Rabu, 28 September 2011

Bukan Badan Kerajaan Diresapi Orang Anwar, Tetapi Ramai Daripada Mereka yang Mula Membenci Kerajaan BN, Mengapa ini Berlaku.

Semakin Ramai Penjawat Awam Tak Suka BN?

Posted by admin | Wednesday, September 28, 2011

Akhbar milik Umno - Utusan Malaysia - hari ini mendakwa menerima maklumat kononnya ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar orangnya meresapi badan kerajaan yang strategik untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Musuh" ini didakwa menyalurkan maklumat sulit mengenai Najib kepada pihak pembangkang, termasuk butiran tentang lawatan rasminya ke luar negara dan cuti peribadinya, dakwa akhbar berbahasa Melayu itu.

Bagaimanapun, akhbar itu tidak menyatakan nama sebarang badan kerajaan terbabit.

NONEDalam artikel bertajuk 'Musang berbulu ayam dalam
badan-badan strategik kerajaan?'
yang disiarkan hari ini, editor kanan Utusan, Datuk Zaini Hassan (kanan) mendakwa beliau telah menerima maklumat mengenai dakwaan tersebut.

"Saya menerima satu maklumat mengenai badan (atau mungkin lebih daripada satu badan) yang cukup strategik dalam kerajaan yang telah dan sedang diresapi oleh orang (atau dalam bahasa mulut orang-orang) Anwar Ibrahim.

"Maklumat yang saya terima menggambarkan bahawa ia adalah suatu situasi yang real dan nyata," tulisnya Zaini dalam kolumnya Cuit.
Beliau memetik maklumat itu memberitahu: ''Saya tidak hendak memberikan contoh yang lebih banyak, tetapi saudara perhatikanlah sendiri bagaimanakah ada agensi Kerajaan Persekutuan (dirahsiakan namanya) yang tugas pentingnya mempertahankan dasar-dasar kerajaan, memberi kefahaman kepada rakyat supaya akhirnya mereka memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, boleh pula menerapkan, menyerapkan malah menggunakan instrumen pembangkang yang berusaha mematikan Perdana Menteri.”

Kata maklumat itu lagi, tulisnya, inilah kemenangan Anwar yang dibawa oleh orang kuatnya di dalam organisasi itu, dan masih membawa masuk orang Anwar secara perlahan.

azlan"Bagi kami yang kerdil ini, tidak sanggup melihat YAB Perdana Menteri menerima nasib seburuk (Muammar) Gaddafi (pemimpin Libya yang digulingkan).

"Sekuat Gaddafi pun akhirnya dijatuhkan dari dalam dengan bantuan musuh-musuh Islam di luar!'' tulis Zaini memetik maklumat tersebut.

Sebagai contoh Zaini memetik maklumat itu lagi: " ...anda fikirkanlah bagaimanakah kos perbelanjaan lawatan rasmi luar negara YAB PM boleh diperolehi dengan begitu detail, cepat dan pantas oleh pihak pembangkang?

"Bagaimanakah juga penerbangan percutian peribadi YAB PM juga boleh diperolehi dengan begitu detail dan cepat oleh pihak pembangkang? Dan banyak lagi contoh-contoh lain. Apakah ia diperolehi dengan mudah jika tidak kerana ada orang dalam yang membocorkan segala maklumat sulit itu?''

Bagaimanapun, Zaini menegaskan dia tidak dapat mengesahkan apa yang dikatakan oleh sumbernya itu.

"Jika salah, mungkin saya boleh tidur lena dan bersyukur keadaan itu tidak berlaku, walaupun saya mungkin dipersalahkan kerana menulis sesuatu yang tidak berlaku.

"Apa yang saya tulis ini mungkin sedikit memeranjatkan, tapi biarlah pihak-pihak tertentu yang menyiasat mengenai kebenarannya."

Jika dakwaan itu benar, tulis Zaini, ia adalah sesuatu yang cukup bahaya dan sesuatu yang drastik harus dilakukan supaya pengkhianat-pengkhianat ini dibersihkan secepat mungkin daripada sistem kerajaan.

"Ia adalah satu perancangan yang halus, licik dan terancang yang boleh menjejaskan kerajaan semasa," tambahnya. -MK


Mengapa kakitangan kerajaan mula membenci kerajaan BN?

Tuan Zaini sepatutnya  bertanya dan buat kajian, mengapa maklumat yang berkaitan dengan PM sering kali bocor atau dapat diketahui oleh pemimpin PR dengan cepat. Kalau tidak silap saya, dalam tulisan saya yang lepas-lepas, ada saya nyatakan bahawa kakitangan kerajaan yang diabaikan sejak zaman Pak Lah mula mengalihkan minat kepada Pakatan Rakyat. Hal ini kerana kerajaan gagal membantu mereka mengatasi beban an hidup setelah harga minyak dinaikkan secara mendadak.
     Kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib gagal meleraikan masalah ini sebaliknya pembaziran kerap dilakukan oleh isteri beliau, Rosmah Mansor. Datuk Seri Najib pula dilihat begitu bersemangat dengan pelbagai transformasi, tetapi hasilnya...pendapatan kakitangan kerajaan masih rendah berbanding kenaikan harga barang hari ini. Kuasa beli mereka merosot. Apakah mungkin langkah yang paling berkesan untuk mengatasi masalah ini? Maklumlah siapalah kakitangan di mata kerajaan. Natijahnya, percaya atau tidak, ramai kakitangan kerajaan secara diam-diam mengharapkan kerajaan yang ada dapat ditukar dengan kerajaan yang baru. Kerajaan yang boleh mendengar keluhan kakitangan kerajaan. Mereka ini, ada antaranya yang  merupakan ahli UMNO. Dalam hal ini Datuk Seri Najib, Pak Lah dan para pemimpin BN dan UMNO harus menyalahkan diri kerana gagal memahami kehendak kakitangan kerajaan, Percaya atau tidak, kajian yang dibuat oleh seorang rakan mendapati bahawa mereka yang memiliki kelapa sawit atau getah yang luasnya lima ekar sahaja, mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding kakitangan kerajaan yang memegang jawatan gred A, DG41-DG48. 
    Jika kakitangan kerajaan merasa mereka diabaikan, adakah salah jika mereka menentang kerajaan yang mengabaikan mereka? Tuan Zaini mungkin tidak menghadapi bebanan kewangan, tetapi rata-rata kakitangan kerajaan hari ini mengalami masalah yang sama. Kita cuma berharap kerajaan Datuk Seri Najib menyedari hal ini sebelum pilihan raya akan datang. Kakitangan kerajaan sudah jenuh dengan alasan 'kerajaan tidak mampu' kerana isteri perdana menteri mampu membeli cincin yang berharga lebih 20 juta. Wajarlah kakitangan mencemburi perkara ini.

Tiada ulasan: