Selasa, 4 Januari 2011

Telahan Ahli UMNO Akar Umbi Tepat

Pada tahun lalu saya ada postkan tentang rombakan yang akan dilakukan oleh Datuk Seri Najib terhadap Ketua perhubungan negeri. Dalam post itu saya ada  nyatakan betapa pentingnya Musa Aman digantikan dengan pemimpin yang lebih berwibawa, beramanah dan mementingkan rakyat dan negeri. Musa Aman dianggap oleh sebahagian besar rakyat Sabah sebagai pemimpin yang tamak haloba, mementingkan kroni dan puak serta ahli keluarganya sahaja. Oleh kerana itu beliau merupakan antara ketua Menteri yang paling dibenci oleh rakyat Sabah ketika ini. Walaupun dibenci rakyat, beberapa orang ahli UMNO akar umbi di Sabah meramalkan bahawa beliau tidak mungkin akan ditukarkan sebagai ketua perhubungan negeri. Ramai yang berpendapat  bahawa Datuk Seri Najib yang kelihatan tegas dan berani  tidak mungkin berani mengusik kedudukan Musa Aman. Telahan awal beberapa ahli UMNO akar umbi menjadi kenyataan. Najib akhirnya dilihat tunduk juga kepada pengaruh Musa Aman. Rombakan baru-baru ini menceritakan segala-galanyanya. Apa yang diharapkan oleh ramai rakyat Sabah  tidak menjadi kenyataan. Musa Aman dikekalkan sebagai ketua perhubungan negeri. Musa Aman dan ahli kroninya pasti akan menjadi liabiliti kepada BN dan UMNO dalam pilihan raya akan datang. Gelombang perubahan dalam kalangan rakyat akar umbi di Sabah sudah mula kelihatan. .Ramai ahli UMNO akar umbi mula mengkritik dasar-dasar kerajaan negeri yang dilihat hanya menguntungkan pemimpin-pemimpin dan kroni mereka. Dalam post kali ini tidak perlulah saya sebutkan antara dasar kerajaan negeri yang dilihat menguntungkan Musa Aman dan kroni-kroni kerana telah saya nyatakan dalam tulisan saya yang lepas-lepas. Namun begitu,  mereka masih menaruh harapan kepada BN dengan syarat pemimpin-pemimpin yang tidak berfungsi dengan berkesan digantikan. Masalahnya, Musa Aman tidak mungkin menggantikan beberapa orang pemimpin kerana mereka ternyata amat setia dan mudah dicucuk hidung. Taat kepada telunjuknya. Jadi adalah mustahil mereka ini akan digugurkan walaupun mereka tidak memenuhi aspirasi rakyat. Walaupun mereka ini tidak berfungsi dengan baik.
     Ternyata ramalan ahli-ahli akar umbi bahawa Najib tidak berani menggugurkan Musa Aman sebagai ketua perhubungan negeri sabah tidak meleset. Ternyata Najib tidak seperti yang diduga. Antara Najib dan Pak Lah tidak banyak berbeza dari segi keberanian. Saya pasti kata putus untuk menentukan calon dalam pilihan raya pada PRU ke-13, tetap terletak di tangan Musa Aman. Maka akan dilihat nantinya pemimpin-pemimpin yang sudah tercalar dan rosak imejnya tetap akan mendapat tempat. Inilah realiti yang akan berlaku. Kalau ketidakpuasan hati selama ini hanya disuarakan secara berbisik ataupun dipendamkan begitu sahaja, saya pasti dalam pilihan raya akan datang ketidakpuasan hati itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi. Percaya atau tidak, kita tunggu dan lihat. Angin perubahan sudah mula sebelum PRU ke-12 lalu, namun pada waktu itu anggapan rakyat Sabah bahawa kerajaan pusat sukar ditumpaskan oleh Pakatan Rakyat melekat di hati dan sanubari rakyat  Sabah. Berada dibawah pentadbiran yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat hanya akan membawa kesenhgsaraan. Pengalaman pahit semasa PBS memerintah masih belum dilupakan bila rakyat Sabah pada masa itu dianaktirikan kerana menyokong kerajaan PBS. Mereka percaya apa pun yang akan berlaku, BN tetap akan menjadi kuasa pentadbir diperingkat pusat. Justeru keghairahan untuk menukar kerajaan tidak begitu ketara. Namun tsunami politik pada tahun 2008 telah merobah pandangan itu. Kemenangan Pakatan Rakyat di lima buah negeri dan penafian majoriti dua pertiga wakil parlimen BN dalam pilihan raya tersebut menambahkan keyakinan rakyat Sabah bahawa kerajaan pusat juga boleh ditukar. Bukankah pandangan ini amat mengerunkan? Apakah pemimpin-pemimpin tertinggi BN di Sabah tidak menyedari perkara ini? Maklumat pelbagai agensi yang menyatakan bahawa sokongan rakyat terhadap BN masih tebal dan kukuh, hanya khabar yang menggembirakan hati para pemimpin. Kerana sikap sebenar rakyat masih tidak jelas. Namun sebagai rakyat biasa yang sentiasa bergaul dan mendapat maklumat dari pelbagai pihak yang boleh dipercayai, harapan BN untuk mempertahankan kerajaan BN di Sabah sebenarnya tiada jaminan mutlak. Hal ini kerana rakyat sabah terkenal dengan sikap tunggu dan lihat. Keputusan yang mengejutkan pernah dicatatkan ketika PBS dengan mudah mengalahkan Parti Berjaya yang memerintah pada masa itu, walhal pada waktu itu rakyat Sabah dilihat masih utuh sokongan terhadap kerajaan Berjaya.
Apakah sejarah akan dilakar lagi dalam pilihan raya akan dating? Atau benarkah rakyat Sabah mudah dipujuk dengan pelbagai imbuhan dan janji yanga adakalanya dilupakan? Marilah kita sam,a-sama tunggu, apakah kerajaan yang diterajui oleh Musa Aman ini masih mampu bertahan.

    

1.      

Tiada ulasan: