Isnin, 27 Disember 2010

Imbuhan Pendidikan RM500

Imbuhan pendidikan RM500 sebulan yang dijanjikan oleh Anwar Ibrahim dalam Buku Jingga, ternyata menarik perhatian sebahagian besar guru khususnya mereka yang tidak terlibat dengan mana-mana parti politik. Manakala mereka yang menyertai parti seperti UMNO, PBS, MCA, LDP dan beberapa parti lain memang pada dasarnya menyokong saranan dan cadangan itu. Menurut mereka banyak sebab kenapa guru diberikan imbuhan khas seperti itu, antaranya ialah;

a.  Guru seringkali terlibat dengan pelbagai program sekolah di luar waktu sekolah. Dan mereka tidak pernah merungut walaupun bertugas pada waktu kelepasan am Ahad dan Sabtu. Ketika bertugas itu mreka tidakpun dibayar elaun atau insentif melainkan sekeping sijil penghargaan. Sijil seumpama itu bagi seorang guru sudah tidak bermakna lagi. Sijil macam itu berlambak. Menurut seorang guru ada baiknya pada waktu mereka gunakan untuk menoreh getah, tambah lagi pendapatan.

b. Guru sering kali mengeluarkan wang dari kocek sendiri untuk kelas tambahan atau latihan khususnya jika pengetua terlalu kedekut untuk mengeluarkan kos untuk tujuan itu atau ketika mesin photostate rosak. Hendak menuntut dari pihak pentadbir jangan mimpilah kata mereka.

c.   Di atas kertas, guru bertugas mengajar dari pagi hingga jam 2.00 atau 3.00 petang, tetapi tugas guru sebenarnya berterusan sehingga ke petang bahkan hingga malam. Bayangkanlah guru juga jadi jurulatih pelbagai jenis sukan. Dari sukan olahraga hingga main catur. Bayangkanlah betapa penatnya guru. Pengetua relaks di Pejabat, goyang kaki atau menteri sibuk cari projek untuk diri sendiri. Sedangkan guru bertungkus lumus mendidik generasi muda.

d.  Ramai juga guru yang menagajar kelas tambahan atau kelas tuisyen kepada pelajar yang lemah tanpa apa-apa imbuhan khususnya guru sekolah menegah pasa waktu petang, dan pada waktu malam sibuk pula memeriksa buku latihan. Bila masa agaknya guru boleh berusaha mencari tamahan pendapatan untuk menampung kos hidup yang semakin tinggi? Sebab itulah agaknya anak saya tidak mahu menjadi guru. Guru sibuk. Tidak enjoy katanya. Teapi anak kecil yang faham dengan kesibukan guru ini seolah-olah tidak difahami oleh pemimpin-pemimpin BN hari ini.

Demikian pandangan beberapa orang guru betapa perlunya imbuhan pendidikan itu kepada mereka. Dan ini hanya sebahagian kecil yang saya paparkan untuk renungan kita bersama khususnya pemimpin-pemimpin BN. Mereka tidak harus memandang remeh janji Pakatan Rakyat kepada guru ini. Pelbagai insentif yang diberikan sekarang tidak cukup. Insentif yang tidak menyeluruh dan adakalanya boleh dikategorikan sebagai tidak adil. Saya meneyru agar pemimpin-pemimpin BN agar mengambil berat perkara ini dan bukan marah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya berusahalah memberi perhatian terhadap kebajikan guru-guru di negara ini.

Jumaat, 24 Disember 2010

Berikut Kupasan Buku Jingga Pakatan Rakyat Yang Mungkin Boleh Kita Baca. Setuju atau Tidak!

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA!
Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan empat kerangka asas iaitu:
Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat untuk:
Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang institusi-institusi penting negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.
Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Y.B. Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
NEGARA DALAM KRISIS
Krisis Ekonomi
Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.
Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.
Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.
12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.
325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25 billion ringgit.
53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).
Kerosakan Institusi Negara
Institusi-institusi penting negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.
Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.
Jika integriti institusi-institusi penting negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.
Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009
Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum
Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.
Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.
Bebanan Rakyat
Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.
2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).
4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.
40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.
3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.
34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.
62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).
3 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.
RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.
Hak Rakyat Dinodai
Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.
Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.
Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.
Gejala Rasuah Berleluasa
Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.
Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.
Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.
28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.
3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009.
46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.
Krisis Pendidikan
Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.
Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.
57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).
68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).
1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.
29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).
KEMAKMURAN, KEADILAN SOSIAL DAN PERSAUDARAAN RAKYAT BERSAMA PAKATAN RAKYAT
Pakatan Rakyat telah mempamerkan rekod pentadbiran yang meniupkan semangat keadilan sosial dan persaudaraan rakyat untuk menjamin kemakmuran bersama. Prinsip asas yang dijunjung dari Dasar Bersama telah dihadam dan dihidupkan melalui pelbagai dasar pro-rakyat yang telah dijalankan selama ini.
Fokus utama Pakatan Rakyat dalam tempoh setahun akan datang adalah menyemarakkan lagi pendekatan pro-rakyat atas landasan keutuhan sistem pentadbiran yang demokratik untuk memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri keikhlasan dan keberkesanan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan.
Ini akan dilakukan melalui pengenalan langkah-langkah spesifik yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan akan diperjuangkan di peringkat nasional oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat.
Rekod pembelaan rakyat yang dicapai oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor tidak dapat ditandingi oleh lawan. Pentadbiran Pakatan Rakyat diakui bebas rasuah, telus, berjiwa rakyat lagi berkebajikan dan berjaya meningkatkan hasil negeri berdasarkan laporan-laporan rasmi dari Jabatan Audit Negara dan pemantau bebas.
Bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus dalam usaha menterjemahkan Dasar Bersama adalah seperti berikut:
Membebaskan Institusi Negara
Merakamkan pentingnya institusi-institusi penting negara yang bebas dan berintegriti, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi penting negara dari cengkaman campur tangan politik.
Mewujudkan Majlis Pakar-Pakar (Council of Experts) dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.
Mewujudkan Jawakatankuasa Parlimen yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen setiap enam bulan sekali.
Memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi penting negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani.
Istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi penting negara dari campur tangan politik.
Kemakmuran Melalui Pengagihan Ekonomi yang Adil
Menghargai pengorbanan dan rasa perit rakyat yang tertindas dengan kesempitan hidup akibat agihan ekonomi yang tidak adil, Pakatan Rakyat komited untuk:
Menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Persoalan ekuiti 30% yang kononnya diperjuangkan untuk Melayu/Bumiputra telah diselewengkan untuk mengkayakan golongan elit dan pemerintah, sedangkan rakyat terbanyak masih lagi bergelumang dalam kemiskinan. Kaedah meningkatkan pendapatan isi rumah memberi kesan ekonomi yang langsung kepada ratusan ribu keluarga yang masih berada di bawah garis pendapatan RM1,500 sebulan.
Menyiasat dan bertindak ke atas penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra, sedangkan majoriti rakyat masih lagi berada di dalam kategori rakyat miskin.
Meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi sebagai kaedah mengagihkan kekayaan negara dengan lebih adil kepada rakyat, termasuklah skim-skim kebajikan rakyat seperti skim air percuma, skim warga emas, skim bantuan ibu tunggal dan lain-lain.
Mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selagi subsidi-subsidi korporat kepada penjana bebas dan pemegang-pemegang konsesi tidak distrukturkan terlebih dahulu.
Membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh lima tahun memerintah di peringkat Persekutuan. Ini boleh dilaksanakan melalui beberapa dasar bersepadu yang bertujuan mengangkat pendapatan rakyat dan menambah peluang pekerjaan agar setiap isi rumah mempunyai lebih dari seorang yang berpendapatan. Dasar-dasar ini termasuklah pelaksanaan gaji minima, undang-undang majikan yang memberi ruang kepada kaum wanita melaksanakan tugasan dari rumah, skim latihan untuk menukar dan menaiktaraf tenaga kerja dan bantuan keusahawanan yang tidak mengamalkan diskriminasi.
Menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat Persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.
Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat
Menyedari terhakisnya kuasa beli rakyat akibat kenaikan gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup yang mencanak, ada keperluan mendesak supaya pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat ditingkatkan serta-merta. Pakatan Rakyat komited untuk:
Menstrukturkan kembali empat bidang infrastruktur dan utiliti awam supaya kos yang kini dibayar oleh rakyat dapat dikurangkan dengan menghentikan manipulasi monopoli untuk keuntungan berlebihan oleh pemegang konsesi. Empat bidang infrastruktur dan utiliti awam ini adalah bekalan air, bekalan elektrik, lebuhraya dan kemudahan jalur lebar. Pakatan Rakyat akan memulangkan pengurusan bidang-bidang ini kepada rakyat melalui kaedah pengurusan yang lebih kompetitif.
Menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat.
Menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.
Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.
Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan sebarang kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan pada kadar yang segera. Setakat ini, projek perumahan terbengkalai membabitkan 3,000 unit telah diambil alih dan sedang dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Pemberdayaan Rakyat
Merakamkan peranan rakyat sebagai mekanisme timbang tara (check and balance) yang penting untuk menjamin pentadbiran yang bersih, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan pemberdayaan rakyat sebagai mekanisme timbang tara dengan mengamalkan ketelusan pentadbiran dan maklumat dengan rakyat. Ini termasuklah dengan menyempurnakan pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Enactment) yang telah pun diperkenalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Memperhebatkan sokongan kepada masyarakat sivil/madani melalui bantuan-bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan rakyat, sebagai langkah mengukuhkan peranan NGO menjadi suara pembela rakyat.
Golongan Pendidik Diutamakan
Merakamkan penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi teras pembangunan negara dan persaudaraan rakyat, Pakatan Rakyat komited untuk:
Meneruskan bantuan terus kepada semua jenis institusi pendidikan marhaen yang membuka ruang pendidikan kepada rakyat, termasuk bantuan terus kepada golongan pendidik di institusi-institusi ini sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan khidmat mereka.
Memperjuangkan pengharmonian gaji pendidik yang berbeza-beza latar belakang dan kelulusan, dengan prinsip memastikan kriteria penilaian yang lebih adil kepada para pendidik mengambil kira kepakaran dan tempoh berkhidmat.
Memperjuangkan skim gaji yang setara dengan golongan profesional di dalam sektor-sektor lain seperti jurutera, akauntan dan doktor yang diikat dengan penilaian prestasi yang lebih adil dan menyeluruh untuk menjamin mutu pendidikan negara.
Menilai semula guna tenaga semasa di sekolah-sekolah untuk memastikan semua guru-guru terlatih dan berkelayakan, termasuk menyelesaikan persoalan naiktaraf guru-guru sandaran.
Mengurangkan karenah birokrasi dan pentadbiran dalam dunia pendidikan yang membebankan golongan pendidik, terutamanya pertukaran-pertukaran dasar utama yang silih berganti dan mengongkong golongan pendidik kepada kerja-kerja menulis laporan dan pentadbiran yang mengurangkan masa pengajaran dan pembelajaran.
Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti
Mengangkat krisis kredibiliti dan mutu universiti sebagai masalah utama negara, Pakatan Rakyat percaya bahawa penyelesaian tidak boleh dilengahkan dan tumpuan khusus perlu diberikan kepada usaha-usaha memartabatkan universiti. Pakatan Rakyat komited untuk:
Mengembalikan kebebasan intelek dan akademik kepada universiti, dengan menghapuskan semua campur tangan politik dalam urusan universiti.
Mewujudkan Panel Pemilih yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menyenarai pendek dan menilai calon-calon pimpinan universiti supaya calon yang terbaik diangkat mengepalai universiti, sebagai bukti komitmen Pakatan Rakyat kepada prinsip meritokrasi akademik di universiti.
Menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa.
Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.
Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.
Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.
Memerangi Rasuah
Menginsafi kemusnahan yang telah dibawa oleh barah rasuah kepada masyarakat dan negara kita, Pakatan Rakyat komited untuk:
Membawa pentadbiran SPRM di bawah pertanggungjawaban Parlimen, termasuk dalam urusan meluluskan perlantikan jawatan-jawatan tertinggi SPRM.
Melancarkan perang membasmi rasuah di peringkat negeri termasuk mengemaskini prosedur dan mekanisme pentadbiran untuk mengurangkan jurang berlakunya rasuah.
Menyediakan peguam-peguam dan pemimpin parti untuk membela individu atau pihak yang membongkarkan skandal rasuah tidak mengira fahaman politik, supaya lebih ramai yang tampil ke hadapan memikul tanggungjawab memerangi rasuah.
Meneruskan amalan tender terbuka yang telah dilaksanakan, termasuk dengan memperkenalkan inovasi baru dalam pentadbiran perolehan bagi mengetatkan lagi prosedur perolehan agar bebas dari anasir rasuah.
Sabah-Sarawak Sebagai Rakan Kongsi
Menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia dan perjanjian-perjanjian yang telah dibuat, Pakatan Rakyat komited untuk:
Mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.
Menaikkan royalti dari hasil petroleum dan hidrokarbon dari Sabah dan Sarawak kepada 20% berbanding kadar 5% yang diamalkan masa kini.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Memberi tumpuan khusus membawa pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak agar setara dengan tahap prasarana yang ada di negeri-negeri lain di dalam Persekutuan.
Meningkatkan integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung melalui perkongsian kuasa yang adil dan menepati semangat Persekutuan.
PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT
Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.
Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:
Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. Continue reading ‘Agenda Pakatan, Buku Jingga : Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!’

Khamis, 23 Disember 2010

Buku Buku Jingga Memang Menarik!

Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :
  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi  percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. (Kandungan Buku Jingga Yang Dipetik Daripada Harakah)
Membaca janji Pakatan Rakyat sekiranya memegang tampuk pentadbiran negara memang sesuatu yang menguja dan menyeronokkan rakyat seluruhnya. Sebagai seorang guru siapakah yang tidak mahu jika imbuhan perguruan dinaikkan RM500 sebulan seorang. Adakah dalam kalangan guru yang akan menolak tawaran ini? Mereka yang menolak tawaran itu pastinya seorang guru yang tidak betul otaknya. Mungkin miring. Sebenarnya  guru selama ini berasa seakan-akan dianaktirikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Banyak sekatan dan kongkongan kepada guru khususnya untuk menambahkan pendapatan mereka. Sebelum ini mereka boleh mengajar di kelas-kelas tuisyen tetapi Pak Lah telah mengakhiri peluang guru untuk menambahkan pendapatan. Akibatnya Pak Lah dan BN seluruhnya menerima padah dalam PRU ke-12 yang lalu. Lebih-lebih lagi Khairy Jamaluddin pernah melabelkan bahawa kakitangan awam tidak penting, yang penting ialah rakyat. Apakah tafsiran rakyat bagi Khairy Jamaluddin itu tidak termasuk guru dan kakitangan awam?  Begitulah dungunya Dinasti Pak Lah dan menentunya. Guru tidak boleh mengadakan tuisyen hanya kerana terdapat aduan bahawa ada guru yang tidak mengajar kerana lebih menumpukan kepada kelas tuisyennya. Ya mungkin ada guru begitu, tetapi bukan semuanya. Saya sebenarnya sangat marah dengan dasar itu kerana bukan sahaja telah menyukarkan kami sebagai ibu bapa untuk mendapatkan guru bagi mengatasi kelemahan anak-anak yang lemah berbahasa Inggeris, lemah matematik dan sains, bahkan juga dasar itu telah membantut peluang rakyat seluruhnya untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.Skim Baucer Tuisyen yang diperkenalkan pun sebenarnya tidak berkesan, maklumlah guru mengajar juga seperti biasa, murid ramai. Mereka yang benar-benar lemah tidak dapat diberikan tumpuan yang khusus kerana bilangan murid yang ramai itu. Berbanding dengan tuisyen persendirian yang biasanya bilanagn pelajarnya yang kurang, perhatian dan kaedah khusus dapat diaplikasikan. Demikianlah betapa dungunya pemimpin hari ini tentang keberkesanan pengajaran dalam pendidikan.
     Berbalik kepada Buku Jingga tadi, pemimpin-pemimpin BN khususnya tidak perlu memberikan ulasan yang panjang lebar tentang janji Pakatan Rakyat ini. Janji ini memang menarik. Boleh dikatakan kesemua janji itu bermatlamat untuk memakmurkan rakyat. Rakyat hidup selesa dan cukup makan di negara sendiri, bukan rasa gelisah dan resah kerana pendapatan tidak mampu menanggung kos hidup yang sudah melambung tinggi. Janji Pakatan Rakyat itu akan mengubah semula apa yang telah dirombak dalam zaman Mahathir dahulu. Air, elektrik, tol jalan raya yang diswastakan dalam zaman Mahathir amat membebankan rakyat kerana matlamat agensi-agensi itu kini adalah untuk menagut keuntungan. Rakyat yang terdesak terpaksalah membayar bil-bil itu walaupun harganya mahal kerana sebahagian daripada yang diswastakan itu adalah keperluan asas. Tiada air bolehkah manusia hidup? Kerajaan BN patut melihat perkara ini secara teliti sebelum menswatakannya. Demikian juga dengan bekalan elektrik. Sebelum tahun 1980-an bil eletrik tidaklah mermbebankan rakyat kerana urustadbir tenaga asas kepada kehidupan rakyat itu ditadbir oleh kerajaan. Saya setuju jika bekalan elektrik diuruskan oleh kerajaan. Demikian juga dengan beberapa perkara lain yang sering kali dilihat dieksploitasi oleh kerajaan untuk kepentingan pemimpin.
     Jika dikatakan janji Pakatan itu adalah janji kosong, boleh pula disorot dan dilihat melalui pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dibeberapa buah negeri khususnya Pulau Pinang dan Selangor. Walaupun kedua-dua negeri ini diburukkan sedemikian rupa dalam media perdana, ternyata langkah itu telah membantu kerajaan Pakatan dikedua-dua negeri mendapat perhatian rakyat. Rakyat cuba mencari kebenaran yang dipaparkan dalam media, dan apa yang diperoleh adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan yang diburukkan itu adalah lebih baik. Pemimpin-pemimpin Pakatan yang mentadbir beberapa buah negeri tersebut nampak lebih bertanggungjawab dan beramanah. Mereka prihatin terhadap keluhan rakyat. Bonus kakitangan kerajaan misalnya melebihi pemberian kerajaan persekutuan terhadap kakitangan awam. Bukankah tindakan memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat itu hanya membantu merejka mempromosikan bahawa Pakatan Rakyat lebih baik? Saya harap pemimpin-pemimpin BN perlu berubah. Berubah yang sebenar-benarnya. Amalkan nilai amanah, bertanggungjawab, prihatin dan benar-benar mendahulukan rakyat dan bukan sebaliknya. Taktik memburuk-burukkan lawan tidak lagi berbisa dalam dunia tanpa sempadan ini. Pelbagai maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja. Oleh itu, saya cadangkan Kerajaan BN melaksanakan apa yang terkandung dalam Buku Jingga itu sebelum pilihan raya ke-13 jika mereka mahu terus berkuasa. Pada saya, saya tidak kisahpun siapa yang mentadbir negara, yang penting kebajikan rakyat dijaga. Negara dipelihara dan keamanan terus terpelihara. Pakatan Rakyat sudah membuktikan bahawa mereka juga boleh mentadbir dengan baik, bukan BN sahaja. Kedah misalnya kerajaan Negeri semasa pentadbiran Pakatan Rakyat, memperoleh peningkatan pendapatan yang mendadak berbanding dalam zaman BN dahulu.Ini berdasarkan Laporan Bank Negara.  Bukankah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tempang dalam kepimpinan kerajaan BN sebelumnya?. Pemimpin tertinggi BN sewajarnya berusaha memantapkan pentadbiran, singkirakan mereka yang menyeleweng dan bukan menutupnya seperti yang berlaku hari ini. Saya percaya jika pemimpin Pakatan Rakyat tidak kecoh dan sibuk, pasti Khir Toyo akan terlepas. Inilah yang amat dibenci rakyat. Ini menggambarkan amalan tidak amanah dalam kepimpinan kerajaan BN. Jika ada aduan dan jadi isu besar baru dibuat penyiasatan. Kalau tiada aduan daripada pihajk pembangkang walaupun menyeleweng, adakah itu juga bermakna pemimpin itu dilihat oleh pemimpin tertinggi BN sebagai amanah? Saya harap pemimpin-pemimpin BN benar-benar serius mewujudkan kerajaan yang amanah dan bertanggungjawa, buklan setakat dibibir sahaja.   Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Rabu, 22 Disember 2010

Perlunya Pemimpin Lama Digantikan.

Beberapa hari yang lalu, saya minum di sebuah gerai di Pekan Tenom. Pekan Tenom ini merupakan sebuah pekan yang agak tenang dan damai. Sebilangan besar penduduknya bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan.Justeru, kenaikan harga getah yang kini mencacah RM7.90 termasuk 0.30 sen subsidi menjadi rahmat kepada mereka. Keadaan hidup bertambah baik bahkan ada dalam kalangan mereka yang pendapatannya melebihi apa yang diperoleh oleh pegawai kerajaan kumpulan A. Kalau pegawai kerajaan kumpulan A yang rata-ratanya memperoleh RM3000 hingga RM5000, tetapi seorang pengusaha getah yang mempunyai 15 ekar kebun getah, boleh mendapat RM7,000 dalam tempoh dua minggu kalau dia sendiri yang menoreh. Sebaliknya kalau orang lain yang menoreh maka bolehlah dikatakan pendapatan si pekebun ini boleh mencapai RM7,000 sebulan. Pendapatan ini cukup selesa bagi seorang penoreh kerana mereka  tidak memerlukan minyak petrol yang banyak untuk berulang-alik ke tempat kerja seperti guru dan kakitangan awam. Mereka boleh pula masak dan makan di rumah sahaja. Kosnya lebih murah dan jimat. Tetapi bagi kakitangan kerajaan yang memperoleh pendapatan bersih RM3,000 ke atas, sudah pasti pendapatan ini tidaklah mencukupi sejak akhir-akhir ini ekoran kenaikan minyak dan harga barang. Tambahan pula kebanyakan tempat kerja mereka berada jauh dari rumah. Hal ini memaksa mereka mengeluarkan ongkos untuk sarapan pagi dan makan tengah hari. Sudahlah kos minyak tinggi, harga makan juga turut melambung tinggi. demikianlah senario yang berlaku pada hari ini.
     Berdasarkan  pendapatan pekebun getah ini, terfikir dalam sanubari, mengapa kerajaan tidak berusaha menyeneraikan rakyat yang tidak bertanah dan memberikan tanah untuk diusahakan dengan bantuan teknikal dan benih yang berkualiti. Apaka kerajaan BN yang ada pada hari ini mahu terus melihat ramai rakyat yang papa kedana, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Inikah yang dikehendaki oleh pemimpin-pemimpin BN dan dengan itu rakyat akan terus bergantung kepada mereka? Inikah muslihatnya. Kalau demikianlah maka saya fikir kerajaan BN hari ini wajar juga digantikan dengan kerajaan yang baru. Seperti yang saya pernah cattakan dahulu, rakyat tidak mahu disogokkan dengan pelbagai isu politik semata-mata, tetapi apa yang lebih penting keselesaan hidup rakyat perlu dijaga. Pemimpin-pemimpin yang hidup selesa perlu juga memastikan rakyat hidup selesa. Yang tergolong sebagai "rakyat" itu ialah  kakitangan kerajaan, petani, peniaga, pekerja swasta dan sebagainya.Kakitangan kerajaan yang bergantung hidup kepada gaji juga kini tidak lagi selesa ekoran kenaikan minyak dan harga barang yang mendadak sejak Zaman Datuk Seri Najib dan Pak Lah. Gaji kakitangan awam langsung tidak dinaikkan sesuai dengan kenaikan harga minyak dan barang. Janganlah jadikan kenaikan harga barang jika gaji dinaikan sebagai alasan. Alasan macam ini adalah alasan budak hingusan atau budah sekolah. Kakitangan kerajaan pun tahu juga, yang berkuasa siapa? Bukankah kerajaan ada kuasa mengawal peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab ini? Kenaikan minyak dan barang sebenarnya lebi banyak terkesan kepada kakitangan kerajaan berbanding orang kampung. Orang kampung beras tanam sendiri, sayur sendiri, lauk-pauk, mereka bela ayam, ikan, itik dan sebaginya. Jadi yang terkesan dengan kenaikan petrol dan minyak lebih kepada kakitangan awam. Inilah realitinya. Kerajaan seringkali bercakap rakyat miskin, tetapi mereka juga lupa bahawa kakitangan kerajaan kalau bergantung kepada gaji semata-mata, sudah lama mereka bankrap. Guru misalnya dalam zaman Mahathir boleh buat mengajar kelas tuisyen, tetapi dalam zaman Najib dan Pak Lah mereka disekat dengan pelbagai peraturan agar tidak mengajar di kelas tuisyen. Apakah pemimpin-pemimpin BN hari ini begitu seronok melihat rakyat hidup menderita?
     Dalam persidangan DUN dan Parlimen, tiada langsung suara daripada pemimpin-pemimpin kerajaan berkenaan kenaikan minyak dan harga barang ini. Semuanya bisu. Pak turut. Mahu jadi pemimpin, wakil rakyat  tetapi hanya perut dan kocek sendiri sahaja yang mahu dijaga. Takut jika bersuara mereka akan digam atau tidak diberikan projek. Inilah jenis pemimpin-pemimpin yang mewakili BN hari ini. Mereka ini sepatutnya perlu diganti. YB Raime, Datuk Rubin Balang dan Datuk Raden Maleh misalnya, terus membisu sedangkan mereka tahu bahawa rakyat Tenom bergantung kepada hasil getah. Tetapi mengapa harga getah di Semenanjung boleh mencacah RM14 sekilogram sedangkan mereka menjualnya dalam bentuik ketulan(kentalan) sahaja. Susu getah Tenom pun cuma mencecah RM10.00 sahaja. Apakah logiknya perbezaan ini?
Ada orang kata getah di Tenom khususnya dan Sabah amnya tidak bersih. Ya mungkin betul. Mengapa mereka ini tidak diajar melalui kursus-kursus bagaimana untuk mendapatkan getah yang bersih. Ada juga pandangan yang menagatkan susu getah di Sabah tidak berkualiti,  jadi mengapa ketiga-tiga wakil rakyat ini terus membisu dan berdiam diri. Mengapa tidak bantu rakyat Tenom mendapatkan benih getah yang berkualiti dan mempunyai harga yang baik. Ternyata pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini wajar digantikan dengan mereka yang lebih prihatin dan tahu tanggungjawab terhadap rakyat bukan pemimpin macam mereka ini. Pemimpin yang bijak berdolak-dalik dan sering kali membohongi rakyat. Saya harap pemimpin tertinggin BN memandang serius perkara ini.

Ahad, 12 Disember 2010

Minyak Naik Lagi

Minggu lalu saya ke Kota Kinabalu, menghadiri kursus. Ketika minum di kedai kopi beberapa orang peserta kursus kecoh memperkatakan kenaikan minyak ron 95.  Kerajaan tidak  mengumumkan kenaikan itu lebih awal, sebaliknya mengumumkan kenaikan itu selepas berbuat demikian. "Inilah kerajaan yang kita pilih," keluh seorang peserta kursus itu. Kata rakyat diutamakan tetapi sebaliknya inilah yang dilakukan.
     Demikianlah pandangan rakyat terhadap kenaikan minyak baru-baru ini. Walaupun kenaikan itu kecil tetapi jika dicampurkan dengan kenaikan yang dibuat oleh Pak Lah ternyata kenaikan minyak sejak Pak Lah dan Najib mengambil alih tampuk kerajaan amat membebankan rakyat. Gaji kakitangan awam pula tetap ditakuk lama. Benarlah kata peserta kursus itu bahawa kerajaan yang ada pada hari ini seakan-akan memperlihatkan bahawa apa yang dicakapkan tidak sama dengan apa yang dibuat. Hal ini sudah pasti menguris hati rakyat yang menyokong mereka.
     Apakah ada kaedah untuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya yang mungkin tidak lama lagi akan diadakan, maka hati rakyat tidak perlu dijaga lagi? Alasan pemimpin-pemimpin hari ini sama juga dengan alasan Pak Lah, harga minyak dunia naik, tetapi bila harga minyak dunia turun, harga minyak di Malaysia tidak pula turun. Itulah menjadi kemusykilan.  Cuma saya berharap pemimpin-pemimpin BN perlu berhati-hati ketika melaksanakan sesuatu perkara yang melibatkan rakyat, kalau tidak pasti ruang yang dicipta itu akan menjadi senjata kepada pihak lawan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Sebenarnya, apa alasan pun rakyat tidak mahu mendengarnya, apa rakyat mahu ialah kebajikan mereka dijaga. Kos hidup diringankan dan bukan sebaliknya. Kita lihat sahaja zaman Mahathir, beliau dilabelkan dengan pelbagai gelaran tetapi rakyat tetap menyokong BN kerana mereka hidup selesa. Harga barang tidaklah mencekek leher. Itulah kebijaksanaan Mahathir. Segala subsidi dan bantuan kepada rakyat tidak ditarik sebaliknya pemberian subsidi itu diperbaiki khususnya dari segi keberkesanannya.