Rabu, 26 Januari 2011

Idea Lawak YB Justin Guka



Kelmarin sambil memandu saya mendengar radio FM Keningau. Saluran ini memang saya minati kerana  kerap menyalurkan pelbagai infomasi tempatan. Sesungguhnya saluran seperti ini  memang menghiburkan para pendengar termasuklah maklumat tentang  saranan YB Justin Guka agar masyarakat petani mengekalkan kaedah penanaman padi secara tradisi iaitu penggunaan kerbau untuk membajak padi sawah. Saya seakan tergelak mendengar saranan yang tidak masuk akal dari seorang yang bernama Yang Berhormat. "Apa punya YB, bagi  idea yang bukan-bukan, bukan mahu membantu orang  meningkatkan hasil pertanian, ingat homestay bolehkah menampung kehidupan petani, pelancong bukan datang sepanjang masa, kalau setakat sebagai pendapatan sampingan tidak perlulah menyusahkan orang." Getus abang saya, yang juga seorang petani.Anak saya yang duduk di sebelah saya tergelak mendengar  rungutan abang saya tadi.  
     Bila difikirkan secara mendalam memang idea YB Justin Guka itu tidak masuk akal. Oleh kerana mahu membangunkan homestay, beliau sanggup melihat petani-petani khususnya mereka yang terpinggir agar mengusahakan sawah bendang menggunakan kerbau untuk membajak sawah semata-mata untuk menarik pelancong. Beliau tidak kasihankah dengan petani berpenat lelah mengerjakan sawah mereka atau mungkin YB seorang ini tidak pernah menyelami kesukaran hidup petani khususnya pesawah? Saya seorang guru dan pada masa yang sama saya juga mengusahakan sawah padi secara kecil-kecilan kerana tidak mahu membeli beras memandangkan harga beras begitu melambung tinggi. Kerja sebagai pesawah hanya sebagai sampingan sahaja tetapi saya tahu betapa penat dan letihnya mengerjakan sawah menggunakan tenaga manusia. Membajak tu mungkin menggunakan traktor tetapi ketika musim menuai kami terpaksa menggunakan tenaga manusia. Saya maklum mengapa abang saya mencemuh idea YB Justin Guka itu. Bukanlah begitu mudah untuk mengerjakan sawah. Membajak menggunakan kerbau  mengambil masa dan memerlukan tenaga. Dalam zaman moden ini orang tidak sanggup lagi menggunakan kaedah tersebut. Sepatutnya YB Justin Guka memikirkan bagaimana pesawah-pesawah ini  boleh dibantu dengan membekalkan Kuarboter untuk memudahkan mereka mengerjakan sawah, dan bukan membawa mereka berundur ke belakang. 
      Lebih melucukan lagi, YB Justin Guka mahu menyuburkan semula amalan “menumbuk padi “ menggunakan kaedah tradisi untuk menarik pelancong. Ini lagi satu cadangan kartun. Zaman sekarang ini orang semua mahu cepat. Kejar masa. Menggiling  padi menggunakan kaedah tradisi hanya akan menyebabkan kehidupan pesawah bertambah perit. Kadang-kadang saya terfikir juga, bagaimana individu seperti YB Justin Guka boleh dipilih menjadi YB sedangkan cara berfikirnya lebih rendah tahapnya berbanding orang kampung. Semasa kecil dahulu, ibu kerap menggunakan kaedah tradisi untuk menghasilkan beras sehingga jauh malam semata-mata untuk menyediakan beras untuk dimasak pada keesokan harinya. Dan pada waktu petang keesokan hari, ibu akan mengulangi proses yang sama. Menyediakan beras menggunakan kaedah tradisi memang sukar tetapi oleh kerana tiada pilihan pada waktu maka orang kampung terpaksa juga menggunakan kaedah itu. Dalam zaman moden ini kalau kaedah itu masih digunakan alangkah kasihgannya mereka. Bukankah elok kalau YB Justin Guka berusaha untuk menyediakan “kisaran padi” untuk  pesawah yang terpinggir ini. Kalau hendak menarik pelancong boleh fikirkan cara lain. Mungkin kaedah tradisi itu boleh disediakan sebagai pertunjukan sahaja dan bukan sebagai amalan harian. Kalau menghidupkan semula amalan itu bermakna kaedah itu perlu diamalkan secara berterusan. Idea YB Justin Guka memang lawak dan tidak masuk akal.
     Saya harap semua pemimpin tertinggi parti komponen BN akan menampilkan  pemimpin-pemimpin yang bijak, ada empati, dan mampu menelurkan idea yang bernas dan logik demi menjaga kebajikan masyarakat. Tidak perlulah memilih calon berdasarkan popularitinya semata-mata atau mungkin berdasarkan kedudukannya dalam parti semata-mata. Lihatlah apa yang berlaku dalam kawasan Parlimen P181 Tenom. Datuk Raime Unggi yang menjadi bidan terjun, hingga kini belum membrikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat Tenom keseluruhannya. Datuk Rubin Balang pula, penduduk DUN Kemabong masih menuggu-nunggu program yang benar-benar signifikan dengan mereka. Manakala Datuk Raden Maleh, setelah lebih 20 tahun menjadi YB, Rakyat Dun Melalap masih menunggu apa yang mampu beliau lakukan untuk membangunkan rakyat Melalap. Bukan setakat membina pondok bas, rumah kebudayaan, membaiki jalan raya dan sebagainya tetapi apa yang lebih penting ketiga-tiga YB di Parlimen Tenom ini menyuarakan keluhan rakyat Tenom khususnya harga getah yang begitu besar bezanya dengan harga di Semenanjung. Rakyat Tenom sebilangan besarnya bergantung hidup kepada hasil getah, justeru kami mengharapkan perkara ini akan disuarakan oleh pemimpin-pemimpin yang nampaknya masih membisu sehingga hari ini. Sekian wallahualam bisawab.

2 ulasan:

Don MS berkata...

Idea YB ini memang bernas sebenarnya... cuma TIDAK DAPAT MEMBANTU GOLONGAN PETANI BUMIPUTERA (seluruhnya..)untuk maju dalam bidang yang telah diwarisi turun-temurun ini. Bermakna idea ini HANYA MENGUNTUNGKAN SEKELOMPOK KECIL masyarakat petani Bumiputera sahaja...itupun jika berjaya dan berterusan, serta mendapat publisiti Kementerian Pelancongan 100%.

memang betul... kalau mahu memajukan masyarakat, haruslah berlandaskan kepada anjakan.
Anjakan apa? Pemikiran dan tindakan...
Anjakan ke mana? Ke hadapan...ke arah yang lebih maju walaupun masih dalam konteks kehidupan yang sama...

Idea ini bukan untuk memajukan golongan petani tradisional. Sebaliknya percubaan untuk mengubah mereka kepada "masyarakat perniagaan...komersil." Atau, mungkin percubaan untuk mengekalkan cara hidup dan pemikiran masyarakat petani Bumiputera Keningau di tahap/takuk yang lapuk, demi mengekalkan sokongan...

"Bukankah prinsip kebanyakan ahli politik Malaysia adalah stereotaip ; KEJAHILAN MEREKA ADALAH KEUNTUNGAN KEPADA KITA"
Ini yang membimbangkan sebenarnya...

Apa pun, jika idea YB ini merujuk kepada pewujudan "masyarakat perusahaan tani" secara berkelompok dan terancang, maka tidak dinafikan idea ini boleh membantu mengisi poket (tambahan). Sekurang-kurangnya tidak terlalu bergantung kepada "harga malatops" hasil tanaman getah yang sedang membungai setiap mulut petani pedalaman...(Termasuk petani PATI yang mengambil kesempatan di atas kemalasan dan kelemahan petani Bumiputera).

Fikir-fikir kan lah...

semut merah berkata...

Kesian saudara PA ni...tpi x apa lah sy faham mungkin kerana PA ni x tahu perkembangan dunia luar, cuma duduk bawah tempurung...sbb saudara x tahu apa wakil2 rakyat kita dh bt. Cuba rujuk d pej daerah tenom, kemabong, pertanian, haiwan n peladang. tnya dgn mereka apa yg mp tenom dh bt. setahu sy mp tenom Dtk Raime Unggi bnyk mbantu rakyat tenom terutama dlm bidang pertanian. kenapa sy ckp mcm ni sbb sy nmpk dgn jelas apa yg dia dh bt... 4 unit jentera menuai padi, bantuan racun, baja, baka kambing boer tu sapa bg????......kalu bkn Dtk Raime. kalu mcm tu pn saudara kata x bt kerja x tau la. Malah skrg Dtk Raime tngah berusaha utk mjadikan tenom sbagai kawasan pertanian yg maju utk membantu rakyat miskin. Di samping tu beliau juga telah mempertengahkan tenom kepada RISDA utk membuat penanaman baru secara besar-besaran. Ini bertujuan utk memajukan tanah2 yg terbiar... sy rasa kalu PA ni jdi MP entah apa yg saudara dpt bt?...mungkin cuma duduk layan facebook saja...kesian....