Dalam post saya yang lepas-lepas saya ada menyebut bahawa rakyat sebenarnya sudah terlalu muak dan mahu termuntah dengan pelbagai isu yang ada kaitan dengan politik. Saya pernah tekankan bahawa rakyat sebanarnya tidak kisah pun siapa jua yang menjadi penaraju negara. Dari parti mana? Bangsa apa? Negeri mana? Beliau ini alimkah atau tidak, kaya atau miskin dan sebagainya, rakyat kebanyakan tidak pernah ambil peduli latar belakang si peneraju negara tadi. Yang penting ialah rakyat hidup dalam keadaan selesa. Harga barang tidak menyebabkan kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hutang keliling pinggang. Belanja anak-anak tidak cukup. Belum habis bulan sudah pokai. Akhirnya terpaksa juga menggunakan kad kredit. Hutang bertambah lagi. Demikian senario kehidupan rakyat hari ini yang tidak difahami oleh kerajaan tetapi seakan-akan difahami oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Justeru tidak hairanlah jika janji 100 hari Pakatan Rakyat amat menyenangkan hati rakyat seluruhnya yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan anutan politik. Mereka ini terdiri dari kalangan ahli-ahli parti komponen BN termasuklah ahli-ahli akar umbi parti UMNO. Bagi mereka menyokong dasar yang diperkenalkan oleh sesorang pemimpin bukan bermakna mereka akan turut menyertai parti pemimpin itu, namun dasar yang cuba diperkenalkan oleh Pakatan Rakyat itu seakan-akan berpihak kepada mereka. Seakan-akan membela dan prihatin terhadap keperluan dan rungutan mereka selama ini. Sama ada dasar itu untuk tujuan populis semata-mata oleh pihak yang memperkenalkannya bukanlah menjadi isu atau masalah besar. Dasar itu sebenarnya begitu populis kerana dilihat lebih mengutamakan rakyat. Rakyat yang didahulukan. Slogan rakyat didahulukan jelas kelihatan dalam janji 100 hari Pakatn Rakyat itu. Yang anehnya, rakyat begitu teruja dengan janji itu. Apakah ini bermakna janji Pakatan Rakyat itu amat berkesan untuk meraih undi rakyat?
Sebaliknya repons Datuk Seri Najib terhadap janji 100 hari Pakatan Rakyat itu amat tidak disenangi oleh pelbagai lapisan rakyat. Ada yang berani menyatakan bahawa Datuk Seri Najib memang seorang pemimpin yang amat berkira terhadap rakyat. Beliau dilihat lebih mementingkan ahli-ahli korparat berbanding rakyat. Keterujaan rakyat terhadap janji Pakatan Rakyat ini, tidakkah mungkin nanti akan bertukar menjadi sokongan dalam bentuk undi? Bukan ini menakutkan? Sebagai ahli UMNO, saya harap pemimpin-pemimpin UMNO bertindak bijaksana untuk menangani perkara ini secara bijaksana. Dan bukan memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat semata-mata. Apatah lagi untuk menekan atau menangkap mereka dengan menggunakan pelbagai agensi seperti SPRM, PDRM dan sebagainya. Kerana taktik itu amat dibenci. Rakyat sudah maklum bahawa tindakan itu untuk tujuan menumpaskan seteru politik semata-mata, sekalipun diberikan penerangan dan penjelasan bahawa tindakan itu bukan bertujuan politik, mereka tetap tidak akan mempercayainya berdasarkan reputasi buruk SPRM, PDRM, kehakiman dan sebagainya. Langkah yang paling bijaksana dan wajar ialah melaksanakan janji Pakatan Rakyat itu. Saya berkeyakinan bahawa BN juga mampu melaksanakan apa yang telah dijanjikan oleh Pakatan Rakyat. Kalau apa yang dihasratkan oleh rakyat itu sudah ditunaikan oleh kerajaan BN, maka apakah lagi alasan mereka untuk menyokong Pakatan Rakyat?
Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN hari ini untuk meraih semula sokongan rakyat. Rakyat bukan mahu parti yang berubah tetapi biarlah pemimpin-pemimpin yang berubah. Jadilah pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Utamakan rakyat. Bukan setakat cakap tetapi harus melaksanakannya. Rakyat didahulukan maka rakyatlah yang harus diutamakan dalam apa perkara sekali pun. Wallahualam bisawab. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan