Isnin, 24 Januari 2011

Persidangan Dun Selangor Suatu Terperangkap?

Umno rosakkan demokrasi, Raja Berperlembagaan

Harakahdaily   
SHAH ALAM, 24 Jan: Persidangan Dun Selangor hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu, kata Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.
“Di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa Umno yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya semasa membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.
Katanya, orang Melayu tidak mudah lupa dan rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa tetapi yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin Umno dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.
Ini, tambahnya yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.
Justeru, beliau amat bimbang usaha-usaha Umno sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
“Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri,” katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan itu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan itu telah dimansuhkan pada 1993 oleh makhluk perosak bernama Umno.
Menurutnya, usaha itu tidaklah mudah kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin Umno di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.
Tambahnya, lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar berhubung usaha Datuk Menteri Besar untuk kembali ke Dewan untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan Umno.
Antara lain, ujarnya Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.
“Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Datuk Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan,” ujarnya.
Kenyataan itu, tambahnya timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.
Ini mengingatkan beliau kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata: Nasib malang golongan yang bernama rakyat, rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.
Di Selangor, katanya rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.
Ahli Parlimen Gombak itu menambah, golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang Umno sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.
Katanya, Umno mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.
Tambahnya lagi, pemimpin Umno yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.
“Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.
“Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual,” katanya.
Budaya itulah, katanya yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.
Menurutnya, rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Tambahnya, mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.
Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun Umno sering menggunakan ‘profesor kangkung’ untuk memutarbelitkan sejarah


Berdasarkan ulasan dan komen para pemimpin Pakatan Rakyat selepas persidangan Dun Selangor, ternyata persidangan itu diadakan hanya sebagai perangkap. Dan ternyata perangkap itu mengena. Para pemimpin UMNO terjerat dengan permainan politik Pakatan Rakyat. Sebelum persidangan Dun itu diadakan sudah timbul pelbagai komen dan pandangan daripada pelbagai pihak khususnya para pemimpin kedua-dua pihak. Selama ini para pemimpin UMNO begitu lantang memperjuangkan kedaulatan intitusi raja-raja, namun kelantangan itu menuding ke arah diri sendiri. Perubahan dan pindaan yang dibuat dalam tahun 1993, ternyata memakan diri. Tun Mahathir yang bertanggungjawab terhadap pindaan itu, menyatakan pandangan bahawa persidangan Dun Selangor yang bertujuan untuk mengubah Undang-undang Tubuh kerajaan Selangor 1959, hanya bertujuan untuk memberikan kuasa kepada Menteri Besar khususnya dalam perlantikan tiga pegawai eksekutif kerajaan negeri.
     Pandangan Tun Mahathir itu ada rasionalnya, namun jika diperhalusi sebagaimana pandangan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat ternyata pandangan Tun Mahathir tidak lebih dari usaha untuk menghalalkan tindakan kerajaan persekutuan melantik SUK selangor yang baru. Kemelut ini juga memperlihatkan kerakusan kerajaan Barisan Nasional untuk mengambil alih negeri Selangor dalam pilihan raya akan datang. Namun dalam keadaan rakyat mudah mengakses pelbagai maklumat dsengan tepat dan cepat, apakah mungkin Kerajaan Barisan Nasional mampu meraih kembali sokongan rakyat khususnya generasi muda yang begitu kritis hari ini?
     Tindakan kesemua Adun Selangor tidak menyokong pindaan itu sebenarnya adalah jawapan atau keputusan yang dinantikan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat. Penolakan kesemua Adun itu mengesahkan bahawa yang derhaka terhadap Suktan atau institusi raja-raja adalah UMNO. Yang mengkhianati orang Melayu adalah UMNO. Ternyata pemimpin-pemimpin UMNO lebih mengutamakan kuasa dan politik semata-mata, jika tidak mereka sepatutnya bersetuju dengan pindaan itu. Demikianlah pandangan umum terhadap keputusan itu. Apakah persidangan khas itu hanya suatu perangkap? Kerana para pemimpin Pakatan Rakyat juga sedar dan tahu bahkan Adun UMNO secara terang-terang menyatakan pendirian sebelum persidangan lagi bahawa mereka tidak akan menyokong pindaan itu. Pemimpin Pakatan tidak mungkin akan dapat mengubah Undang-undang Tubuh 1959 Negeri Selangor tanpa persetujuan 2/3 dewan. Dan hal ini mereka memang sedar dan tahu, oleh kerana itu persidangan Dun itu tidak lebih daripada usaha untuk mengesahkan bahawa para pemimpin BN dan UMNOlah yang menjadi pengkhiant dan penderhaka kepada institus raja dan sultan. Para pemimpin UMNOlah pengkhianat bangsa Melayu. Bijakkah pemimpin-pemimpin UMNO  khususnya Adun UMNO Selangor bila sebulat suara menolak pindaan itu? Ternyata pada pandangan umum, para pemimpin UMNO seperti yang saya sebutkan tadi bahawa  hanya mementingkan kuasa politik semata-mata. Mereka lebih mengutamakan parti berbanding institusi raja dan sultan yang merupakan payung dan benteng terakhir orang Melayu. Ternyata para pemimpin UMNO Selangor tewas dengan permainan politik Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: