Assalamualaikum dan selamat bersua kembali. Agak lama juga saya tidak mengemas kini blog ini kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, walaupun kekadang idea mencurah-curah dan hati bagai dicuit-cuit untuk menulis bagi menyampaikan pelbagai perkara yang ada kaitan dengan perkembangan semasa, namun kerana kekangan dan hambatan waktu serta komitmen lain maka hasrat dan niat itu acap kali terbantut. Dalam kesempatan kali ini terlintas di hati untuk mengupas perihal pemimpin kita hari ini. Pemimpin yang saya maksudkan ialah pemimpin-pemimpin politik. Pada dasarnya pemimpin kita hari ini boleh dikatakan hampir kesemuanya bersikap oportunis dan cahuvinistik. Tidak kiralah pemimpin pembangkang atau pemimpin di pihak kerajaan. Sama sahaja, hipkorit dan kerap kali terpelicut daripada perjuangan murni sebagaimana yang pernah diluahkan sebelum mereka terkenal atau mendapat tempat dan ruang dalam persada politik. Mungkin ada yang menganggap bahawa tuduhan ini keterlaluan namun inilah realitinya. Ketika menonton berita di TV saya kerap kali menukarkan chanel khususnya bila ada berita yang ada kaitan dengan politik atau pemimpin. Berita-berita politik di negara kita hari ini amat memualkan. Tidak ada benda baru atau maklumat yang boleh dimanfaatkan untuk menambahkan ilmu pengetahuan kerana berita yang disiarkan dalam media itu lebih 80% daripadanya berbaur politik. Berita kutuk mengutuk. Berita mengampu dan membodek semata-mata. Kenapa media alternatif mendapat sambutan yang hebat? Adakah para pemimpin BN pernah memikirkan hal ini? Sudah pastinya mereka hanya menganggap bahawa media alternatif mendapat sambutan kerana memaparkan berita-berita palsu. Memfitnah dan memburuk-burukkan pemimpin. Demikianlah pandangan sebahagian besar pemimpin BN tetapi hakikatnya, rakyat lebih gemar membaca media alternatif kerana kandungan media itu mampu mencambahkan budaya berfikir secara kritis. Saya tidak mahu membincangkan tentang perkara ini secara terperinci, biarlah pemimpin menyedari perkara ini dengan sendiri kalau benar mereka seorang pemimpin yang prihatin. Tetapi mana ada pemimpin hari ini yang benar-benar prihatin sebagaimana pemimpin-pemimpin zaman lampau. Tun Mustapha Bin Dato Harun, misalnya akan menunggu rakyat diserambi rumahnya pada hujung minggu sepanjang hari. Begitulah rutin Allahyaraham Tun Mustapha untuk membantu rakyat di kawasannya. Sebab itu generasi lampau begitu taat dan setia kepada beliau. Burukkanlah macam mana sekalipun termasuk isu peribadi beliau, tetapi rakyat tidak pun ambil kisah kerana beliau memang pemimpin yang benar-benar prihatin dan bertanggungjawab. Nik Aziz yang dikutuk dan dicemuh sedemikian rupa oleh seterunya, tetap mendapat sokongan kerana sikap amanah dan bertanggungjawabnya. Beliau tikdaklah hidup bermewah-mewah seperti Menteri Besar lain. Perilaku sedemikian menggambarkan bahawa rakyat tidak akan kisah dengan pelbagai tohmahan dan cerita yang bertujuan untuk memburuk-burukkan peribadi, yang penting ialah kebajikan rakyat dijaga. Tanggungjawab sebagai pemimpin dilaksanakan. Itu antara ciri pemimpin yang dikehendaki rakyat hari ini. Selain itu, satu ciri pemimpin yang amat dibenci rakyat hari ini ialah pemimpin yang pak turut. Pemimpin yang yes man dan pemimpin yang kaki bodek dan pengampu. Rakyat perlukan pemimpin yang lantang dan vokal menyuarakan kepentingan rakyat. Tidak kira pemimpin itu sehaluan atau tidak dengan kerajaan, mereka seharusnya tegas dan lantang menyuarakan kepentingan rakyat di kawasan mereka. Bukan wakil rakyat yang penakut dan terlalu menjaga kedudukan semata-mata. Takut menyuarakan masalah yang dihadapi rakyat kerana dikhuatiri akan membuka pekung di dada. Takut tembelang kerajaan akan pecah. Kalau tembelang kerajaan pecah sudah tentunya akan mencemarkan imej pemimpin tertinggi BN. Jika imej pemimpin tertinggi BN terjejas, pastinya si wakil rakyat itu tidak akan dipilih sebagai calon kelak. Inilah yang mereka takuti. Lantas mendiamkan diri lebih baik. Sebab itulah agaknya banyak wakil rakyat hari ini yang hanya pandai menabur janji kosong. Selain itu dapat dilihat bahawa kebanyakan pemimpin hari ini hanya akan lantang apabila kemahuan mereka tidak dapat dipenuhi oleh pemimpin tertinggi. Selepas PRU ke-12 yang lalu, amat ketara betapa lantangnya Ghafur Salleh, Musa Aman dan Yong Teck Lee mengkritik kerajaan pusat yang diterajui Pak Lah pada ketika itu. Tetapi bila segala kehendak dan kemahuan ditunaikan maka mereka bagai boneka. Tidak berfungsi lagi. Insiden yang sama dapat dilihat terhadap sikap beberapa pemimpin PKR sebelum menyertai BN. Bukan main lantang lagi mereka mengkritik dasar-dasar kerajaan yang membebankan rakyat. Dan sebagai rakyat memang kami terkesan dengan apa yang disuarakan tetapi setelah menyertai kerajaan mereka bertukar bulu. Mereka pulalah yang bermati-matian untuk mempertahankan dasar-dasar kerajaan sekalipun dasar itu memang mendatangkan keburukan kepada rakyat. Kenaikan minyak misalnya, tiada seorang pemimpin BN pun yang lantang menyuarakan pendapat betapa kenaikan itu telah membebankan rakyat bahkan ramai yang memuji langkah kerajaan menaikkan harga minyak. Zaid Ibrahim yang lantang menentang ISA ketika berada dalam kerajaan telah meraih sokongan rakyat dan aktivis politik, namun dapat dilihat bahawa beliau hanya lantang semata-mata kepentingan peribadinya tidak dapat dipenuhi. Beliau kemudiannya mengkritik dan mencemuh pula pemimpin tertinggi PKR kerana impiannya untuk menjadi ketua tidak kesampaian. KITA yang diterajuinya tidak akan ke mana. Saya setuju dengan pandangan MSO bahawa KITA akhirnya akan mengikut jejak Semangat 46. KITA wujud pun bukan kerana ikhlas untuik memperjuangkan rakyat tetapi lebih kepada perjuangan diri. Apakah nanti beberapa pemimpin pembangkang seperti Azmin Ali, Mat Sabu, Saifuddin Nasution dan beberapa pemimpin lain akan tenggelam apabila hilang vokalnya apabila Pakatan kelak berjaya membentuk kerajaan persekutuan sebagaimana beberapa pemimpin BN menjadi pembodek dan pengampu kepada pemimpin tertinggi. Peranan sebagai wakil rakyat yang sewajarnya menyuarakan kepentingan rakyat dilupakan. Pada saya dalam alaf baru ini tidak lagi banyak wakil rakyat yang benar-benar ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab. Mereka kerap melakukan sesuatu semata-mata untuk kepentingan politik sebab itu saya begitu cuak dengan politik. Memang dahulu saya pernah melobi sebagai calon, tetapi itu kerana saya terlanjur menerima pelawaan seseorang. Orang veteran politik. Oleh kerana terpedaya dengan pandangan beliau maka saya pun cuba melibatkan diri secara aktif dalam politik. Tetapi setelah mencerminkan diri, saya tidak suka dengan sepak terajang politik yang pada saya adakalanya hina dan menjijikkan. Orang politik ini penuh dengan tipu muslihat. Kalau kita tidak mahu terlibat dengan pelbagai perkara yang jijik, fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat dan sebagainya, maka janganlah masuk dalam politik. Berbalik kepada pemimpin kita hari ini, saya paparkan pandangan dan suara pemimpin pembangkang yang kalau dibaca dan difikirkan memang benar apa yang disuarakan. Rakyat terkesan dengan kenaikan minyak manakala dalam masa yang sama gaji kakitangan tidak naik-naik. Minyak dan naik beberaapa kali tetapi gaji kakitangan awam masih seperi sebelum kenaikan minyak itu. Dan jika saya oleh semula pandangan ini bahawa UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO kononnya hendak menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. UMNO dan pemimpinnnya memperjuangkan kepentingan rakyat. Apakah kakitangan kerajaan itu tidak tergolong sebagai rakyat? Apakah mereka ini bagaikan mesin yang cuma perlu bekerja dan menjaga kepentingan kerajaan sedangkan dalam masa yang sama kerajaan sering mengabaikan golongan ini. Gaji mereka tidak setimpal dengan perkembangan ekonomi semasa. Betapa kejamnya kerajaan di mata kakitangan awam. Justeru, jika ada kakitangan awam yang tidak berpuas hati dengan kerajaan janganlah pula salahkan mereka. Kerajaan BN hari ini patut lebih prihatin. Bebankan rakyat: Umno BN perlu mohon maaf |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Buat masa sekarang, Umno BN perlu memohon maaf kepada rakyat dan menjelaskan kenapa ia membebankan rakyat sedemikian rupa selama ini. Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali (gambar) berkata, ini termasuk hutang isi rumah, harga rumah dan kereta yang mahal kepada rakyat. Justeru, pihaknya telah mengkaji gejala kenaikan hutang isi rumah yang ditanggung oleh rakyat sejak kebelakangan ini. Keadaan ini, katanya merunsingkan kerana punca keberhutangan rakyat adalah pinjaman perumahan dan kenderaan keluarga yang menjadi sebahagian besar dari bayaran pinjaman setiap bulan oleh setiap keluarga di Malaysia. “Secara langsung, ini mengurangkan pendapatan boleh belanja rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menaikkan taraf hidup keluarga,” ujarnya. Beliau merujuk kepada kenyataan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan statistik bulan Bank Negara Malaysia, pada akhir November 2010 hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Ini menimbulkan dua persoalan besar: Pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana rakyat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. Jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian. “Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak. Nisbah 74% “hutang isi rumah kepada KDNK” adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% kepada KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Katanya, kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah setiap tahun. Tambahnya, sikap Umno BN dalam menangani masalah harga kereta dan perumahan yang mahal yang dihadapi rakyat adalah bukti ia tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat. Menurutnya, rintihan rakyat selama ini yang terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan ini langsung tidak diendahkan. Malah, katanya harga kereta yang mahal adalah disebabkan dasar Umno BN sendiri yang melindungi kepentingan kroni dengan menindas rakyat. Beliau berkata, walaupun secara rasmi hanya 2 juta rakyat Malaysia yang berpendapatan melebihi kadar minima untuk dicukai, sebenarnya setiap keluarga di Malaysia dikenakan cukai yang lebih tinggi melalui pelbagai cukai yang dikenakan terhadap pembelian kereta. Menruutnya lagi, harga kereta di Malaysia menjadi mahal berlipat kali ganda disebabkan oleh 3 jenis cukai yang dikenakan iaitu cukai import, cukai eksais dan cukai jualan. Ini, katanya satu penghinaan kepada rakyat yang terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar cukai, sedangkan kerajaan mengecualikan kenderaan perdagangan dari cukai eksais, bukti bahawa Umno BN selama-lamanya meletakkan kepentingan perniagaan sebagai asas dasarnya. Tambahnya, harga rumah yang semakin meningkat juga menjadi bebanan kewangan yang tinggi kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan keluarga muda. Untuk memiliki rumah, ujarnya mereka terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman dan menanggung bayaran bulan yang terlalu tinggi berbanding gaji yang diperolehi. Bagi setiap keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dianggarkan dua pertiga dari gaji mereka digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta; menyebabkan baki untuk perbelanjaan makanan, pakaian dan pendidikan menjadi terlalu kecil. “Reaksi Umno BN sudah tentu mengecewakan. Mereka lari dari berbicara soal sebenar kenapa rakyat berhutang sebegitu tinggi, sebaliknya Umno BN menggalakkan rakyat memanjang tempoh hutang dan menambah hutang. “Ini memudahkan rakyat berhutang, tetapi akibat jangka panjang adalah rakyat yang bergelumang dengan bebanan hutang sepanjang masa,” katanya. Oleh itu, kata beliau masanya telah tiba untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal untuk mengurangkan harga kereta dan rumah. PKR, katanya akan mengadakan beberapa siri rundingan dengan kumpulan pengguna dan pakar untuk mencari dasar yang radikal ini dan menghapuskan dasar Umno BN yang memangsakan rakyat selama ini. Menurutnya, maklum balas dan kehendak rakyat akan digarapkan di dalam dasar-dasar ekonomi kami yang akan diumumkan secara bersama di Konvensyen Ekonomi Pakatan dalam bulan Mac ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan