Setelah lebih kurang sepuluh hari berkempen secara intensif akhirnya pemimpin-pemimpin BN boleh tersenyum lebar. Kemenangan itu pastinya amat manis. Apa tidaknya dalam keadaan gelombang besar kebencian rakyat Sarawak terhadap regimTaib Mahmud yang memungkinkan Barisan Nasional tumpas, dan dalam keadaan permasalahan itu sukar dirungkaikan oleh pemimpin tertinggi BN khususnya Najib dan timbalannya yang cuba berusaha untuk memaksa Taib mengundur diri, namun akhirnya BN mengecapi kemenangan yang tidak diduga itu. Kemenangan itu bukan sekadar untuk mengekalkan kuasa, bahkan kuasa dua pertiga masih dapat dipertahankan. Merosotnya undi rakyat berketurunan Tiong Hua tidak lebih daripada undi protes terhadap kerakusan Taib Mahmud berkuasa. Apakah ini bermakna Orang Melayu Sarawak dan rakyat peribumi masih setia terhadap BN?
Jika berdasarkan analisis pada peringkat awal, tidak kira Orang Melayu, Orang Iban, Orang Dayak, Orang Ulu apatah lagi rakyat berketurunan Tiong Hua, rata-rata mereka penuh dengan keazaman untuk menumbangkan regim Taib Mahmud. Rakyat berbangsa Tiong Hua secara total akan menolak kerajaan BN. Mereka sudah tidak lagi mempercayai janji-janji Kerajaan BN. Lebih-lebih lagi Taib Mahmud yang sudah kekal berkuasa selama 30 tahun. Pendek kata rakyat Tiong Hua itu sudah muak dan mual. Namun, selepas pengiraan undi selesai ternyata BN masih ampuh di Sarawak. Adakah segala ramalan dan analisis daripada pelbagai pihak itu tidak tepat? Atau ada faktor lain yang telah membantu BN untuk kekal berkuasa.
Untuk mencari jawapan terhadap persoalan itu, pada pagi 17 April, saya cuba menelefon beberapa orang rakan yang juga merupakan rakyat serta pengundi rakyat Sarawak. Saya bertanyakan pandangan mereka terhadap pilihan raya negeri yang masih hangat itu. Sebelum penamaan calon, rakan-rakan saya itu rata-rata menyatakan dengan penuh optimis dan yakin bahawa BN dan regim Taib Mahmud kali ini pasti akan tumbang. Mereka menyatakan bahawa sekiranya Taib Mahmud tidak mengundur diri sebelum PRN Sarawak, 70% - 80% rakyat Sarawak akan berpaling kepada Pakatan Rakyat. Dan pandangan itu seakan-akan benar khususnya apabila tiba penamaan calon bilamana tidak ramai yang menyokong atau menyertai kem Barisan Nasional sebaliknya kem Pakatan Rakyat mendapat sambutan yang hangat dan luar biasa. Meskipun ada sesetengahnya yang masih atas pagar, masih keliru dan masih ramai yang masih takut menyatakan pendirian namun pada peringkat awal, harapan untuk BN mengekalkan kuasa amat tipis. Demikian pandangan beberapa orang rakan di Sarawak. Dan pandangan ini disahkan pula oleh beberapa kajian yang dibuat oleh pensyarah UNIMAS yang mendapati bahawa sudah terlalu lewat untuk BN melakukan sesuatu. Rakyat sudah terlalu lama menunggu perubahan khususnya dari kepimpinan. Mereka sudah muak dan cuak dengan regim Taib Mahmud.
Hampir semua kajian yang dilakukan mengesahkan bahawa kerajaan BN yang diketuai Taib Mahmud hanya menunggu hari untuk dipencenkan. Namun setelah hari pengundian ternyata ramalan itu tidak berlaku. Menurut analisa skeptikal yang dilakukan oleh beberapa orang rakan, ternyata kemenangan BN itu ada kaitannya dengan strategi Pakatan Rakyat khususnya tindakan Ketua Umum Parti Keadilan mengumumkan bakal ketua Menteri Sarawak sebelum kemenangan mereka capai. Pengumuman yang terlalu awal terhadap nama bakal Ketua Menteri Sarawak menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dan akhirnya mencetuskan sentimen yang telah memungkinkan rakyat berpaling semula kepada BN. Jika Pakatan Rakyat menang bermakna Orang Iban yang selama ini mengidamkan jawatan penting itu akan kempunan, sedangkan golongan minoriti Orang Ulu yang bakal menjadi ketua menteri. Pengumuman Baru Bian sebagai bakal ketua menteri Sarawak juga mengecutkan orang-orang Melayu dan Islam Sarawak. Justeru mereka lebih rela berketuakanaTaib Mahmud daripada kehilangan kuasa. Kuasa Orang Melayu dalam politik Sarawak tidak harus diperjudikan semata-mata rasa benci dan cuak terhadap regim Taib Mahmud. Oleh kerana itu jika dicampurkan kerusi yang didokong oleh Orang Melayu dan Islam dengan orang Iban dan Dayak ternyata bilangan kerusi itu lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan.
Kematangan, strategi serta kebijaksanaan memanipulasi isu yang ditimbulkan telah membantu BN mengekalkan kuasa di Sarawak. Rasa benci yang meluap-luap dan kemarahan terhadap Taib Mahmud sanggup dilupakan kerana isu Melayu dan Iban itu mengatasi segalanya. Ternyata senjata yang dianggap mampu membunuh Taib Mahmud itu telah membantu beliau untuk kekal berkuasa. Bagi penganalisis luar, perisytiharan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri Sarawak adalah senjata ampuh Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan BN. Hal ini kerana mereka gagal memahami sentimen dan aspirasi rakyat seluruhnya. Kuasa undi dan pengaruh politik Orang Melayu Sarawak gagal mereka fahami. Dalam keadaan demikian, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyelami isu snsitif ini.
Perkara kedua, dalam kempen PRN Sarawak baru-baru ini terlalu banyak isu peribadi yang dibawa semasa kempen itu. Isu peribadi Datuk Seri Najib dan Rosmah Mansor terus menghiasi kempen Daruk Seri Anwar Ibrahim. Menyatakan kelemahan dan keaiban orang lain akan menyebabkan pandangan dan persepsi negatif rakyat terhadap si penceramah. Demikian jugalah bila mana DSAI ditekan dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan oleh pihak pemerintah, maka akan timbul persepsi negatif terhadap kerajaan manakala dalam masa yang sama DSAI dianggap sebagai hero dan pemimpin yang berjiwa besar. Jika DSAI pun menceritakan kelemahan peribadi Najib secara melampau, sudah pasti tindakan itu mengundang pelbagai persepsi negatif. Sepatutnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu menjelaskan bahawa Orang Melayu dan Orang Islam serta Orang Iban dan Dayak serta kaum lain tidak mungkin akan kehilangan kuasa skiranya Baru Bian dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak. Penjelasan itu amat penting kerana isu itu menjadi pembunuh senyap terhadap keinginan untuk mengundi Pakatan Rakyat. Dan bukan menjurus kepada usaha memburuk-burukkan kepimpinan Taib Mahmud dan pemimpin-pemimpin BN semata-mata.
Di pihak BN, kemenangan itu bukan bermakna pilihan raya umum boleh diadakan serta-merta. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, PRN dan pilihan raya umum untuk menentukan kerajaan persekutuan adalah dua perkara yang berbeza. Biasanya kerajaan negeri ditadbir oleh parti mana sekalipun akhirnya kelak akan akur terhadap parti yang membentuk kerajaan persekutuan. Di Sabah ketika PBS menumbangkan kerajaan Berjaya, akhirnya menyertai Barisan Nasional, parti yang memerintah di peringkat persekutuan. Ini bermakna jika pemimpin-pemimpin BN masih menganggap bahawa kemenangan itu merupakan indikator untuk mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan, saya fikir perkiraan itu tidak tepat. Rakyat Sarawak yang terpaksa menelan pahit kemenangan BN dan pengekalan kuasa Taib Mahmud itu pasti menunggu janji para pemimpin BN semasa PRN. Jika Taib Mahmud belum berundur sebelum PRU ke-13 kelak, saya percaya undi untuk menentukan ahli Parlimen akan diberikan kepada Pakatan Rakyat. Dalam pemilihan ahli Parlimen itu, tidak akan timbul soal Orang Melayu dan Iban akan kehilangan kuasa kepada puak minoriti sebagai mana PRN lalu. Ramai juga yang percaya bahawa Taib Mahmud tidak mungkin akan berundur dalam masa terdekat. Jika ini berlaku maka sokongan terhadap Taib Mahmud benar-benar akan membawa rebah. Dan janji-janji semasa PRN baru-baru ini juga tidak mungkin akan dapat ditunaikan kesemuanya. Manakala rasa muak dan cuak rakyat Cina di Sarawak tidak mungkin mudah dipujuk dalam masa terdekat. Jadi, apakah mungkin para pemimpin BN sanggup menghadai risiko ini jika mereka mahu terus berkuasa? Sama-samalah kita tunggu.