Sarawak juga mengecutkan orang-orang Melayu dan Islam Sarawak. Justeru mereka lebih rela berketuakanaTaib Mahmud daripada kehilangan kuasa. Kuasa Orang Melayu dalam politik Sarawak tidak harus diperjudikan semata-mata rasa benci dan cuak terhadap regim Taib Mahmud. Oleh kerana itu jika dicampurkan kerusi yang didokong oleh Orang Melayu dan Islam dengan orang Iban dan Dayak ternyata bilangan kerusi itu lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan.
     Kematangan, strategi serta kebijaksanaan memanipulasi isu yang ditimbulkan telah membantu BN mengekalkan kuasa di Sarawak. Rasa benci yang meluap-luap dan kemarahan terhadap Taib Mahmud sanggup dilupakan kerana isu Melayu dan Iban itu mengatasi segalanya. Ternyata senjata yang dianggap mampu membunuh Taib Mahmud itu telah membantu beliau untuk kekal berkuasa. Bagi penganalisis luar, perisytiharan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak adalah senjata ampuh Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan BN. Hal ini kerana mereka gagal memahami sentimen dan aspirasi rakyat seluruhnya. Kuasa undi dan pengaruh politik Orang Melayu Sarawak gagal mereka fahami. Dalam keadaan demikian, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyelami isu snsitif ini.
     Perkara kedua, dalam kempen PRN Sarawak baru-baru ini terlalu banyak isu peribadi yang dibawa semasa kempen itu. Isu peribadi Datuk Seri Najib dan Rosmah Mansor terus menghiasi kempen Daruk Seri Anwar Ibrahim. Menyatakan kelemahan dan keaiban orang lain akan menyebabkan pandangan dan persepsi  negatif  rakyat terhadap si penceramah. Demikian jugalah bila mana DSAI ditekan dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan oleh pihak pemerintah, maka akan timbul persepsi negatif terhadap kerajaan manakala dalam masa yang sama DSAI dianggap sebagai hero dan pemimpin yang berjiwa besar. Jika DSAI pun menceritakan kelemahan peribadi Najib secara melampau, sudah pasti tindakan itu mengundang pelbagai persepsi negatif. Sepatutnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu menjelaskan bahawa Orang Melayu dan Orang Islam serta Orang Iban dan Dayak serta kaum lain tidak mungkin akan kehilangan kuasa skiranya Baru Bian dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak. Penjelasan itu amat penting kerana isu itu menjadi pembunuh senyap terhadap keinginan untuk mengundi Pakatan Rakyat. Dan bukan menjurus kepada usaha memburuk-burukkan kepimpinan Taib Mahmud dan pemimpin-pemimpin BN semata-mata.
     Di pihak BN, kemenangan itu bukan bermakna pilihan raya umum boleh diadakan serta-merta. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, PRN dan pilihan raya umum untuk menentukan kerajaan persekutuan adalah dua perkara yang berbeza. Biasanya kerajaan negeri ditadbir oleh parti mana sekalipun akhirnya kelak akan akur terhadap parti yang membentuk kerajaan persekutuan. Di Sabah ketika PBS menumbangkan kerajaan Berjaya, akhirnya menyertai Barisan Nasional, parti yang memerintah di peringkat persekutuan. Ini bermakna jika pemimpin-pemimpin BN masih menganggap bahawa kemenangan itu merupakan indikator untuk mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan, saya fikir perkiraan itu tidak tepat. Rakyat Sarawak yang terpaksa menelan pahit kemenangan BN dan pengekalan kuasa Taib Mahmud itu pasti menunggu janji para pemimpin BN semasa PRN. Jika Taib Mahmud belum berundur sebelum PRU ke-13 kelak, saya percaya undi untuk menentukan ahli Parlimen akan diberikan kepada Pakatan Rakyat. Dalam pemilihan ahli Parlimen itu, tidak akan timbul soal Orang Melayu dan Iban akan kehilangan kuasa kepada puak minoriti sebagai mana PRN lalu. Ramai juga yang percaya bahawa Taib Mahmud tidak mungkin akan berundur dalam masa terdekat. Jika ini berlaku maka sokongan terhadap Taib Mahmud benar-benar akan membawa rebah. Dan janji-janji semasa PRN baru-baru ini juga tidak mungkin akan dapat ditunaikan kesemuanya. Manakala rasa muak dan cuak rakyat Cina di Sarawak tidak mungkin mudah dipujuk dalam masa terdekat. Jadi, apakah mungkin para pemimpin BN sanggup menghadai risiko ini jika mereka mahu terus berkuasa? Sama-samalah kita tunggu.

Ahad, 3 April 2011

Sesungguhnya Ahli UMNO Akar Umbi Mengharapkan PM Jadi Pemimpin Berwibawa.

Najib Jadilah PM Yang Berwibawa
SUDAH dua minggu isu video lucah bergentayangan di seluruh negara. Semua orang sudah tahu termasuk budak-budak Tadika. Mereka terpinga-pinga dan jadi keliru tentang isu ini. Pemimpin politik negara ini ada dalam video lucah? Bingung. Saya yakin sudah ramai yang menontonya secara haram. Mereka dipanggil seorang demi seorang termasuk (mungkin) ulama?

Ini adalah satu strategi. Tayangan dibuat secara selektif dan eksklusif. Mereka yang menonton akan bercakap mengikut persepsi dan agakan mereka. Ia juga mengikut mood dan selera mereka.

Kalau mereka kebetulan membenci tokoh yang ada dalam video itu akan ditokok tambahkan. Akan diperpanjangkan mengikut selera amarahnya. Manakala kalau kebetulan yang menontonya itu bersimpati kepadanya, dia akan mendiamkan diri saja kalau benar wajah dalam video itu tokoh berkenaan. Tentu mereka akan mengurut dada dan menangis mengenangkan apa yang berlaku.

Saya juga merasakan bukan saja isu video berkenaan sudah melata ke seluruh dunia, mungkin sudah sampai ke Altartika tetapi mungkin kliknya juga sudah pun 'sedia' untuk ditayangkan secara umum. Tunggulah, tidak esok, lusa tidak lusa tahun depan ia akan ditayangkan. Pasti. Saya yakin pihak penerbit, pengedar dan pembikin hanya menunggu masa saja. Tidak timbul lagi mereka takut kerana 'permit tayangan' sudah pun diperolehi.

Saya selalu katakan ada dua kesukaan manusia, memberi tahu kepada orang ramai apa yang dia tahu dan ingin mengetahui sesuatu dan memburunya. Kalau ia ada cerita ia akan bisik atau bikinkan you tube dan sebarkan. Kalau tidak tahu, dia akan bertanya dan mengorek situ dan sini sehingga diperolehi apa yang diinginikan itu.

Hari ini sudah berbagai tafsiran ke atas video berkenaan. Masih samar siapa yang menjadi pelakunya. Tetapi yang menyebar dan mengambil tanggungjawab sudah jelas. Siapa Datuk T sudah pun jelas dan tidak usah diceritakan lagi mengenai latar belakang dan sejarahnya.

Setelah dua minggu cerita video ini sudah 'mencepuahkan' minda rakyat negara ini saya tertanya sendiri kenapa Perdana Menteri Najib Razak masih mendiamkan diri. Belum terdengar ke telinga saya ulasan dari perdana menteri mengenai isu berkenaan.

Tidak seperti isu DNA baru-baru ini Najib mendesak Anwar menyerah sample DNA kepada mahkamah. Tetapi berlainan dengan isu video lucah ini. Najib sok menjadi alim mengenai hal ini. Kenapa? Apakah mendiamkan diri juga salah satu tektik dan strategi?

Sebagai PM Najib tidak boleh duduk diam. Dia perlu bercakap dan mengulasnya. Sebab ia bukan isu personal antara seseorang dengan seseorang. Tetapi sudah menjadi isu umum. Polis pun sudah menyiasat dan mengesahkan akan ketulenan video berkenaan. Najib perlu ingat bahawa dirinya adalah hak dan kepunyaan dua entiti ataupun pihak. Satu hak Umno dan satu lagi hak rakyat. Najib mesti membelah dua jasa dan jiwanya.

Atas kapasiti presiden Umno Najib boleh melakukan apa saja untuk ahli dan penyokong parti itu. Tetapi untuk rakyat beliau kena perlakukan dengan adil dan saksama. Tindakan sebagai ahli politik kena dibezakan dengan tindakan sebagai pemimpin negara.

Apakah dengan mendiamkan diri Najib tidak mahu orang menuduh dia terlibat? Kalau itulah pendiriannya ia adalah salah besar. Apapun mengenai isu video ini kerana ia bermotifkan politik Najib tidak boleh mengelak dari memperkatakannya. Semakin dia menyepikan diri semakin orang mempersoalkan keikhlasannya.

Kalau mengikut perkembangan terbaru, kes video lucah ini semacam akan dibawa ke mahkamah. Kata Ketua Polis Negara, Ismail Omar kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara. Peguam Negara akan menentukan sam ada hendak dakwa atau tidak. Tidaklah pula saya arif siapa yang akan didakwa. Apakah orang bertanggunjawab menyebar, membikin, menonton atau watak-watak yang ada dalam video berkenaan.

Saya ingin memberi pandangan sedikit kepada Najib kalau-kalau hendak dengar. Rasanya baik beliau campur tangan mengenai isu video berkenaan. Dalam hal ini Najib yang ada kuasa penuh boleh menggunakan kuasanya. Tidak payah Najib kata dia berkecuali kerana dunia tahu sejauh mana dan sebanyak mana kuasa seorang perdana menteri. Kata Abdullah Badawi selepas menjadi PM, banyak benda yang sebelum itu dia tidak tahu, kemudian tahu.

Setelah isu ini sudah panas dan hangat, elok kalau Najib mengambil sikap menghentikan isu video berkenaan. Sama ada ia melibatkan Anwar atau tidak, wajar ia dihentikan. Alasannya perkara itu menjijikkan. Dalam perhatian saya adalah silap kalau isu ini diperpanjangkan kerana ia tidak memberi banyak manfaat kepada Najib dan politik BN sendiri. Makin dimainkan makin menimbulkan kemaharan.

Isu video itu bukan seperti filem Ali Bapa Bujang Lapok, Do Re Me, Labu Labi atau pun Ibu Mertuaku. Filem-filem itu tidak jemu ditonton kerana nilai seni dan klasiknya. Tetapi cerita video lucah ini amat menijik dan menyemakkan dan mencepuahkan minda. Apakah seorang PM seperti Najib mengizinkan perkara seperti ini?

Rasanya kalau Najib ingin tampil sebagai seorang pemimpin berwibawa, dilihat berakhlak dan mempunya integriti serta sukakan kepada kedamaian, inilah masanya. Beliau perlu berbudi dan berjasa dalam hal ini untuk dirinya sendiri. Beliau bangkit dan berkata sepatah, hentikan isu video lucah ini kerana ia tidak menguntungkan sesiapa baik di dunia maupun di akhirat. Kalau Najib berani berbuat begitu darjah dan markahnya akan melonjak.

Kalau Najib bingkas berbuat demikian saya yakin penghormatan kepada beliau makin tinggi, dan darjatnya juga sebagai pemimpin tenang dan matang makin menyerlah. Saya rasa bukan saja rakyat terbanyak menyanjungi langkah Najib itu tetapi dari kalangan pembangkang juga.

Isu video lucah ini peluang untuk Najib membina imejnya. Sikap begitulah saya rasakan ia termasuk dalam ciri tranformasi hendak dilakukan Najib. Biarlah kalau orang mengatakan usaha menghentikan itu Najib sebagai penakut tetapi hakikatnya tindakan itu adalah afdal dan alua' dari sisi rakyat yang cintakan perdamaian.

Ingat dan insaflah seorang perdana menteri bukan saja menjaga kepentingannya dan kumpulannya tetapi juga memeliharaan kepentingan dan kumpulan rakyat seluruhnya. Najib akan dikenang kalau ia berani melakukan sesuatu yang diluar pemikiran mereka yang desperate. Beranikah Najib? Sesekali apa salahnya kalau kita sepakat menyusun jari membuka pintu syurga auntuk ummah kita.

Saya setuju dengan pandangan tuan MSO bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib perlu bertindak secara profesional dan rasional khususnya yang berkaitan dengan isu video lucah yang dipaparkan oleh datu T. Memang benar rakyat Malaysia cintakan kemanan dan keharmonian, sebagai ahli UMNOP akar umbi kami merasakan bahawa isu video lucah itu sudah melampaui batas moral dan nilai sebagai manusia yang diberikan akal. Berapa orang yang mampu memaksa otaknya untuk mempercayai isu tersebut? Dan kalau isu itu terus diperpanjangkan semata-mata ia ada kaitan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, maka ternyata pada telahan rakyat umum ada benarnya bahawa video itu sengeja dicipta untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tidak bermoral. Dan persepsi rakyat bahawa Datuk Seri Najib dan isterinya terlibat akan semakin kuat. Sebaliknya jika Datuk Seri Najib, dengan kuasa yand ada padanya menghentikan segala pertikaian tentang isu itu, saya pasti dakwaan bahawa Datuk Seri Najib terlibat dengan sendirinya akan terjawab meskipun mungkin ada orang yang tidak mempercayainya. Bahkan seperti kata MSO, tindakan itu kelak akan melonjakkan nama Najib sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, berwibawa dan bukan sebagai pemimpin yang mudah diperalatkan. Saya amat bersetuju bahawa akan ada banyak kebaikan jika Datuk Seri Najib terus menamatkan isu dan kontroversi video lucah itu. Memang tidak dapat dinafikan terdapat ahli-ahli politik atau pemimpin -pemimpin politik yang pasti akan menganggap tindakan itu sebagai pengecut, atau mungkin bodoh, tetapi rakyat di bawah ini amat cintaikan keamanan dan keharmonian. Pemimpin yang menjadi idaman sebilangan besar rakyat dibawah ini ialah pemimpin yang berjiwa harmoni, mesra dan rasional. Janganlah kerana musuh politik maka Datuk Seri Najib terus mendiamkan diri. Kami ahli-ahli UMNO di bawah ini masih terus ternanti-nanti tindakan Datuk Seri Najib dan timbalannya.