Harakahdaily |
SHAH ALAM, 2 Mac: Pengumuman terbaru pimpinan BN tentang insentif tawaran baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka Felda menunjukkan bahawa BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat. Demikian kata Pengarah Komunikasi PKR yang juga Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan medianya. Semalam Tan Sri Muhyidin Yassin terus menerus menuduh pelaksanaan buku Jingga akan memufliskan negara. Januari lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyifatkan bahawa Buku Jingga Pakatan adalah populis dan tidak bertanggungjawab. "Kami dimaklumkan bahawa beliau mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak. "Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara," kata Nik Nazmi. Harakahdaily difahamkan, Jasa yang terletak di bawah Kementerian Penerangan juga menganjurkan diskusi khas mengenai Buku Jingga. Turut dijemput adalah pemimpin Perkasa iaitu, Dr Zubir. Tawaran Baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta. Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara. Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka Felda boleh dituntut menerusi tiga pilihan. Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula. Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004. Bayaran sebanyak RM5000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi Felda masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit. Pakatan telah mengumumkan bahawa Felda Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan ketiga Felda. Malang sekali, kata Nik Nazmi, ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab. "Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga," katanya. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam post yang lalu bahawa apa yang dijanjikan dalam Buku Jingga Pakatan rakyat, kerajaan BN juga mampu melaksanakannya. Keputusannya terletak ditangan kerajaan atau lebih tepat lagi pemimpin-pemimpin BN dan UMNO, sama ada mahu atau tidak. Juga mungkin bergantung kepada keutamaan kerajaan, rakyat atau golongan korparat. Ini bermakna kerajaan tidak akan dan tidak mungkin akan bankrap atau muflis sebagaimana yang pernah didakwa perdana menteri sebelum ini. Sebab itulah agaknya Datuk Seri Najib tidak mahu menerima cabaran Datuk Seri Anwar untuk berdebat secara terbuka. Bila saya berpandangan begini bukan bermaksud saya sudah menyertai PKR atau Pakatan Rakyat. Tapi sebagai rakyat yang begitu terkesan dengan kenaikan kos hidup hari ini, saya juga secara neutralnya setuju dengan apa yang dijanjikan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat. tersebut. Janji-jani yang dilontarkan itu bukanlah janji yang keterlaluan atau tidak berpijak di bumi nyata. Sebaliknya jika diperhalusi semua yang dijanjikan dalam Buku Jingga itu boleh dilaksanakan atau ditunaikan |
sama ada oleh kerajaan atau Pakatan Rakyat. Memang benar janji Pakatan Rakyat itu hanya akan tinggal janji jika mereka gagal membentuk kerajaan dalam PRU ke-13 kelak dan tidak boleh kita katakan bahawa Pakatan Rakyat telah memungkiri janjinya, kerana ruang dan tempat tidak diberikan kepada mereka. Kalau ruang diberikan kepada mereka, barulah kita atau rakyat boleh menilai apakah mereka ini hanya suka menabur janji atau sebaliknya seperti mana yang dilabelkan oleh pemimpin-pemimpin BN selama ini.
Dalam keadaan begini, ada jug baiknya pemimpin-pemimpin BN mengkaji dan meneliti apa yang terdapat dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat itu dan melaksanakanya tanpa berselindung. Sebagai rakyat biasa, kita tidak kisah pun siapa yang menelurkan idea tersebut, tetapi apa yang lebih penting ialah kesejahteraan rakyat. Bahkan pemimpin-pemimpin BN boleh mengumumkan bahawa dasar yang dilaksanakan itu tercetus daripada idea yang terdapat dalam Buku Jingga. Akan hinakah pemimpin-pemimpin BN dan UMNO jika mengakui bahawa sesuatu dasar atau program itu diambil daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat? Sudah tentunya tidak. Bahkan rakyat akan melihat bahawa pemimpin-pemimpin BN lebih ikhlas dan bersungguh-sungguh membantu rakyat. Apa sahaja idea yang munasabah, l;ogik dan baik akan diambil. Seorang pemimpin yang baik, amanah dan bertanggungjawab ialah pemimpin yang mudah menerima pandangan dan pendapat orang lain. Pemimpin UMNO hari ini dilihat begitu sombong dan tidak menghiraukan rakyat walaupun pelbagai keluhan disuarakan melalui pelbagai saluran khususnya media elektronik; facebook, twitter, blog dan sebagainya. Ini menjadikan rakyat terlalu geram dan marah. Menunggu hari sahaja menterjemahkan kemarahan itu dalam bentuk undi. Dan kalau mungkin melalui undi tidak berjaya, apakah peristiwa di Mesir itu tidak mungkin akan berlaku di sini?
Dari aspek lain pula, pihak Pakatan Rakyat tidak perlulah mendabik dada dan marah kepada pemimpin BN kerana melaksanakan apa yang terkandung dalam Buku Jingga itu seperti mana yang diulas oleh Pengarah Komunikasi PKR dalam artikel di atas. Sepatutnya mereka mengalu-alukan langkah kerajaan itu demi kebaikan rakyat. Janganlah melihat perkara itu dari sudut politik semata-mata. Bukalah sedikit minda dan bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya bebanan rakyat dapat dirimngankan. Bahkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat harus memuji tindakan para pemimpin UMNO itu khususnya perdana menteri kerana akhirnya mendengar keluhan rakyat melalui suara pemimpin-pemimpin pembangkang. Tindakan Pengarah Komunikasi PKR itu hanya memperlihatkan betapa tidak ikhlasnya mereka untuk membantu rakyat. Cara Pengarah Komunikasi PKR itu memulangkan paku buah keras kepada Najib hanya mengundang persepsi negatif rakyat terhadap mereka.
Sebenarnya tidaklah banyak perkara yang diciplak oleh pemimpin BN dari Buku Jingga Pakatan Rakyat itu, bahkan apa yang diumumkan oleh TPM baru-baru ini tidak menyeluruh. Hanya beberapa orang guru sahaja yang boleh menikamtinya. Semua guru masih mengharapkan elaun RM500 sebulan kepada setiap guru di seluruh Malaysia. Dan jika diteliti, gurulah yang banyak berhutang kerana desakan hidup dan keprluan semasa. Mereka tidak ada ruang untuk menambahkan pendapatan. Guru-guru disekat dengan pelbagai peraturan. Mereka yang patuh kepada peraturan dan lurus bendul inilah yang kerap kali menghadapi masalah kewangan. Mereka bekerja lebih masa tetapi tidak ada bayaran kerja lebih masa. Dalam kebanyakan perkara, guru sering kali mengeluarkan wang dari kocek sendiri untuk menjayakan sesuatu program. Justeru guru memang mengharapkan elaun RM500 daripada kerajaan.
Oleh kerana itu, saya berharap semua pemimpin di negara ini bersikap positif dan proaktif. Jangan melihat dan meneliti sesutau itu dari sudut politik semata-mata. Letakkanlah diri dan lihat dari sudut rakyat pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan