Minggu lalu saya ke Kota Kinabalu, menghadiri kursus. Ketika minum di kedai kopi beberapa orang peserta kursus kecoh memperkatakan kenaikan minyak ron 95. Kerajaan tidak mengumumkan kenaikan itu lebih awal, sebaliknya mengumumkan kenaikan itu selepas berbuat demikian. "Inilah kerajaan yang kita pilih," keluh seorang peserta kursus itu. Kata rakyat diutamakan tetapi sebaliknya inilah yang dilakukan.
Demikianlah pandangan rakyat terhadap kenaikan minyak baru-baru ini. Walaupun kenaikan itu kecil tetapi jika dicampurkan dengan kenaikan yang dibuat oleh Pak Lah ternyata kenaikan minyak sejak Pak Lah dan Najib mengambil alih tampuk kerajaan amat membebankan rakyat. Gaji kakitangan awam pula tetap ditakuk lama. Benarlah kata peserta kursus itu bahawa kerajaan yang ada pada hari ini seakan-akan memperlihatkan bahawa apa yang dicakapkan tidak sama dengan apa yang dibuat. Hal ini sudah pasti menguris hati rakyat yang menyokong mereka.
Apakah ada kaedah untuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya yang mungkin tidak lama lagi akan diadakan, maka hati rakyat tidak perlu dijaga lagi? Alasan pemimpin-pemimpin hari ini sama juga dengan alasan Pak Lah, harga minyak dunia naik, tetapi bila harga minyak dunia turun, harga minyak di Malaysia tidak pula turun. Itulah menjadi kemusykilan. Cuma saya berharap pemimpin-pemimpin BN perlu berhati-hati ketika melaksanakan sesuatu perkara yang melibatkan rakyat, kalau tidak pasti ruang yang dicipta itu akan menjadi senjata kepada pihak lawan untuk memburuk-burukkan kerajaan. Sebenarnya, apa alasan pun rakyat tidak mahu mendengarnya, apa rakyat mahu ialah kebajikan mereka dijaga. Kos hidup diringankan dan bukan sebaliknya. Kita lihat sahaja zaman Mahathir, beliau dilabelkan dengan pelbagai gelaran tetapi rakyat tetap menyokong BN kerana mereka hidup selesa. Harga barang tidaklah mencekek leher. Itulah kebijaksanaan Mahathir. Segala subsidi dan bantuan kepada rakyat tidak ditarik sebaliknya pemberian subsidi itu diperbaiki khususnya dari segi keberkesanannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan