Rabu, 23 Mac 2011

Apakah Benar Pemimpin UMNO atau BN gagal Memahami Hati Nurani Rakyat?

Semalam sebelum balik ke rumah, saya terus ke Bistro kerana ajakan sahabat untuk minum dan bersembang. Seperti biasa, rakan yang aktif politik ini bertanyakan tentang isu-isu semasa. "Apa pendapat kau  tentang berita tergempar, video seks Datuk Seri Anwar Ibrahim?" Katanya. Saya bagi tahu dia yang saya tidak percaya dengan perkara tersebut." Mana mungkin seorang yang didakwa suka meliwat tiba-tiba menukar selera, kini  suka pula  kepada perempuan." Saya sengeja memancing dan mencungkil pandangan beberapa orang rakan yang ada minum bersama. Seorang rakan di meja sebelah menyampuk, "Anwar memang hebat, makin tua makin kuat, dia songsang berbanding manusia biasa, masa dia jadi TPM dia tak buat semua ni," Lepas jadi pembangkang barulah nafsu Anwar membuak-buak. Jangan hairan kalau tiba-tiba akan ada berita Anwar meniduri Mak Nyah," Tawa kami berderai. 
     Sebenarnya, apa berita pun atau peristiwa yang dipalitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang tidak akan mempercayainya atau orang tidak kisah pun. Sama ada mereka ini ahli UMNO atau pembangkang, asalkan mereka tidak terikat dengan segala projek dan jawatan kerana politik. Orang atau rakyat macam kami tidak lagi ghairah untuk mendengar berita seumpamanya. Mungkin kerana banyak perkara yang tidak logik dan masuk akal yang dikaitkan dengan beliau. Dan ramalan rakyat daif macam kami ini, akhirnya nanti susuk Anwar Ibrahim akan dimasukkan ke dalam penjara. Masuknya Anwar dalam penjara maka barulah musuh-musuh politiknya akan berpuas hati atau berhabis-habisan menyumpah dan mengkritik Anwar Ibrahim. Banyak rakyat di luar ini yang bukan pengikut Anwar Ibrahim, dan bukan juga pemuja beliau tetapi amat benci dan jelek dengan pelbagai tuduhan kepada beliau. Bila pemimpin Pakatan Rakyat mengandaikan pendakwaan Liwat itu sebagai konspirasi politik, rakyat mudah menerimanya. Orang lebih percaya kepada mereka yang berpihak kepada Anwar Ibrahim berbanding pemimpin-pemimpin kerajaan.
     Sepatutnya pemimpin-pemimpin tertinggi BN lebih maklum tentang perkara ini. Rakyat cintakan keharmonian dan kebaikan, bukan perlakuan cemuh-mencemuh, aib-mengaib seperti yang dilakukan kepada Anwar Ibrahim. Menekan dan menghantam Anwar Ibrahim secara keterlaluan hanya menaikkan imej Anwar sebagai pemimpin tulen, pemimpin yang berjiwa besar, pejuang sebenar rakyat. Demikianlah pandangan umum sekalipun di mata pemimpin-pemimpin UMNO perbuatan itu mampu memusnahkan karier politik Anwar Ibrahim. Tambahan pula, dalam masa yang sama Anwar Ibrahim tidak puas-puas melaungkan matlamat perjuangannya untuk menjaga kebajikan rakyat, misalnya dengan menurunkan harga minyak dan barang, menaikan subsidi kepada rakyat dan memperjuangkan nasib peneroka Felda, menaikkan elaun guru, menaikkan gaji kakitangan awam dan sebagainya. Bukankah perkara yang disebut-sebut ini ada kaitan langsung dengan rakyat. Ada benarnya pandangan Khir Toyo bahawa pemimpin tidak perlu melayan Anwar sedemikian rupa semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. Memburuk-burukkan Anwar Ibrahim tidak akan menambahkan sokongan rakyat kepada kerajaan sebaliknya apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat akan mampu mengubah persepsi rakyat terhapa pemimpin-pemimpin kerajaan. Namun dapat dilihat bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi BN hari ini seperti Perdana Menteri, gagal untuk menyelami kehendak rakyat. Bahkan mereka seakan terus menjauhkan rakyat daripada mereka. Apa tidaknya isu pokok yang ada kaitan langsung dengan kehidupan rakyat seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kenaikan kos hidup dan merosotnya kuasa beli rakyat, gagal ditangani oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib. Beliau gagal memberikan tumpuan terhadap isu-isu pokok ini yang menyebabkan rakyat melihat bahawa Najib telah gagal sepenuhnya sebagai Perdana Menteri 1 Malaysia. Tanyalah kakitangan kerajaan yang tidak terlibat dengan mana-mana anutan politik, adakah mereka mengagumi kerajaan Datuk Seri Najib? Dalam zaman Pak Lah sebelum harga minyak  beliau naikkan, para kontarktor amat menyanjung beliau khususnya pemegang lesen kelas F. Demikian juga dengan kakitangan kerajaan yang dinaikkan gaji dalam penggal pertama beliau menjadi PM, namun kerana gagalnya beliau memahami kehendak hati nurani rakyat, minyak dinaikkan sesuka hati secara mendadak menyababkan rakyat amat muak dan jelek dengan beliau akhirnya. Namun dalam era Najib ini, ramai rakyat di luar ini yang amat benci dan jelek mendengar ucapan Datuk Seri Najib. Banyak slogan, program transformasi, dasar-dasar baru dan sebagainya, tetapi hakikatnya semua apa yang dilakukan itu tidak dirasai oleh rakyat. Apakah masalah dasar ini gagal diselami oleh Datuk Seri Najib? Apakah menyerang, menekan atau memburuk-burukkan pihak lawan itu lebih utama untuk meraih sokongan rakyat? Memburuk-burukkan seseorang , tidak bermakna orang itu akan terjejas imejnya, jangka pendek mungkin ya, tetapi dalam jangka panjang orang akhirnya akan mampu menilai kebenaran dakwaan itu. Bahkan pepatah yang menyatakan bahawa jika kita menuding jari menunjukkan keburukan seseorang,  terdapat lagi empat jari yang menuding ke arah kita. Analogi atau kiasan ini ada benarnya. Orang yang cuba memburuk-burukkan sesorang itu hanya memperlihatkan kebusukan hati si pelaku atau paling tidak jika dia beragama Islam, akan memperlihatkan si pelaku itu bukan manusia yang baik dan jujur. Suka mengaibkan orang lain. Bukankah mendedahkan keaiban orang lain itu bertentangan dengan agama?
     Untuk meraih sokongan rakyat tidak perlulah menekan atau memburuk-burukkan pihak lawan, bagi saya memadailah jika pemimpin-pemimpin BN hari ini memahami masalah rakyat  secara ikhlas dan cuba membantu mereka secara menyeluruh. Bila rakyat merasai usaha kerajaan itu, insyallah rakyat tidak akan menghiraukan apa pun yang cuba didedahkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tentang rasuah, tentang penyelewengan, apa tah lagi yang menyentuh soal-soal peribadi. Dalam era Mahathir, amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan sebagainya  bukan tidak berlaku, tetapi rakyat tidak ambil kisah pun kerana hidup mereka selesa. Pada waktu itu masih ada yang tidak berumah tetapi perut kenyang, harga barang keperluan tidaklah begitu membebankan berbanding hari ini, bahkan pelbagai kritikan dan cemuhan terhadap beliau yang memang ada benarnya,  juga gagal mengalihkan sokongan rakyat terhadap beliau. Seperti yang pernah saya sebut dahulu sebahagian besar rakyat tidak kisahpun asalkan kebajikan rakyat terjaga. Malangnya hari ini pelbagai subsidi ditarik, dinilai semual dan diubahsuai pemberiannya. Akibatnya subsidi itu tidak menyeluruh dan hanya segelintir sahaja yang dapat menikmatinya. Sebahagian besar rakyat masih terus terbeban. Kakitangan kerajaan khususnya amat terkesan dengan kenaikan harga minyak dan disusuli dengan harga barangan dan keperluan harian. Petani pula terus tertindas dan dieksploitasi oleh orang tengah. Harga getah naik tetapi orang tengahlh yang mengaut keuntungan yang besar. Harga kelapa sawit naik tetapi pekebun yang tidak diberikan lesen untuk menjual kelapa sawit terus menjadi mangsa. Dalam keadaan demikian sudah pastinya kenaikan minyak dan barang keperluan turut membebankan golongan petani ini juga.
     Jadi, adakah kerajaan yang diketuai oleh Datuk Seri Najib ini masih boleh mendabik dada dengan menyatakan bahawa hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membangunkan negara sedangkan dalam masa yang sama, ketika BN masih berkuasa, rakyat terus terbeban dengan pelbagai kos hidup yang melambung tinggi. Hakikatnya, mereka gagal memahami keperluan dan kehendak sebenar rakyat jelata. Mereka gagal untuk membantu rakyat meringankan bebanan hidup. Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin pembangkang seakan-akan dapat menyelami kehendak rakyat. Mereka dapat menyelami masalah yang dihadapi rakyat. Mereka mengaitkan kepincangan kerajaan; rasuah, ketirisan, kronisme, nepotisme, salah urus tadbir,  penyalahgunaan kuasa dan sebagainya dengan keperitan hidup yang dialami oleh rakyat hari ini. Mereka dapat memberikan fakta-fakta yang rasional dan masuk akal bahawa kepincangan kerajaanlah yang menyebabkan keperitan hidup rakyat hari ini. Kerajaan gagal menyelesaikan masalah-masalah pokok yang membelenggu hidup rakyat menyebabkan sebahagian besar rakyat terkesan dengan janji-janji pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka meuar-uarkan bahawa kerajaan yang boros hari ini menyebabkan rakyat menanggung pelbagai kos hidup. Dan tomahan yang belum pasti kebenarannya itu, memikat hati rakyat. Keperitan hidup yang dialami rakyat menjadikan mereka percaya terhadap apa sahaja yang didedahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Anak-anak muda yang gagal mendapat pekerjaan yang baik sudah pastinya mudah dipengaruhi dengan dakyah-dakyah tersebut.
     Oleh kerana itu, pada saya  pelbagai dakwaan dan pendedahan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kerajaan tidak harus dihiraukan. Bahkan dakwaan liwat itu pun ada baiknya ditarik balik. Biarlah dia kata apa pun, yang penting sebahagian besar kebajikan rakyat negara ini harus dijaga. Bebanan hidup yang tinggi wajar diselesaikan, gaji kakitanhgan kerajaan  perlu dinaikkan untuk meningkatkan kuasa beli mereka,  masalah pekerjaan anak-anak muda wajar diselesaikan manakala produk-produk pertanian perlu diselia agar harga hasil pertanian itu tidak mengalami kejatuhan yang mendadak sehingga memberikan kesan kepada petani, harga minimum dan maksimum getah khususnya perlu ditetapkan agar orang tengah tidak boleh mengaut keuntungan secara suka hati, orang-orang tengah perlu dikawal. Pendek kata hidup rakyat tidak harus disusahkan. Biarlah rakyat hidup selesa, tenang dan tidak dibebani dengan pelbagai kos hidup sebagaimana zaman Tun Mahathir. Sesetengah orang masih mengutuk Tun Mahathir, namun sebahagian besar rakyat tidak menghiraukannya kerana pada waktu itu Tun Mahathir berjaya menyelesakan hidup rakyat. Tambahan pula ada cadangan dan saranan Tun Mahathir yang berkenaan di hati rakyat. Berbeza dengan Pak Lah sehingga hari ini orang masih merasa benci dan muak dengan Pak Lah, bukan sahaja kerana beliau dilihat lembab tetapi beliau telah berjaya menyusahkan hidup rakyat.  Terserahlah kepada Datuk Seri Najib, sama ada mahu rakyat terus mencemuh dan membenci beliau dan isterinya atau berusaha mengambil hati rakyat dengan meringankan bebanan hidup mereka.
     Bila hidup rakyat selesa, saya fikir segala tomahan Pakatan Rakyat tidak akan memberikan kesan kepada rakyat. Sebaliknya jika usaha ditumpukan untuk menekan dan memburuk-burukkan pemimpin pembangkang sedangkan dalam masa yang sama perkara pokok yang dihadapi rakyat tidak diselesaikan, saya pasti bukan sahaja imej pemimpin-pemimpin pembangkang melonjak tinggi bahkan segala cakap dan saranan mereka akan didengar oleh rakyat seluruhnya. Terserahlah kepada pemimpin-pemipin BN. Menekan dan terus memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat atau membantu meringankan bebanan hidup rakyat. Keputusan di tangan mereka namun kuasa yang ada pada mereka terletak di tangan rakyat.
    
    

5 ulasan:

geronggang berkata...

saya tidak pasti samada komen dan coretan saya ni bertepatan atau tidak dengan maudhu' yang di bawa oleh tuan namun saya pasti ada titik pertemuan di antaranya... ada perkara yang saya cukup benci dengan beberapa kalimah daripada pimpinan yang berbunyi "kita tak perlukan pembangkang", "pembangkang tak boleh buat apa-apa", "ini semua dakyah dan putar belit pembangkang" dan lain-lain lagi yang senada dengan kalimah-kalimah contoh yang saya berikan itu. sedarkah pimpinan atasan semua yang kita mendiami sebuah negara yang kononnya demokrasi tapi kalimah-kalimah tadi itu menunjukkan seolah-olah kita mahu amalkan autokrasi. apa tidaknya? dah tidak perlu pembangkang, hapuskanlah demokrasi kalau begitu. kita kena terima hakikat, untuk maju, kita perlukan pembangkang yang kuat. ini yang perlu disedarkan kepada masyarakat terutamanya saluran 1. wallahua'alam

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dengan saudara geronggong, kerajaan hari ini tidak demokratik. Amalana demokrasi sudah mati di negara ini yang ada hanya pada nama sahaja. SPR, PDRM, SPRM, mahkamah dan pelbagai agensi lagi menjadi cawangan UMNO. Mereka pro UMNO dan BN. Sebab itu banyak penylewengan dilakukan pemimpion UMNO dan kerajaan dibiarkan begitu sahaja, betapa malangnya kita dibawah pemimpin-pemimpin UMNO laknat ini.

Tanpa Nama berkata...

Kalau orang Melayu ini bijak dan tidak mudah lupa, BN sudah lama berkubur. Ahli-ahli UMNO sendiri pun dah muak dengan pemimpin-pemimpin BN. Perjumpaan semalam di stadium Melawati Shah Alam menceritakan bahawa gelombang reformasi semakin menjadi kenyataan. Tindak memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat bukan jalan pintas untuk meraih sokongan.

Tanpa Nama berkata...

Kalau orang Melayu ini bijak dan tidak mudah lupa, BN sudah lama berkubur. Ahli-ahli UMNO sendiri pun dah muak dengan pemimpin-pemimpin BN. Perjumpaan semalam di stadium Melawati Shah Alam menceritakan bahawa gelombang reformasi semakin menjadi kenyataan. Tindakan memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat bukan jalan pintas untuk meraih sokongan. DSAI makin popular. Padan muka pemimpin UMNO.

Tanpa Nama berkata...

Saya benci pemimpin UMNO kerana mereka sanggup menjual negara untuk kekel berkuasa. IC dan taraf kerakyatan diberikan kepada PATI sewenang-wenangnya. Celaka punya pemimpin UMNO. Pergi mampuslah pemimpin-pemimpin UMNO.