PM tiru idea Pemuda PAS
1. Pemuda PAS Malaysia menyambut baik cadangan Perdana Menteri untuk memperkenalkan skim sewa-milik (rent-to-own) bagi membantu pemohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).2. Perdana Menteri dilaporkan mengumumkan skim tersebut pada majlis pecah tanah projek PR1MA di Seremban Sentral pada Selasa 9 September, bertujuan untuk membantu generasi muda memiliki rumah idaman dan mencadangkan agar pihak bank dapat menawarkan skim Rent-To-Own (RTO) dengan pemohon hanya perlu membayar sewa dalam tempoh 20 hingga 30 tahun sehingga rumah itu akan menjadi milik mereka.
3. Skim sewa-milik ini adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS dalam ‘Dokumen Agenda Anak Muda Berkebajikan’ pada 17 Februari 2013, yang telah menggariskan beberapa strategi penyelesaian terhadap permasalahan rumah mampu milik, di samping turut merungkaikan permasalahAN pendapatan boleh guna, kos sara hidup, keusahawan belia, pendidikan berkebajikan, pengakutan lestari dan kualiti hidup dalam kalangan generasi muda.
4. Pemuda PAS berpendapat situasi kenaikan harga rumah yang tidak terkawal ini, sebagaimana diunjurkan dalam Malaysian Housing Price Index (MHPI) yang meningkat pada kadar purata CAGR 5.5 peratus setahun sejak 2001, bukan sahaja menyebabkan ia tidak mampu-milik, malah hingga ke peringkat tidak mampu-bayar.
5. Pemuda PAS menyifatkan situasi struktural ini adalah disebabkan oleh faktor ketidakstabilan penawaran dan permintaan di pasaran hartanah. Pihak pemaju terpaksa menawarkan rumah dengan harga yang tinggi atas faktor lokasi dan harga tanah, kos buruh dan bahan binaan, di samping faktor keuntungan. Di pihak pembeli pula, pendapatan yang rendah dan perbelanjaan yang tinggi menyebabkan kemampuan untuk membayar deposit dan ansuran menjadi terbatas, di tambah pula dengan persaingan untuk mendapatkan rumah yang terhad di lokasi yang kondusif dan hampir dengan tempat kerja.
6. Menurut PR1MA, sehingga tahun 2013, sejumlah 700,000 pemohon telah mendaftarkan diri dalam sistem pendaftaran PR1MA, namun hanya 80,494 unit rumah mampu milik telah diluluskan untuk pembinaan. Ini bermakna, PR1MA hanya mampu memenuhi 11 peratus daripada keseluruhan permintaan, malah situasi yang sama turut disaksikan dalam beberapa skim rumah mampu milik yang telah diperkenalkan kerajaan, antaranya Skim Rumah PertamaKu, Skim MyHome dan seumpamanya.
7. Pemuda PAS menyarankan agar Perdana Menteri memperuntukkan dana khas bagi menjayakan skim sewa-milik yang pernah dicadangkan Pemuda PAS ini dalam Bajet 2015, di samping menuntut kerjasama institusi perbankan untuk menawarkan skim pembiayaan Al-Ijarah Al-Muntahiya bit-Tamlik (Sewaan Berakhir Dengan Pemilikan) dan pihak pemaju diseru untuk lebih inovatif dengan penggunaan kaedah pembinaan yang lebih kos efektif. Malah, skim perumahan sewa-milik ini sangat wajar dicontohi oleh kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, agar keperluan asasi ini dapat diperluaskan ke seluruh negara, khususnya bagi generasi muda. – HARAKAHDAILY 11/9/2014
Perkara begini pun menjadi kutukan? Alahai betapa rendahnya akal budi dan pandangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pas. Takkan buat kebaikan pun salah. Kalau kerajaan BN atau pemimpin-pemimpinnya mengambil idea yang difikirkan baik itu, bukankah itu perbuatan yang baik? Tidak kiralah siapa yang menelurkan idea, yang penting kebaikannya dirasai rakyat. Nyata jelas Pas tidak ikhlas berjuang demi rakyat. Perjuangan agama dalam kalangan sesetengah pemimpinnya hanya plastik, palsu. Mereka melindungi niat dengan perjuangan agama. Teruk betullah orang-orang pas hari ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan