Selasa, 30 September 2014

Pas perlu Keluar PR untuk menyelamatkan PR.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki mendakwa pengurangan exco PAS daripada empat kepada tiga kerusi di Selangor adalah satu provokasi supaya parti itu memikirkan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga mendakwa beberapa kenyataan dan tindakan pemimpin PKR dan DAP seolah-olah cuba membuli PAS dan menunjukkan mereka sudah tidak mahu bekerjasama lagi dengan PAS, lapor Sinar Harian.

Laporan itu juga menyebut, ia boleh disimpulkan sebagai "usaha secara halus" untuk menyingkirkan atau PAS sendiri menarik diri daripada Pakatan.

"Kenyataan Lim Guan Eng yang menyatakan empat exco PAS sebagai pengkhianat dan kenyataan Ketua Pemuda DAP Sarawak, Wong King Wei yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS sedikit sebanyak memberi gambaran mereka tidak suka PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Malah, pengurangan tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor juga tindakan provokasi supaya PAS memikirkan semula masa depan dengan Pakatan," katanya seperti dilapor akhbar itu hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan MP Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz bahawa PAS menjadi mangsa buli PKR dan DAP.

Zuhdi sebelum ini mencuri perhatian ramai dengan 'analisis senario' beliau tentang kemungkinan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat




Saya  setuju pas keluar daripada PR jika mereka sudah tidak sehaluan. Sikap suka menyalahkan orang lain memang sudah menjadi amalan pas. Parti pas mengaku memperjuangkan agama tetapi ternyata perjuangan mereka bukanlah kerana agama. Dap secara jelas dan berterus terang menentang hudud, tetapi pas berdiam diri. Kalau mereka ikhlas memperjuangkan agama sudah pasti mereka akan keluar daripada PR. Mereka perlu berjuang bersendirian kerana UMNO juga menentang hudud. Apakah pemimpin-pemimpin pas berani? Adakah mereka sanggup meninggalkan kuasa? Kita tunggu kenyataan tuang presideng Pas.

Apakah Seruan Pemimpin UMNO ini Ikhlas?

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyatakan sokongannya terhadap projek pembinaan jalan sendiri oleh penduduk kampung di Pitas, pedalaman Sabah esok.

“Kia mesti bantu,” katanya menjawab tweet yang diajukan padanya berhubung perkara itu.

Beliau juga berikrar mendapatkan sokongan daripada rakan-rakannya dalam Umno daripada Sabah untuk membantu pembinaan jalan di Kudat itu.

“Saya akan cakap dengan mereka di (mesyuarat) kabinet esok,” kata naib presiden Umno itu di Twitter.

Perkara itu juga diambil maklum oleh setiausaha Umno Sabah dan menteri perumahan Datuk Rahman Dahlan.

“OK, maklum. Mari bincangkan perkara ini esok,” jawab Rahman kepada Hishammuddin.

Setelah 15 tahun menunggu, penduduk Pitas mengambil inisiatif mengeluarkan simpanan sendiri untuk membina sebatang jalan balak sepanjang 7.5 kilometer.

Jalan itu apabila siap akan menghubungkan enam kampung di kawasan itu dengan pekan Pitas.

Mereka sebelum ini mengumpulkan RM5,000 untuk membeli peralatan dan menyewa peralatan pembinaan dan memerlukan kira-kira RM85,000 lagi.

Akhbar The Star Sabtu lalu melaporkan seorang penduduk Maklin Masiau berkata kerajaan negeri Sabah telah berjanji membina jalan melalui kampung tersebut pada tahun 1999.

Penduduk enam kampung itu kini hanya mengharapkan Sungai Bengkoka yang bermasalah untuk dilalui sekiranya paras air naik atau ketika musim hujan.



Bila berita ini  disiarkan maka hebohlah pemimpin-pemimpi  kerajaan memberi bantuan, merekalah agaknya yang akan dilabelkan sebagai hero. Tetapi bila difikirkan dengan rasional, bukankah pemimpin-pemimpin UMNO inilah juga yang menjadi pemimpin kerajaan. Apa mereka buat selama ini? Tidur?. Kalau pemimpin-pemimpin UMNO negeri menyeleweng dengan tidak menunaikan janji mereka, maka kerajaan pusat sepatutnya menegur kerajaan kromisme Musa Aman. Ke mana peruntukan yang disalurkan selama ini hilang? Saya fikir ini bukanlah usaha pertama yang dilakukan oleh penduduk Sabah untuk membina Jalan. Penduduk kampung Paguokon juga melakukan perkara yang sama. Membina jalan raya sendiri dengan mengutip wang daripada penduduk kampung untuk membina jalan ke kebun-kebun mereka setelah lebih 20 tahun dipohon daripada Wakil Rakyat Tenom Datuk Raden Maleh. Bila PBS keluar daripada BN pada tahun 1990-an, permohonan itu diajukan kepada Ahli Parlimen seterusnya Datuk Rizalman Abdullah, malangnya YB ini hanya bertahan selama sepenggal dan digantikan oleh Datuk Raime Unggi. Ahli Parlimen yang baru ini bukan banyak janji kosong bahkan kami melihat beliau tiada perancangan yang berkesan untuk membantu penduduk kampung. Kalau pemimpin-pemimpin pembangkang tidak berpecah dalam piliohan raya yang lalu, saya percaya ahli parlimen ini kecundang. Oleh kerana itu sudah tiba masanya ahli parlimen ini ditukar pada masa akan datang. Amalan mengekalkan ahli Parlimen yang menyokong ketua menteri sudah tidak relevan lagi. Mahu atau tidak, pemimpin-pemimpin UMNO perlu menggantikan ahli Parlimen P181 dengan muka baru, bukan calon "recycle'.

Tidak Pelik Jika Dap memndapat Sambutan Rakyat Malaysia.

Berpurdah, penulis buku Pelacur mahu masuk DAP


Daripada penampilannya tidak siapa akan menyangka gadis berpurdah Jamila Rahim berminat menyertai DAP, sebuah parti yang sinonim dengan masyarakat Cina.

Tetapi itulah yang berlaku, Jamila yang lebih dikenali sebagai Melati Rahim, akan menyerahkan borang untuk menyertai DAP petang ini.

“Jika diteliti secara kasar perlembagaan DAP itu sendiri, humanisme atau dasar kemanusiaan diletakkan sebagai tunjang dan teras utama (parti itu),” katanya merujuk kepada pendekatan DAP mendekati golongan yang memerlukan.

Baginya, DAP lebih dekat dengan keadilan seperti digagaskan dalam Islam dan beliau juga tidak merasakan parti itu parti Cina yang anti-Islam.

Langkah Melati itu dilihat bukan sahaja mengejutkan golongan Melayu tetapi juga masyarakat Cina dalam DAP sendiri.

Bagaimanapun, jalannya kelihatan tidak sukar apabila akhbar web rasmi DAP dilihat secara perlahan-lahan mengetengahkan sosok menarik itu, termasuk wawancara berkaitan karyanya dan minatnya pada parti itu.

Akhbar DAP sifatkan 'Langkah Ninja'

Roketkini dalam wawancara terkininya menggambarkan tindakan Melati itu sebagai “Melati Move” atau “Langkah Ninja”.

Walaupun berpurdah, Melati mempunyai penampilan menarik dan penuh warna-warni apabila sering kelihatan dalam program-program aktivisme sekitar ibu kota, terutamanya bersama kumpulan dapur umum.

Graduan 22 tahun diploma bahasa Inggeris di Universiti Selangor (Unisel) itu juga bergiat sebagai aktivis di rumah anak yatim dan terkenal melalui penerbitan novel berani Pelacur Kelas Pertama.

Kemasukan Melati itu dilihat sebahagian daripada projek DAP mendekati golongan Melayu.

Sebelum ini beberapa personaliti popular telah menyertainya, seperti Dyana Sofya Mohd Daud dan Young Syefura Othman.

Novel sulungnya Pelacur Kelas Pertama (kanan) keluaran penerbitan bebas Merpati Jingga mengisahkan seorang wanita yang terpaksa bekerja sebagai seorang pelacur.

Hasil jualan buku itu didermakannya kepada sebuah rumah anak yatim di Teluk Intan, Perak.


Inilah yang akan berlaku apabila mereka yang mengaku ulama, mengaku memperjuangkan agama sedangkan tindak-tanduk mereka bertentangan dengan nilai agama itu. Setelah UMNO  dilabelkan  sebagai parti sekularisme,  parti yang hanya mementingkan keduniaan, parti rasuah dan kronisme, Pas pergi lebih jauh dengan melabelkan rakan-rakan PR  sebagai pembuli, menganaktirikan pas dan sebagainya. Pada pandangan rakyat,  kami melihat pas sebagai rakan gabungan dalam PR sebenarnya amat jahil berpolitik. Boleh dikatakan mereka ini lurus bendul, khususnya ahli-ahlinya. Apa pun alasan yang diberikan oleh pemimpin Pas, ternyata dalam krisis MB Selangor itu, Pas sebagai rakan dalam PR telah mengkhianati PKR manakala Dap dilihat sebagai parti yang bijak dan tidak suka mencampuri urusan PKR untuk menggantikan MBnya. Pas sebaliknya berjuang bermati-matian mempertahankan TSKI. Dalam Krisis MB Kedah, pemimpin-pemimpin  PKR dan Dap tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati memburukkan rakan PR sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas. Ternyata integriti pemimpin-pemimpin Pas begitu teruk pada pandangan rakyat biasa yang bukan ahli pas, kerana sebahagian besar ahli-ahli Pas ini setia membuta tuli kepada pemimpin-pemimpin atasan khususnya mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai ulama. Kenyataan Hadi Awang yang bertukar-tukar dan berubah-ubah memperlihatkan keperibadian presiden Pas itu. Bukan sahaja Pas tidak ada semangat setia kawan bahkan mereka tidaklah begitu bijak berpolitik. Jadilah menghairankan bila orang Islam di Malaysia ini melihat pemimpin-pemimpin Dap lebih tinggi kredabilitinya berbanding pas, bahkan beberapa orang pemimpin muda bumiputera Sabah sudah mula berjinak-jinak dengan Dap. Saya percaya dalam tempoh 10-20 tahun akan datang, dap akan menjadi parti besar yang mendapat dokongan majoriti rakyat Malaysia. Hal ini akan berlaku jika UMNO, Pas, PKR dan parti-parti lain hanya pandai bercakap, tetapi hakikatnya amalan pemimpin-pemimpin masih ditakuk lama. Keperitan rakyat tidak mereka hiraukan. Kalau sekadar bantuan hanya diberikan kepada kelompok-kelompok tertentu dan tidak menyeluruh, percayalah tahun demi tahun sokongan terhadap parti-parti tersebut akan berkurang. Dipihak pemerintah, kecenderungan menangkap dan membicarakan individu tertentu khususnya yang mengkritik mereka hanya akan menyebabkan rakyat mual dan muntah dengan sikap demikian. Berilah apa alasan sekalipun terhadap penangkapan itu,  tetapi rakyat hari ini bukan rakyat 20- atau 30 tahun yang lalu. Mereka sudah mampu menilai sesuatu tindakan itu.  Sebagai ahli UMNO dan juga rakyat atas pagar ini, sebenarnya saya ingin melihat demokrasi yang tulen wujud di negara ini. Keadilan kepada rakyat tanpa mengira anutan politik, agama, bangsa dan sebagainya perlu ditegakkan. Suara-suara sumbang menuntut Sabah dan Sarawak keluar daripada persekutuan Malaysia berlakuk kerana rakyat dikedua-dua negeri ini sudah ditindas sekian lama. Pentadbiran BN yang begitu panjang gagal membangunkan prasaran di kampung-kampung. Di TV diumumkan peruntukan berjuta-juta bahkan berbillion-billio, tetapi rakyat biasa tidak mendapat manfatnya. Sistem kobataj masih terus diamalkan. Harga barangan masih tinggi di Sabah sedangkan hasil-hasil pertanian begitu rendah dan murah. Bukankah ini satu penindasan yang nyata kepada rakyat Sabah?
Saya percaya dalam PRU ke-14 akan datang akan lebih ramai golongan belia Sabah yang menyertai Dap. Bukanlah pelik jika orang Islam dan bumiputera menyertai Dap yang dilihat lebih tinggi integritinya.