Ahad, 13 Februari 2011

Adun Kerdau Meninggal Dunia.



Adun Kerdau meninggal dunia, takziah diucapkan kepada keluarga beliau. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan oran-orang yang beriman. Marilah kita sama-sama mensedekahkan al-fatihah kepada Allahyarham.
     Kembalinya beliau kepada Penciptanya memang menimbulkan kesedihan khususnya kepada keluarga beliau, tetapi satu hakikat yang kita, hambaNya harus terima ialah beliau bukan meninggalkan kita selama-lamanya melainkan beliau hanyalah mendahului kita. Kematian beliau sepatutnya menginsafkan kita bahawa dunia ini hanya pinjaman semata-mata. KepadaNya juga kita akan kembali.
Kematian beliau dan kekosongan Adun Kerdau menamabahkan lagi koleksi PRK di negara ini. Belum sempat PRK Adun Merlimau diadakan, SPR diajak memikirkan pula PRK Kerdau. Dan ini mengesahkan bahawa PRK  kecil mencatatkan rekod dalam negara ini kerana terlalu banyak pilihan raya kecil sejak PRU ke-12 yang lalu, jika diambil kira PRK Kerdau yang akan diadakan kelak ini bermakna sepanjang penggal ini sudah 16 PRK diadakan. Apakah yang mahu ditunjukkan oleh Allah Subahana wata’ala dengan insiden yang sedemikan rupa. Benarkah pemimpin-pemimpin kita telah melakukan pelbagai kemungkaran? Atau Allah mahu pemimpin-pemimpin BN dan UMNO khususnya terus berbakti kepada rakyat? Hal ini demikian kerana hanya pada waktu  pilihanraya sahaja biasanya segala rintihan rakyat didengari oleh pemimpin. Selain waktu itu rakyat tidak dipedulikan. Ketidakpedulian mereka inilah agaknya menyebabkan PRK dianugerahkan oleh Allah untuk meringankan bebanan rakyat. Saya pasti kawasan-kawasan PRK ini akan menerima pelbagai habuan dan pertolongan daripada orang-orang politik. Mereka akan menerima pelbagai program untuk membantu mereka tidak kira program jangka pendek atau jangka panjang.
       Sebagai rakyat biasa saya memang suka kalau pilihan raya diadakan sekerap mungkin, walaupun orang-orang politik tidak menyukainya. Kerana dalam PRK inilah rakyat bakal menerima durian runtuh. Hampir semua  agensi kerajaan akan datang untuk mendengar dan membantu penduduk setempat. Pada masa ini jugalah berjuta-juta bahkan berbillion ringgit peruntukan diumumkan untuk kawasan PRK itu. Sekalipun PRK itu sebenarnya tidak memberikan apa-apa kesan kepada kerajaan khususnya kerajaan BN tetapi para pemimpin memperlihatkan kesungguhan untuk memenangi PRK itu untuk membuktikan bahawa mereka masih mendapat sokongan rakyat. Di pihak Pakatan Rakyat mereka cuba membuktikan bahawa mereka mula diterima rakyat. Dan kemenangan itu diidamkan untuk mengesahkan bahawa mereka lebih relevan berbanding parti pemerintah. Walaupun matlamat kerajaan yang diterajui UMNO dan Pakatan Rakyat berbeza, namun persaingan yang sengit itu menguntungkan rakyat. Mereka mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Di pihak Barisan Nasional, biasanya kawasan yang gelaplah yang diserang habis-habisan. Kawasan gelap yang maksudkan ialah kawasan yang lebih  ramai pengundi menyokong seteru mereka. Mereka inilah biasanya yang akan menerima imbuhan dan pertolongan yang melimpah ruah.
      Saya masih ingat semasa pilihan raya  1994 di Sabah,  pada waktu itu Sabah masih dibawah pentadbiran Parti Bersatu Sabah. UMNO yang baru ke Sabah pada waktu itu, memberikan peruntukan yang begitu banyak kepada Sabah untuk menawan negeri ini. Semua peruntukan disalurkan melalui ketua-ketua Bahagian. Maka mewahlah para penyokong BN dan ketua-ketua bahagian pada waktu. Hasilnya BN mendapat 23 kerusi, manakala parti PBS memperoleh 25 kerusi untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Dua minggu kemudian kerajaan PBS jatuh apabila dua adunnya, Datuk Rubin Balang dan Datuk Lajim Ukin meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO. Demikianlah kuasa wang dan harta benda terhadap rakyat yang terdesak. Mereka akan mengundi kepada siapa yang akan memberikan kemewahan mereka. Saya fikir senario ini masih belum berubah. Rakyat yang terbeban dengan kenaikan barang, minyak dan kos hidup akan memberikan sokongan kepada pihak pemerintah. Kakitangan awam yang mula menyokong Pakatan Rakyat sejak PRU ke-12 dijangka akan diberi perkhabaran gembira sebelum pilihan raya umum ke-13 kelak. Dan pastinya kakitangan awam ini akan bergumbira dan bercerita tentang keprihatinan kerajaan kepada mereka. Itupun jika kerajaan yang diketuai oleh Seri Najib mengambil iktibar daripada kesilapan Pak Lah dan menentunya Khairy Jamaluddin yang menganggap kakitangan awam itu tidak penting. Pak Lah tidak memberikan bonus sebaliknya Khairy Jamaluddin dalam ucapannya menyatakan bahawa kakitangan kerajaan tidak penting, apa yang lebih penting ialah rakyat. Tindakan Pak Lah dan KJ itu dibalas dengan undi kepada Pakatan Rakyat. Lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Majoriti 2/3 di Parlimen dinafikan.
     Janji dan gegasan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat dilihat memberikan kesenangan kepada rakyat. Berdasarkan janji Pakatan dalam Buku Jingga itu, dijangka kerajaan BN akan berusaha meringankan beban rakyat. Mereka tidak sewajarnya memperlekehkan janji itu dan menganggap bahawa Pakatan Rakyat hanya tahu berjanji tetapi tidak akan mampu melaksanakannya. Mitos ini sudah lapuk. Pakatan Rakyat belum ada ruang dan peluang untuk menunaikan janji dalam Buku Jingga itu, maka tiada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya. Apakah pandangan ini kelak akan menyukarkan BN dalam PRU ke-13? Terserah kepada pemimpin BN, jika mereka menganggap bahawa kenaikan minyak, barang dan kos hidup serta janji Pakatan dalam Buku Jingga itu tidak memberikan impak besar terhadap sokongan rakyat, maka ternyata perkiraan itu adalah silap. Keputusan PRK sebenarnya tidak memberikan apa-apa makna. Kalaua saya rakyat Kerdau, saya tetap akan memilih BN kerana kerajaan yang menarajui negeri adalah BN tetapi dalam PRU ke-13 kelak tidak semestinya saya akan mengundi BN. PRK tidak mengubah apa-apa, selain rakyat mendapat durian  runtuh, PRK tidak lebih daripada gelanggang untuk mengkritik kelemahan dasar kerajaan dan perilaku pemimpinnnya dan begitulah sebaliknya di pihak kerajaan. Wallahualam bisawab. Hanya kita yang mampu mengubah kaum kita. Demikianlah pesanan Allah dalam Al-Quran. Sesuatu kaum itu tidak akan berubah sekiranya kaum itu tidak mahu mengubahnya sendiri.

Tiada ulasan: