Isnin, 13 April 2015

Rakyat Bersama Tun

Saya sedar saya keseorangan, kata Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengeluh bahawa beliau keseorangan ketika membangkitkan kritikan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagi mewajarkan kritikannya itu, Mahathir berkata soalan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih tidak berjawab dan ramai pihak masih bertanya kepadanya berkaitan kes pembunuhan Alttantuya Shaariibuu.

“Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah.

“Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya,” soalnya dalam tulisan blog terbaru berjudul “Soal tak jawab”.

Meneruskan asakannya, perdana menteri 22 tahun itu terus membangkitkan persoalan berhubung status wang 1MDB, syarikat pelaburan cetusan ilham Najib.

“Hakikatnya wang 1MDB ada di mana masih tidak dijawab, kata Dato Sri Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik.

“Rakyat jadi lebih keliru. Jika tidak ada di Cayman Islands, ada di mana? Daripada mana datang wang yang separuh dibawa balik dahulu dan separuh dibawa balik untuk disimpan di Singapura.

“Kenapa perlu simpan duit yang bukan dari Cayman Islands dan tidak diguna untuk bayar faedah dua bilion. Kenapa kerajaan membuat standing credit sebanyak 900 milion (juta).

Najib pada 9 April lalu menegaskan tidak akan bertolak ansur bagi sebarang salah laku dalam pengurusan kewangan 1MDB mahupun mempertahankan mana-mana individu.

Malah, atas pendirian itu, tegasnya, beliau mahukan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara agar menyegerakan siasatan terhadap sebarang salah laku dalam syarikat itu.

'Ini soal nak gantung anak orang'

Sementara itu, mengulas isu Altantuya pula, beliau berkata tidak menuduh Najib tetapi terus membangkitkan soal arahan kepada bekas anggota elit polis itu yang disabit membunuh.

“Saya tidak tuduh Najib. Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa melainkan diserang atau di arah.

“Ini soal nyawa manusia. Kalau salah, bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak adillah jika Sirul (Azhar Umar) dibunuh,” tegasnya.

Najib pada 9 April juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuyadan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kematian wanita Mongolia itu.

Beliau pada 2008 telah melafazkan sumpah demi Allah “wallahi wabillahi watallahi” di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 berhubung dakwaan itu.

Mengulas berhubung pertemuannya dengan ibu Sirul, Mahathir berkata beliau bertemu dengan Piah Samat seperti kebiasaannya dengan pihak lain.

“Ramai orang datang jumpa saya. Jika keluarga Sirul nak jumpa, saya jumpa. Ini bukan soal lapan tahun dahulu. Ini soal nak gantung anak orang ini hari ini,” katanya lagi.

“Rakyat tidak tanya. Tetapi ramai tanya saya. Saya tak dapat jawab. Saya tanya orang yang boleh jawab.”

Piah pada 8 April lalu sudah pun bertemu dengan Mahathir untuk membincangkan soal nasib Sirul yang kini ditahan di Australia selepas lari ke negara itu menjelang keputusan akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan disabitkan. 





Sekalipun PM nampaknya mendapat sokongan daripada para pembodek, pengampu dan pengecut UMNO, namun rakyat kebanyakannya sebenarnya amat bersetuju dengan Tun Mahathir, bahawa PM 1 Malayasia Najib Razak perlu berundur secara terhormat. Ketidakpedualiannya terhadap keluhan rakyat amat membahayakan masa depan parti. Kebanyakan ahli UMNO akar umbi yang tidak berkepentingan dengan mengaharapkan projek dari kerajaan dan Najib, mahukan Najib berundur kerana kegagalannya menangani peningkatan kos hidup rakyat. Isu Sirul Azhar dan pembunuhan Altantuya, hanya mencemarkan nama Najib dan kerajaannya. Bayangkanlah dalam keadaan harga barang naik, gst diperkenalkan menyebabkan kenaikan harga barang naik berkali ganda. Tiba-tiba gaji ahli parlimen dinaikan 40%, manakala rungutan kakitangan awam agar gaji mereka dinaikkan langsung tidak dihiraukan. Bolehkah kita katakan kerajaan Najib ini amat prihatin kepada rakyat? Majoriti rakyat tanpa mengira anutan politik, mengharapkan Datuk Seri Anwar dapat melakukan sesuatu untuk mengekang kerajaan BN yang nampaknya menyeksa rakyat ini, tetapi akhirnya Datuk Seri Anwar dipenjarakan. Kini tinggal Tun Mahahthir harapan terakhir rakyat untuk menghalang kerajaan Najib yang terus-menerus menyeksa hidup rakyat dengan kos hidup yang semakin meningkat. Mesyurat demi mesyuarat diadakan oleh kabinet Najib kononnya hendak mencari mekanisme untuk meringan beban rakyat, tetapi sampai hari ini mekanisme itu tidak ditemukan sebaliknya kos dan beban hidup terus meningkat. Tidak salah rakyat terus membenci pemimpin kerajaan yang gagal membantu rakyat, tetapi terus mendabik dada hanya mereka yang mampu membantu rakyat dengan pelbagai kenyataan yang menipu rakyat marhaen. Kami rakyat biasa ini berharap Tun Mahathir berjaya melucutkan jawatan PM daripada Najib Razak. Biar orang yang layak dan berwibawa menggantikan beliau. Wallahaualam bisawab.

Rabu, 4 Mac 2015

Respon Yang Luar Biasa Pemimpin UMNO dan Kerajaan Jika Anwar Ibrahim Hadir Ke Sidang Parlimen, Meragukan Rakyat.

Khamis, 5 Mac 2015

MULA KAN BERLAWAN






Kenyataan Media : Kehadiran 

Anwar Ibrahim ke Sidang 

Dewan Rakyat 


Angkatan Muda Keadilan tegas dengan pendirian bahawa  Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, adalah seorang tahanan politik. Penahanan beliau merupakan satu kes ketidakadilan yang nyata di negara kita. Malahan, badan hak asasi manusia seperti Amnesty International turut mengklasifikasikan Anwar Ibrahim sebagai “prisoner of conscience”

Pengarahnya, Richard Bennett mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan pemenjaraan melibatkan  Anwar Ibrahim adalah bermotifkan politik. Selain itu, pendakwaan beliau di bawah Kanun Keseksaan adalah hanya satu helah untuk melakukan penindasan politik. Penolakan permohonan beliau untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat yang akan datang adalah satu lagi bentuk pencabulan hak dan mencemari amalan demokrasi di negara kita.

Anwar Ibrahim sewajarnya dibenarkan untuk menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 yang akan bersidang pada 9 April 2015. Proses rayuan pengampunan ke atas  Anwar Ibrahim yang disabit dengan kesalahan meliwat dan dihukum 5 tahun penjara sudah bermula dengan penyerahan petisyen oleh isteri dan anak-anak beliau kepada wakil Istana Negara pada petang Isnin 24 Feb 2015. Perkara 48 (4)(c) dalam Perlembagaan menjelaskan bahawa seseorang Ahli Parlimen hanya hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah petisyen yang dikemukakan itu ditolak.

Anwar Ibrahim adalah wakil bagi seluruh masyarakat di Permatang Pauh dan seluruh rakyat Malaysia sebagai Ketua Pembangkang. Maka, permohonan beliau wajar dipertimbangkan semula agar beliau dapat hadir dan membahaskan ucapan pembukaan Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Pembangkang.

Menteri Dalam Negeri,  Zahid Hamidi tidak wajar berselindung di sebalik penjawat awam dengan menggunakan mereka untuk menolak permohonan dari pihak  Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat ini.

Kenyataan bahawa tiada negara yang pernah membenarkan tahanan politik menghadiri sidang Parlimen, menunjukkan kecetekan minda sesetengah individu di dalam urusan ini. Beberapa keadaan, di mana seseorang Ahli Parlimen yang dipenjara hadir ke mahkamah pernah berlaku.

Sebagai contohnya, pada 11 oktober 2011, sebuah mahkamah Ukraine menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara kepada  ketua pembangkang Ukraine, Yulia Tymoshenko selepas mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan jawatannya semasa menjadi broker urus janji gas 2009 dengan Rusia, akan tetapi beliau dibenarkan menghadiri sidang parlimen negara tersebut. Perkara ini adalah hak seorang tahanan politik selagi mana tidak ada undang – undang atau keputusan akhir untuk menggugurkan kelayakan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Tindakan terbaru Menteri ini, adalah bukti jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional sememangnya memilih untuk menjayakan konspirasi politik yang jahat ini demi menafikan hak  Anwar Ibrahim untuk mewakili rakyat Malaysia. Hakikatnya UMNO dan Barisan Nasional terlalu takut untuk berhadapan dengan beliau dan ini adalah usaha untuk menyekat beliau dari menyuarakan kritikan ke atas pentadbiran kerajaan Barisan Nasional hari ini.
Angkatan Muda Keadilan mencabar,  Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri untuk tampil ke khalayak mengemukakan hujah dan alasan penolakan permohonan Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat.
DR AFIF BAHARDIN
ADUN Seberang Jaya, Parlimen Permatang Pauh
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan


Sebagai ahli UMNO dan rakyat biasa, saya juga tertanya-tanya mengapa begitu agresif dan responsifnya pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan jika Anwar Ibrahim dapat hadir ke sidang parlimen.  Sikap responsif dan cepat melatah  dalam kalangan pemimpin UMNO jika Anwar Ibrahim dibenarkan hadir ke sidang parlimen April ini, hanya memperlihatkan ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri. Dari sudut lain, rakyat tanpa mengira anutan politik mahu perbahasan yang berkualiti, berfakta dan penuh dengan kemunasabahan dalam sidang parlimen. Oleh kerana itu, sudah tentu rakyat yang merupakan ahli UMNO, MCA, MIC, Pas, Dap, PKR dan sebagainya, yang merupakan ahli akar umbi, mahu Datuk Anwar Ibrahim hadir di parlimen. Saya berharap para pemimpin kerajaan, UMNO dan barisan nasional, tidak keterlaluan untuk dengan mewujudkan pelbagai sekatan semata-mata takutkan kuasa. Ketakutan yang disusuli dengan pelbagai tindakan yang tidka logik dan munasabah hanya akan memakan diri dalam jangka panjang. Kehadiran DSAI dalam Persidangan itu juga tidak mungkin mampu menumbangkan kerajaan yang ada, tetapi yang aneh dan meragukan rakyat mengapa pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional beria-ia sangat agar Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibenarkan hadir dalam persidangan itu? Apakah yang mereka takuti? Atau pakah yang mahu mereka sembunyikan? Tolonglah amalkan politik yang sederhana, politik yang penuh dengan tolak ansur. Rakyat mahukan DSAI hadir sidang itu agar perbahasan itu berkualiti, bukan yang penuh dengan sanjungan dan bodekan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah persidangan itu kelak memberikan sesuatu yang positif dan berguna kepada rakyat.