- Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
- Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
- Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
- Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
- Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
- Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
- Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
- Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
- Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
- Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah. (Kandungan Buku Jingga Yang Dipetik Daripada Harakah)
Membaca janji Pakatan Rakyat sekiranya memegang tampuk pentadbiran negara memang sesuatu yang menguja dan menyeronokkan rakyat seluruhnya. Sebagai seorang guru siapakah yang tidak mahu jika imbuhan perguruan dinaikkan RM500 sebulan seorang. Adakah dalam kalangan guru yang akan menolak tawaran ini? Mereka yang menolak tawaran itu pastinya seorang guru yang tidak betul otaknya. Mungkin miring. Sebenarnya guru selama ini berasa seakan-akan dianaktirikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Banyak sekatan dan kongkongan kepada guru khususnya untuk menambahkan pendapatan mereka. Sebelum ini mereka boleh mengajar di kelas-kelas tuisyen tetapi Pak Lah telah mengakhiri peluang guru untuk menambahkan pendapatan. Akibatnya Pak Lah dan BN seluruhnya menerima padah dalam PRU ke-12 yang lalu. Lebih-lebih lagi Khairy Jamaluddin pernah melabelkan bahawa kakitangan awam tidak penting, yang penting ialah rakyat. Apakah tafsiran rakyat bagi Khairy Jamaluddin itu tidak termasuk guru dan kakitangan awam? Begitulah dungunya Dinasti Pak Lah dan menentunya. Guru tidak boleh mengadakan tuisyen hanya kerana terdapat aduan bahawa ada guru yang tidak mengajar kerana lebih menumpukan kepada kelas tuisyennya. Ya mungkin ada guru begitu, tetapi bukan semuanya. Saya sebenarnya sangat marah dengan dasar itu kerana bukan sahaja telah menyukarkan kami sebagai ibu bapa untuk mendapatkan guru bagi mengatasi kelemahan anak-anak yang lemah berbahasa Inggeris, lemah matematik dan sains, bahkan juga dasar itu telah membantut peluang rakyat seluruhnya untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.Skim Baucer Tuisyen yang diperkenalkan pun sebenarnya tidak berkesan, maklumlah guru mengajar juga seperti biasa, murid ramai. Mereka yang benar-benar lemah tidak dapat diberikan tumpuan yang khusus kerana bilangan murid yang ramai itu. Berbanding dengan tuisyen persendirian yang biasanya bilanagn pelajarnya yang kurang, perhatian dan kaedah khusus dapat diaplikasikan. Demikianlah betapa dungunya pemimpin hari ini tentang keberkesanan pengajaran dalam pendidikan.
Berbalik kepada Buku Jingga tadi, pemimpin-pemimpin BN khususnya tidak perlu memberikan ulasan yang panjang lebar tentang janji Pakatan Rakyat ini. Janji ini memang menarik. Boleh dikatakan kesemua janji itu bermatlamat untuk memakmurkan rakyat. Rakyat hidup selesa dan cukup makan di negara sendiri, bukan rasa gelisah dan resah kerana pendapatan tidak mampu menanggung kos hidup yang sudah melambung tinggi. Janji Pakatan Rakyat itu akan mengubah semula apa yang telah dirombak dalam zaman Mahathir dahulu. Air, elektrik, tol jalan raya yang diswastakan dalam zaman Mahathir amat membebankan rakyat kerana matlamat agensi-agensi itu kini adalah untuk menagut keuntungan. Rakyat yang terdesak terpaksalah membayar bil-bil itu walaupun harganya mahal kerana sebahagian daripada yang diswastakan itu adalah keperluan asas. Tiada air bolehkah manusia hidup? Kerajaan BN patut melihat perkara ini secara teliti sebelum menswatakannya. Demikian juga dengan bekalan elektrik. Sebelum tahun 1980-an bil eletrik tidaklah mermbebankan rakyat kerana urustadbir tenaga asas kepada kehidupan rakyat itu ditadbir oleh kerajaan. Saya setuju jika bekalan elektrik diuruskan oleh kerajaan. Demikian juga dengan beberapa perkara lain yang sering kali dilihat dieksploitasi oleh kerajaan untuk kepentingan pemimpin.
Jika dikatakan janji Pakatan itu adalah janji kosong, boleh pula disorot dan dilihat melalui pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat dibeberapa buah negeri khususnya Pulau Pinang dan Selangor. Walaupun kedua-dua negeri ini diburukkan sedemikian rupa dalam media perdana, ternyata langkah itu telah membantu kerajaan Pakatan dikedua-dua negeri mendapat perhatian rakyat. Rakyat cuba mencari kebenaran yang dipaparkan dalam media, dan apa yang diperoleh adalah sebaliknya. Kerajaan Pakatan yang diburukkan itu adalah lebih baik. Pemimpin-pemimpin Pakatan yang mentadbir beberapa buah negeri tersebut nampak lebih bertanggungjawab dan beramanah. Mereka prihatin terhadap keluhan rakyat. Bonus kakitangan kerajaan misalnya melebihi pemberian kerajaan persekutuan terhadap kakitangan awam. Bukankah tindakan memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat itu hanya membantu merejka mempromosikan bahawa Pakatan Rakyat lebih baik? Saya harap pemimpin-pemimpin BN perlu berubah. Berubah yang sebenar-benarnya. Amalkan nilai amanah, bertanggungjawab, prihatin dan benar-benar mendahulukan rakyat dan bukan sebaliknya. Taktik memburuk-burukkan lawan tidak lagi berbisa dalam dunia tanpa sempadan ini. Pelbagai maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja. Oleh itu, saya cadangkan Kerajaan BN melaksanakan apa yang terkandung dalam Buku Jingga itu sebelum pilihan raya ke-13 jika mereka mahu terus berkuasa. Pada saya, saya tidak kisahpun siapa yang mentadbir negara, yang penting kebajikan rakyat dijaga. Negara dipelihara dan keamanan terus terpelihara. Pakatan Rakyat sudah membuktikan bahawa mereka juga boleh mentadbir dengan baik, bukan BN sahaja. Kedah misalnya kerajaan Negeri semasa pentadbiran Pakatan Rakyat, memperoleh peningkatan pendapatan yang mendadak berbanding dalam zaman BN dahulu.Ini berdasarkan Laporan Bank Negara. Bukankah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tempang dalam kepimpinan kerajaan BN sebelumnya?. Pemimpin tertinggi BN sewajarnya berusaha memantapkan pentadbiran, singkirakan mereka yang menyeleweng dan bukan menutupnya seperti yang berlaku hari ini. Saya percaya jika pemimpin Pakatan Rakyat tidak kecoh dan sibuk, pasti Khir Toyo akan terlepas. Inilah yang amat dibenci rakyat. Ini menggambarkan amalan tidak amanah dalam kepimpinan kerajaan BN. Jika ada aduan dan jadi isu besar baru dibuat penyiasatan. Kalau tiada aduan daripada pihajk pembangkang walaupun menyeleweng, adakah itu juga bermakna pemimpin itu dilihat oleh pemimpin tertinggi BN sebagai amanah? Saya harap pemimpin-pemimpin BN benar-benar serius mewujudkan kerajaan yang amanah dan bertanggungjawa, buklan setakat dibibir sahaja. Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan