ANWAR TAHU SIAPA JEFFREY KITINGAN!
Datuk Dr Jeffrey Kitingan - Apakah masih menjadi pemimpin "ikon" KDM?
PKR adalah sebuah parti politik
berbilang kaum Melayu atau Muslim-based party. Jika konsep ini difahami
kumpulan yang pro atau penyokong Datuk Dr Jeffrey Kitingan sudah tentu
pemilihan Ahmad Thamrin sebagai Ketua umum PKR Sabah tidak menjadi satu
isu politik di Sabah.
Yang merisaukan Anwar Ibrahim
bukan soal menerima atau tidak perletakan jawatan Datuk Dr Jeffrey
tetapi jika parti lawan iaitu UMNO dan BN menjadikan isu Jeffrey ini
sebagai isu “PKR merancang mengujudkan sebuah kerajaan Kristian di
Sabah”. Isu seperti ini pasti menjejaskan imej PKR dan Anwar di
negeri-negeri lain di Semenanjung terutama di Kelantan, Terengganu dan
Kedah.
Memilih Dr Jeffrey Kitingan
sebagai Ketua PKR Sabah adalah satu risiko yang begitu besar kepada
Anwar dan PKR. Namun dalam masa yang sama Anwar juga mengakui pengaruh
politik Jeffrey dan sokongan kaum KDM kepada parti itu di Sabah. Tetapi
soalnya adakah sokongan kaum KDM kepada PKR semata-mata kerana faktor
Jeffrey Kitingan?
Jika diimbas kembali, banyak isu
yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negeri Sabah lebih menarik
minat rakyat KDM dan golongan muda di Sabah daripada soal siapa menjadi
pemimpin PKR. Oleh yang demikian golongan yang bersimpati dengan
perjuangan Anwar Ibrahim dan PKR di negeri itu ingin melihat kemelut
kepimpinan ditangani segera.
Mereka ingin melihat pucuk
pimpinan Pusat tegas dalam keputusannya. Tidak mudah tunduk kepada
ugutan perletakkan jawatan pemimpin yang tidak terpilih. Soal samada
perletakan jawatan Dr Jeffrey diterima atau tidak sepatutnya tidak
dijadikan polemic politik. Anwar amat masak dengan politik Sabah. Anwar
kenal dan tahu latar belakang politik Dr Jeffrey Kitingan.
Jika Anwar minta pandangan
pemimpin-pemimpin di Sabah mengenai tindakan yang sepatutnya diambil,
sebenarnya Anwar sekadar menguji mereka. Jawapan sudah ada dikepala
beliau. Kekuatan PKR di Sabah bukan kerana Dr Jeffrey atau Ahmad Thamrin
atau sesiapa pun. Kekuatan PKR di Sabah kerana Anwar bin Ibrahim. Tiada
tokoh lain.
Pemimpin-pemimpin PKR Sabah
hanya perlu bersatu dan bersiap sedia dengan isu-isu yang dapat menawan
hati rakyat jika parti itu berhasrat menjadi saingan BN pada PRU akan
datang. Kerjasama dengan SAPP sewajarnya dimulakan diperingkat awal
untuk tidak mengulangi kesilapan PRU12. Ada kabar angin mengatakan SAPP
akan bertanding semua kerusi dan berjanji menggilir-gilirkan jawatan
Ketua Menteri Sabah kepada tiga kaum utama.
Setakat ini parti SAPP kelihatan
lebih aktif mengadakan program politik berbanding dengan PKR yang
dianggap parti pembangkang utama di Sabah. Membiarkan SAPP bersendirian
tidak akan menguntungkan PKR kerana kepimpinan SAPP, Datuk Yong Teck Lee
adalah seorang tokoh politik yang berpengalaman dan tidak mudah tunduk
jika PKR tidak memulakan langkah lebih awal.
Apakah politik dalaman PKR akan terus bergolak atau PKR telah bersedia menjadi kerajaan alternative kepada rakyat Sabah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan