|
Membaca kenyataan Mahfuz Omar ini memang ada kebenarannya. Sebagai ahli UMNO, pemimpin-pemimpin tertinggi BN tidak harus melatah atau melenting tidak tentu pasal kerana janji 100 hari Pakatan Rakyat itu. Itu hak mereka. Mereka boleh berjanji apa sahaja kerana mereka belum menjadi pemerintah. Kalau mereka berjanji untuk memberikan elaun kepada penganggur seperti di negara-negara Barat pun boleh juga kerana mereka belum lagi menjadi pememrintah. Dan kita tidak boleh katakan bahawa mereka tidak mungkin akan dapat melaksanakan apa yang dijanjikan kerana memang belum ada bukti bahawa mereka tidak mampu. Sebabnya mereka belum lagi ada ruang dan peluang itu. Mungkin kalau mereka jadi pemerintah mungkinkah mereka mampu melaksanakan apa yang dijanjikan. Inilah sebenarnya yang difikirkan oleh rakyat kebanyakan. Rakyat cuba memikirkan secara rasional janji 100 hari Pakatan Rakyat itu. Dan berdasarkan pertimbangan yang waras, seperti yang pernah saya tulis dahulu, sebenarnya kerajaan BN hari ini pun mampu menunaikan janji 100 hari Pakatan Rakyat. Itu pun bergantung kepada apakah yang menjadi keutamaan kerajaan hari ini. Kalau kerajaan hendak menjaga kepentingan ahli-ahli korparat, ahli-ahli politik dan kuncu-kuncu mereka sahaja, maka adalah sukar menunaikan janji 100 hari Pakatan Rakyat itu.
Bagi kami orang Tenom, rakyat akar umbi yang masih bergelut dengan kehidupan janji itu memang menggembirakan, tetapi apa yang lebih menggembirakan ialah bila harga getah naik. Harga getah naik bermakna pendapatan penoreh-penoreh getah akan bertambah. Malangnya kenaikan harga getah itu tidak memberikan apa-apa makna bila harga barangan di pasaran juga meningkat. Jika kerajaan mahu mereka terus mendapat sokongan rakyat akar umbi maka kenaikan harga barangan ini perlu ditangani segera. Janjilah hanya perkenalkan dasar ini, dasar itu dan sebagainya, tetapi hasilnya kosong. Barang tetap naik juga. Kuasa beli kami merosot.
Yang kedua ialah perbezaan harga getah di Sabah dan Semananjung Malysia. Mengapa wujudnya perbezaan harga yang begitu ketara ini? Siapa yang mengaut keuntungan yang besar hasil daripada perbezaan ini? Mengapa semua pemimpin BN di Sabah menyepikan diri? Cuma semalam Datuk Shafie Afdal ada menyentuh tentag perbezaan harga ini. Beliau memohon agar RISDA menyelaraskan harga getah di Sabah dan Semenanjung, tetapi saya percaya cadangan itu hanya akan tinggal cadangan. Hanya untuk menyedapkan hati para penoreh getah. Hanya untuk memperlihatkan bahawa pemimpin-pemimpin BN kononnya prihatin terhadap rakyat. Selepas itu cadangan itu tidak akan ke mana, perbezaan harga dan eksploitasi terhadap penoreh getah di Sabah tetap akan berlaku. Maklumlah rakyat Sabah ini mudah diperbodohkan. Mudah ditipu dan diputar belit. Hati rakyat Sabah juga mudah cair dengan janji-janji yang muluk-muluk. Saya harap pilihan raya kan datang, para pemimpin tertinggi BN perlu memilih pemimpin yang lebih prihatin terhadap rakyat. Sebagaimana yang pernah disebut oleh Datuk Shafie Afdal, bukan setakat mendengar tetapi membantu rakyat menyelesaikannya. Itu yang lebih penting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan