Ura-ura untuk merombak kepimpinan UMNO diperingkat negeri serta penangguhan pemilihan AJK UMNO untuk tempoh 18 bulan membayangkan bahawa pilihan raya umum kemungkinan besar akan diadakan dalam waktu terdekat ini. Paling cepat pun mungkin serentak dengan pilihan raya umum negeri Sarawak. Bagi saya, tidak kisah pun sebenarnya, sama ada pilihan raya cepat atau tidak. Pilihan raya itu tidak memberikan apa-apa impak kepada kami. Kami cuma rakyat biasa. Cuma mungkin kami berharap kepimpinan UMNO peringkat Negeri Sabah wajar dirombak. Musa Aman yang sudah dua penggal menjadi ketua perhubungan negeri wajar digantikan. Kebencian dan kemuakan rakyat terhadap beliau dan keluarganya sudah sampai ke tahap yang boleh memudaratkan parti. Dalam pilihan raya lalu, beberapa kawasan dalam pilihan raya ke-12 lalu, poster beliau tidak digantung atau ditampalkan di mana-mana kerana gambar beliau menimbulkan kebencian rakyat kepada Barisan Nasional. Dikatakan kerakusan beliau mengaut segala projek dan peluang untuk keluarga dan juak-juaknya menimbulkan rasa benci rakyat terhadap BN. Pelbagai siri laporan yang dibuat oleh DR Jeffrey tentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam pemerintahan beliau membayangkan perkara tersebut. Saya fikir rakyat Sabah sedang menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk memberi pengajaran kepada Barisan Nasional sekiranya Musa Aman terus mengetuai Barisan Nasional di peringkat negeri. Oleh kerana itu saya berharap Presiden UMNO tidak takut dan kecut untuk menggantikan Musa Aman sebagai ketua Perhubungan Negeri Sabah. Banyak pemimpin di peringkat negeri yang masih mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Apalah gunanya mengekalkan kepimpinan negeri yang ada jika mereka tidak mendapat sokongan rakyat seluruhnya. Bukankah pemimpin seperti ini hanya akan menjadi liabiliti kepada parti?
Memang membuat sesuatu keputusan yang melibatkan pelbagai pihak mempunyai risikonya sendiri. Tetapi saya percaya pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib mampu membuat perkiraan yang tepat demi kesinambungan keimpinan parti yang lebih berkesan dan mendapat dokongan rakyat seluruhnya. Kalau barisan kepimpinan yang ada sudah tidak berkesan serta mempunyai masalah dengan rakan-rakan komponen Barisan Nasional, maka adalah wajar mereka ini diberikan peranan lain. Peluang dan ruang sudah diberikan kepada mereka. Sepanjang tempoh Musa Aman menjadi ketua menteri, rakyat tetap masih ditakuk lama. Tidak tahulah pula kalau rakyat yang hidup di bandar merasa selesa dalam zaman pentadbiran Musa Aman. Bagi kami penduduk luar bandar, Musa Aman sepanjang tempoh beliau mengetuai pentadbiran negeri, kami hanya menganggap beliau syok sendiri. Banyak slogan dan cogan kata yang dilontarkan tetapi hakikatnya kami masih juga ditakuk lama. Jalan raya ke tanah orang-oarng kampung yang sudah bergeran masih juga tidak dibina, akibatnya tanah-tanah itu masih terbiar dan tidak mampu diuasahakan kerana kesukaran perhubungan. Usaha untuk membantu orang-orang kampung menguasahakan tanah mereka tidak juga dilaksanakan. Ketua Menteri hanya sibuk memenuhkan kocek sendiri dan keluarga. Keluhan kontraktor-kontraktor kelas F khususnya Pukonsa langsung tidak mendapat perhatian beliau. Sebaliknya kerja-kerja yang mudah dan yang mampu dilaksanakan oleh kelas F diserahkan pula kepada syarikat-syraikat besar milik keluarga atau kroni beliau. Misalnya kerja-kerja membersihkan bahu jalan, dimana logiknya kerja-kerja tersebut diserahkan kepada syarikat-syarikat besar? Bukankah tindakan ini hanya untuk kepentingan diri dan keluarga beliau. Oleh kerana itu jika Musa Aman akan terus menjadi ketua perhubungan negeri, saya percaya banyak dalam kalangan rakyat yang akan berpaling tadah kepada pihak pembangkang pada masa akan datang.
Pengguguran Musa Aman sebagai ketua perhubungan negeri akan mencorakkan kepimpinan baru dalam kerajaan Barisan Nasional di Sabah pada masa akan datang. Dalam hal ini sudah tentunya YB-YB hari ini yang terus dicalonkan oleh Musa Aman dalam PRU ke-12 lalu harus digugurkan. Dan perlu digantikan dengan YB-YB baru. Yb Dun Melalap, Kemabong dan ahli parlimen P181, Raime Unggi wajar digugurkan kerana mereka ini tidak berfungsi dengan baik. Apalah maknanya mereka sekadar turun padang kalau tidak boleh melakukan apa-apa. Musim banjir mereka datang dan kemudian setakat menyampaikan bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan. Apakah cuma itu peranan seorang YB. Kalau begitu ssiapa-siapa pun boleh jadi YB. Tetapi oleh kerana mereka ini terus dicalonkan oleh Musa Aman demi mengukuhkan kedudukannya, maka mereka terpaksa juga diterima rakyat dan diberikan kemenangan. Tetapi percaya atau tidak, kita lihatlah pada masa akan datang, apa akan berlaku sekiranya mereka ini terus dicalonkan. Kalau dahulu mungkin pemimpin-pemimpin jenis ini masih boleh menggunakan sogokan untuk meraih kemenangan, cubalah pula dalam PRU ke-13 kelak. Kita sama-sama lihat, apakah rakyat masih termakan dengan strategi tidak bermoral itu. Sebagai rakyat Tenom, kita rasa terhina dengan sikap pemimpin-pemimpin seperti ini. Adakah undi kami cuma bernilai RM20 atau RM50 atau mungkin RM150 sahaja. Dan selepas itu mereka terus menghilang dalam jangka waktu yang panjang. Kalau pun muncul, bukan bertujuan untuk menyelami masalah rakyat, sebaliknya kehadiran mereka cuma untuk menunjukkan bahawa mereka kononnya menjalankan tugas. Hakikatnya, mereka tidaklah begitu ikhlas untuk membantu rakyat. Mereka tidak pernah fikir pun bagaimana meningkatkan ekonomi rakyat Tenom dan Kemabong yang kebanyakan bergantung kepada hasil pertanian semata-mata. Justeru, sebagai ahli UMNO yang mengharapkan Barisan Nasional terus kekal berkuasa di negeri ini, kita mohon agar Datuk Seri Najib juga menggugurkan YB-YB bermusim ini..