Rabu, 25 Mei 2011

Saya Bersetuju Dengan Tuan Aspan Bahawa Toleransi Politik Di Negara Ini Sudah Luntur Demikian Juga bTulisan Hisyamuddin Rais (Tukar Tiub); Berikut Saya Perturunkan Pandangan Dan Tulisan Tuan Aspan dan Hisyamuddin Rais,

Toleransi politik yang sudah luntur

Kerana terlalu banyak politiking kita lupa kepada asas politik yang sebenarnya. Kesungguhan dalam politik sudah tiada bagi kita orang Melayu. kita melebihkan tumpuan kepada politiking; siapa yang menang dan siapa yang kalah, siapa yang berkuasa dan siapa yang tidak berkuasa. Politik yang asasi, iaitu politik yang membawa penyatuan secara jujur sudah tiada. Politik dan kuasa adalah empunya orang yang berkuasa.

Apabila kita menjadi ahli sesebuah parti matlamatnya ialah untuk menyatukan pemikiran dia antara ahli-ahli dan jika ada perbezaan kita ‘co-exist’ dalam parameter toleransi yang luas. Di awal zaman kemerdekaan negara dahulu pemimpin-pemimpin kita dari berbilang kaum telah meletakan asas kerjasama di antara parti yang di asaskan kepada kaum-kaum di negara ini. Orang Melayu dengan UMNOnya, orang Cina dengan MCAnya dan India dengan MICnya.

Orang Melayu, Cina dan India bekerjasama di antara satu dengan lain melalui kekuatan sokongan parti masing-masing dan telah berjaya membawa negara kearah kemajuan yang pesat dan imej Malaysia yang mundur telah menjadi sejarah. Perbezaan pendapat bukannya tidak wujud tetapi oleh kerana ketelusan di antara pemimpin-pemimpin puak dan kaum maka perbezaan itu mampu dikawal dalam semangat toleransi yang tinggi.

Dalam pada itu, seperti juga negara-negara demokrasi yang lain kita ada beberapa buah parti pembangkang yang dibenarkan wujud dan membenarkan parti-parti itu bergiat mengikut undang-undang yang sedia ada. Semua parti itu adalah parti yang halal di sisi undang-undang tubuh dan ditadbir oleh pendaftar pertubuhan. Hanya Parti komunis Malaya (PKM) sahaja yang telah diharamkan kerana parti itu memilih untuk mengangkat senjata bagi mendapatkan kuasa pemerintahan negara.

Tidak menjadi kesalahan jika sesiapa menyokong parti-parti ini, kerana parti ini adalah halal di sisi undang-undang negara. Di dalam sebuah negara demokrasi parti-parti pembangkang ini merupakan parti-parti alternatif yang mempunyai hak untuk memerintah jika diberikan mandat oleh rakyat yang memilih. Itu adalah asas demokrasi yang tulin.

Di Amerika Syarikat parti-parti Demokrat dan Replublican bergilir-gilir mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah. Begitu juga di Britain; Parti Buruh dan Conservative bergilir-gilir memerintah negara itu mengikut kehendak rakyat. Sekarang ini pula Britain ditadbir oleh kerajaan campuran Coservative dan parti Liberal Demokkrat dan itu juga kehendak rakyat dan bukannya kehendak parti-parti itu.

Di negara demokrasi seperti di Britain parti yang memerintah menghormati kehendak dan selera rakyatnya. Tidak terdapat tekanan kepada rakyat di kawasan yang diwakili oleh parti pembangkang. Tidak ada pula mana-mana parti yang memerintah mengingatkan rakyat supaya berterima kasih kepada kerajaan yang telah membekalkan air bersih, membekalkan api letrik, memberikan subsidi gigi palsu dan membina jalanraya kecil ataupun lebuhraya.

Di dalam pilihanraya di Germany tidak ada kedengaran kerajaan yang memerintah meminta rakyatnya mengenang jasa parti pemerintah kerana memberikan pelajaran percuma kepada rakyat sehingga keperingkat universiti dengan buku teks percuma. Begitu juga di kesemua kesebelasan negara-negara Scandinavia.

Tidak pernah kedengaran pemimpin Parti Buruh semasa memerintah Britain mengingatkan rakyat dalam kempennya supaya mengingati jasa parti itu kerana telah membekalkan boat-boat nelayan dan sebagainya. Kalau kita memandu di Lebuhraya M25 di kotaraya London tidak ada pula papan tanda yang mengingati rakyat yang projek perumahan yang ada di tepian lebuhyara itu sebagai ‘satu lagi projek kerajaan campuran Conservative dan Lib Demokrat.’

Pemimpin-pemimpin negara-negara seperti ini menumpukan sepenuh masa untuk perancangan membangunkan negara. Tidak ada Ahli Parlimennya turun padang untuk melepaskan anak itek atau anak ayam atau mengadakan majlis penyerahan lembu pawah di depan kamera TV3 dan TV1 dan sebagainya kononya sebagai kaedah mendekati rakyat.

Di negara itu pemimpin-pemimpinnya secara fisikal tidak mendekati rakyat. Tetapi yang mendekati rakyat ialah dasar-dasar dan perlaksanaan dasar yang sempurna yang tidak ada ketirisan dalam membelanjakan wang dan harta rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka tidak ada progran turun padang kerana yang turun padang ialah dasar serta perancangan pembangunan yang baik untuk mereka yang di gubal oleh pemimpin-pemimpin mereka yang berkerja keras sebagai ahli Legislatif. Dasar-dasar yang baik amat dirasai rakyat itu mendekati mereka. Parti Conservative atau Parti Buruh tidak mempunyai ahli yang berjuta-juta orang orang seperti parti kita di sini.

Yang rakyat hendak tengok ialah dasar-dasar yang baik yang dihormati orang ramai yang boleh meyakinkan mereka sebagai dasar yang mesra rakyat, bukannya pemimpin yang mesra rakyat. Tidak guna mempunyai pemimpin yang mesra rakyat tetapi dasar yang digubal tidak memberikan impak secara terus kepada orang ramai. Zaman berkempen dengan hanya menepuk belakang pengundi sudah lama menjadi sejarah. zaman bercakap dengan manis mulut sudah tidak laku lagi. Slogan yang sedap di dengar tidak membawa apa-apa lagi.

Pemimpin yang dipilih oleh rakyat ialah pemimpin yang dirasakan mempunyai kemampuan untuk berfikir dan melunaskan tanggungjawab untuk menggubal dasar yang baik bagi negara…. tidak kira dari parti kerajaan atau pembangkang kerana parti kerajaan membawa bersama pemimpin pembangkang untuk membina dasar yang baik untuk negara tadi.

Apabila ada pihak di sini memuji sistem di negara-negara maju ini pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang mengidap penyakit ‘inferiority complex’ akan menyelarnya dengan mengatakan yang kita mempunyai demokrasi adunan sendiri dan tidak perlu ikut demokrasi orang lain.

Kita wajar memulakan langkah untuk memperkayakan demokrasi di negara kita ini. Alangkah eloknya jika semua pihak diberikan peluang untuk menghubungi rakyat melalui saluran media perdana seperti saluran TV nasional supaya masing-masing parti boleh mendekati rakyat dengan mudah. Pembangkang yang dituduh bertalu-talu kononnya membuat fitnah tidak akan dapat berbohong seperti yang cuba dimomokan kerana mereka bercakap terus kepada rakyat melalui TV dan saluran media yang lain. Lagi pun stesyen TV itu dibangunkan dengan wang rakyat yang terdiri dari cukai-cukai yang dikutip dari semua rakyat termasuk ahli-ahli UMNO, DAP, PAS, PKR dan parti-parti yang lain.

Jika peluang ini terbuka kepada semua pihak maka barulah rakyat dapat menilai parti mana yang baik pada pandangan masing-masing pengundi dan memilihnya di dalam peti undi semasa pilihanraya yang di adakan. Salah benar tentang apa yang dikatakan oleh mana-mana pihak biar orang ramai yang menilainya. Ianya penting kerana negara ini adalah kepunyaan rakyat bukannya kepunyaan Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan sahaja. Di negara kita jiwa pemimpin-pemimpin kita terlalu kecil dan fakir yang menyebabkan mereka tidak berani memberikan ruang untuk parti-parti lain untuk berhubung dengan rakyat melalui saluran perdana tadi.

Banyak negara yang dahulu menekan pihak yang membangkang sudah mula terbuka demokrasinya. Contohnya Indonesia telah melakukan transformasi yang besar di dalam sistem pilihanrayanya. Pemimpin-pemimpin pembangkang sekarang boleh menyampaikan pesanan kepada rakyat melalui media perdana elektronik dan cetak, malahan Indonesia sekarang ini merupakan sebuah demokrasi yang terbesar di Asia selain dari India.

Di Singapura baru-baru ini rakyat bebas bercakap melalui media perdana dan akhirnya rakyat membuat pilihan dengan mengekalkan kerajaan yang sedia ada dengan undi popular yang jauh lebih rendah dari dahulu. PAP merasakan yang popularitinya telah menurun maka sebelum rakyat terus menyahkan sokongan kepada parti itu maka Lee Kuan Yew telah menolak tawaran untuk berada di dalam kabinet baru Singapura. Sebabnya isu beliau merupakan isu besar dalam pilihanraya itu walaupun beliau sendiri memenangi kerusi kawasannya tanpa bertanding.

Beranikah mana-mana pemimpin yang jelas tidak di senangi oleh rakyat menarik diri walaupun mereka tahu keadaan itu adalah ‘real’ dan nyata? Jawabnya; tidak berani, kerana kononnya kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Pemimpin kita rela partinya jatuh bersama dengan mereka. Untuk berhenti dan berkorban untuk menyelamatkan negara tidak sekali. Kalau parti kalah rakyat akan dipersalahkan.

Dulu ada pemimpin besar kita kata, “menang satu undi pun saya tetap menang. Kalau kalah sekali pun saya boleh meminta sokongan dari Parlimen”. Itulah dia demokrasi acuan kita sekarang ini.TUAN HAKIM YANG MULIA
Mahkamah Malaysia telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim wajib menjawab tuduhan yang diajukan oleh Saiful. Pelbagai reaksi telah saya baca. Ada yang berkata mahkamah tidak telus. Ada yang berkata mahkamah dipergunakan. Dan paling lawak datangnya dari beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat sendiri yang menganggap Mahkamah Malaysia telah tidak berlaku adil.

Dari apa yang saya baca saya sini saya melihat jelas ada kejulingan. Ada kejulingan yang amat besar yang sedang dihadapi oleh ramai aktivis politik dalam PKR. Kejulingan ini juga terdapat dikalangan beberapa pimpinan PKR sendiri.

Kejulingan ini muncul hasil dari kegagalan memahami apa itu politik. Kejulingan ini menjadi buta jika gagal memahami hubungan antara politik dan ekonomi. Gagal memahami politikal ekonomi maka gagallah semua pembacaan dan analisa politik terkini.

Kejulingan pandangan politik ini telah juga mempengaruhi orang biasa – orang ramai yang bacaan dan analisa politiknya kurang. Ini menjadi bahaya besar. Bayangkan kalau tuan gurunya juling dan rabun bolehkah anak muridnya mendapat pencerahan.

Oleh itu untuk memahami apa yang berlaku sekarang mari kita kembali memahami salasilah politik Tanah Melayu. Pada satu ketika dahulu Tanah Melayu ini mengamalkan sistem feudal. Kunci dan asas sistem feudal ialah tanah sebagai punca ekonomi yang utama.

Dalam sistem ekonomi feudal semua kekuasan dimiliki oleh Raja dan kaum kerabat Istana. Kaum feudal ini memiliki dan menguasai semua tanah yang menjadi punca ekonomi pada ketika itu. Semua orang Melayu dan Orang Asal pada ketika itu tertaklok dibawah kuasa Raja dan Istana.

Untuk memastikan sistem feudal ini kukuh dan berkuasa – si Raja telah mengupah apa yang kita kenali sebagai panglima dan juak juak istana. Mereka inilah yang menjadi penguat kuasa dalam sistem feudal. Mereka menjadi pemungut cukai dan juga tukang pukul.

Sistem ekonomi feudal Melayu ini diubah oleh penjajah British yang memperkanalkan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisma sebagai sistem ekonomi telah lama berkembang di Barat. Negara-negara kapitalis Barat - Britain, Peranchis, Jerman, Italy, Portugal dan Sepanyol semuanya mencari tanah-tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk menambah harta kekayaan negara mereka.

Di Tanah Melayu dengan licik British telah mengubah dari sistem Raja Mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Apabila Tanah Melayu dikatakan merdeka pada tahun 1957 dahulu, British telah meninggalkan sistem ekonomi kapitalis dan lembaga-lembaga aparatus yang menjalankan tugas untuk memastikan sistem ekonomi kapitalis ini bertapak dan berkembang maju di Tanah Melayu.

Semenjak tahun 1957 – Tanah Melayu meneruskan sistem ekonomi kapitalis dalam sistem Raja Beperlembagaan. Melalui Perlembaagan Tanah Melayu ini telah diwujudkan Parlimen sebagai lembaga pengubal undang-undang. Di wujudkan Lembaga Kehakiman untuk menjadi pereka dan pentafsir undang-undang. Untuk memastikan undang-undang ini dikuat kuasakan telah didirikan apa yang dipanggil Lembaga Kepolisian. Raja-Raja Melayu terus diwujudkan sebagai Raja Berperlambagan untuk mastikan timbang tara adil kepada warga anak semua bangsa.

Di canangkan keseluruh pelusuk negeri bahawa lembaga-lembaga ini memiliki rujukan sendiri. Lembaga-lembaga ini dikatakan bergerak bebas. Badan-badan ini bergerak sebagai neraca - mengimbang dan mengawal perjalanan tamadun moden. Lembaga-lembaga daulah ini diwujudkan untuk memastikan warga negara anak semua bangsa akan mendapat keadilan.

Tersenyumlah para pembaca sekelian. Ini bukan kerana saya membuat lawak. Sebenarnya apa yang saya tulis diatas adalah sandiwara politik dan perlembagaan yang ditinggalkan oleh British. Pada awal kelihatan lembaga-lembaga ini berfungsi seperti yang dicita-citakan. Tetapi lama kelamaan semuanya lupus.

United Malays National Organisation telah berkuasa lebih dari 50 tahun. Hasilnya lembaga-lembaga ini semua telah pudar dan tidak berfungsi seperti yang dicita-citakan. Semakin lama United Malays National Organisation berkuasa semakin mandul lembaga-lembaga ini

Justeru apabila Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah ianya bukan lagi mahkamah yang di terima oleh Tunku Abdul Rahman dari Bristish. Bangunan Mahkamah di Jalan Duta memang dilihat gah kerana ini adalah projek kroni. Mahkamah ini bukan indah khabar dari rupa tetapi tidak ada khabar dan langsung tidak ada rupa. Ini adalah mahkmah peninggalan Mahathir Muhamad.

Sultan Mansor Shah di zaman Melaka dahulu sekali gus menjadi : mahkamah, menjadi hakim dan menjadi pendakwa. Raja-raja di zaman itu tidak berselindung dan bersandiwara. Hari ini lembaga-lembaga daulah yang kita temui masih berselindung dan bersandiwara. Bersandiwara dengan tujuan untuk menipu orang ramai.

Orang ramai perlu diberitahu bahawa – hakim, polis, mata-mata, mahkamah, menteri – tidak ada hubung kait. Semua badan ini bebas bergerak. Anwar Ibrahim dibicarakan oleh Mahkamah yang bebas dan berwibawa. Siasatan dijalankan oleh polis dengan rapi dan berhemah. Hakim pula adalah seorang insan yang telus, jujur dan boleh dipercayai. Jangan ketawa – ini bukan pendapat saya. Inilah adalah lawak yang selalu kita dengar dalam kes perbicaraan Anwar Ibrahim.

Pada hakikatnya semua lembaga-lembaga daulah yang wujud hari ini – Raja, Mahkamah, Kehakiman, Akhbar, Polis, Mata-Mata – malah apa sahaja – semuanya tunduk dan mengikut arahan United Malays National Organisation. Malah kalau di zaman kesultanan Melayu dahulu, jika Raja Bersiong di Kedah zalim - orang Kedah yang dizalami ini boleh berpindah ke Kelantan. Hari ini tidak mungkin lagi. Kalau Sultan Johor zalim, suka ambil bini orang – rakyat boleh bangun melawan dan membunuh Sultan yang zalim ini. Ini tidak mungkin berlaku hari ini.

Kalau di zaman kesultaan Melaka dahulu yang menjadi penguat kuasa dan pemungut cukai hanyalah panglima dan juak juak Sultan. Hari ini dalam sistem kapitalis moden telah diwujudkan satu jabatan khusus untuk memungut cukai. Manakala untuk pertahanan tak perlu juak dan panglima lagi - telah ada bala tentera yang moden termasuk adanya kapal selam dari Peranchis.

Sebagai penguatkuasa - Lembaga Kepolisian dan mata-mata telah ditubuhkan. Polis dan mata-mata ini sama peranan nya seperti panglima dan juak Istana – menjadi kaki pukul. Apa yang berbeza dari zaman Sultan Mansor Shah ialah hari ini polis memiliki pakaian seragam dan tidak lagi menerima itik, ayam atau beras sebagai rasuah. Polis dan mata-mata hari ini menerima wang tunai.

Amat jelas bahawa semua lembaga-lembaga ini telah menjadi pekakas untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Lalu timbul persoalan - kenapa dan apa yang mengikat lembaga-lembaga dan sosok yang mewakili lembaga-lembaga ini? Kenapa mereka terus tunduk kepada kuasa United Malays National Organisation?

Bila persoalan ini timbul maka saya ingatkan kembali betapa pentingnya memahami politikal ekonomi. Apa yang mengikat lembaga-lembaga ini dengan United Malay National Organisations ialah kepentingan ekonomi. Polis, soldadu, mata-mata, pegawai kerajaan dan para hakim semuanya makan gaji. Mereka dibayar upah oleh kerajaan. Jelas, ekonomi mereka bergantung kepada kuasa yang ada pada United Malays National Organisation.

Jika telah dapat memahami apa yang saya tulis diatas maka amatlah mudah untuk memahami kes Anwar Ibrahim. Kita tidak perlu memiliki apa apa illusi, atau termimpi-mimpi akan keadilan. Atau seperti beberapa pemimpin PKR yang terperanjat dengan keputusan Mahkamah Jalan Duta.

Anwar disingkir oleh Mahathir Muhamad kerana Anwar mengganggu perjalanan ekonomi kapitalis yang dikepalai oleh Mahathir Muhamad. Mahathir dan kuncu-kucunya tidak lagi yakin kepada Anwar sebagai pembela dan penjaga kaum pemodal seperti Daim, Ananda, Vincent, Lim Goh Tong. Kaum pemodal yang menjadi kroni Mahathir sedang menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1997/98. Anwar mengabaikan kepentingan para pemodal dan cukong ini. Ini kesalahan Anwar. Bontot Azizan atau Lubang Saiful ini hanyalah sandiwara.

Pada hemat saya apabila Anwar berjaya mengumpulkan tenaga dan membawa satu politik baru pada pilihanraya yang lalu – kaum pemodal dan para cukong yang dahulunya memusuhi Anwar merasa diri mereka dalam bahaya. Musuh-musuh lama Anwar berkumpul kembali. Mereka berkomplot untuk menetaskan Lubang Saiful sebagai stratiji baru. Kali ini Anwar Ibrahim wajib ditamatkan – politik dan terakhir ini dalam kes sabotaj kereta – membuktikan hayat Anwar juga wajib ditamatkan.

Pada ketika ini kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah – berRaja dimata dan berSultan dihati. Justeru, perlu ada sandiwara untuk meminggirkan Anwar dari orang ramai dan dari penyokongnya. Anwar sekali lagi di tuduh meliwat dan dibicarakan.

Sandiwara ini juga dipentaskan untuk memuaskan hati beberapa Ngo, badan hak asasi luar negara dan negara-negara luar yang berniaga dengan Malaysia. Sandiwara ini hendak membuktikan bahawa kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah. Tetapi hakikatnya kezaliman yang wujud sekarang lebih buruk lagi dari zaman Sultan Mansor Shah dahulu

Tuan Doktor, pegawai polis, mata-mata, hakim, peguam, Peguam Negara, Pendakwa Raya – semua ini adalah pelakon yang dibayar upah oleh United Malays National Organisation. Mereka semuanya menumpang hidup dengan kuasa United Malays National Organisation. Kenaikan pangkat, derajah kebesaran yang mereka dapati – mereka dipanggil Datuk dan Tan Seri - semuanya bergantung kepada United Malay Natyional Organisations. Mereka ini adalah aparatus dan pekakas dalam sistem ekonomi kapitalis.

Mereka akan dianggap gila dan sasau jika mereka berani melakukan sesuatu yang bertentangan dengan skrip yang telah ditulis. Hari ini para pelakon telah dilatih. Prop dan pentas telah disediakan. Mak Andam telah dilanggan. Babak akhirnya ialah Anwar Ibrahim akan didapati bersalah dan akan masuk ke penjara.

Saya berkata demikian seawal mungkin agar tidak ada sesiapa pun yang akan menganggap Mahkamah Malaysia ini adil dalm kes Anwar Ibrahim. Saya katakan bahawa Anwar Ibrahim akan dipenjara agar para aktivis dan pemimpin PKR lebih banyak membaca dan kurangkan berilusi. Ini bukan pandangan juling, bukan angan-angan atau mimpi-mimpi. Kasar bunyi cakap saya ini tetapi apa yang saya tulis ini adalah realpolitik.(TT)

nota:
tulisan ini telah disiarkan
dalam Suara Keadilan yang sekarang
dalam pasaran. Sesiapa yang ingin
berlanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45


Saya benar-benar bersetuju dengan pandangan Tuan Aspan, sebagai ahli UMNO yang amat kerdil dan mungkin dianggap tidak memberikan kesan kepada pemimpin-pemimpin hari ini, saya juga terpanggil untuk mengulas tulisan Tuan Aspan. Tulisan beliau memang relevan dan tepat dengan tingkah laku para pemimpin UMNO dan kerajaan hari ini. Dapat dilihat bahawa para pemimpin hari ini tidak ada nilai amanah, bertimbang rasa, toleransi jauh sekali ikhlas untuk membangunkan negara dan rakyat. Banyak dasar yang dibuat serampang dua mata. Pertama sekali untuk keuntungan YB-YB atau Pak Menteri, itu yang lebih utama. Manfaatnya dasar itu kepada rakyat  tidaklah penting sangat, sebab itulah  harga sesuatu projek itu akan lebih tinggi berbanding kos sebenar. Hasil kerja kontraktor yang diamanahkan pun tidak sesempurna yang diharapkan. Yang penting Pak Menteri Untung, si kontraktor untung dan sedikit manfaat kepada segelintir rakyat.
     Bila disedari rakyat tidak lagi menyokong mereka, maka para pemimpin mulalah menekan pemimpin pembangkang yang berusaha menyedarkan rakyat. Melalui SPR, dan JPN strategi mula diatur agar mereka kekal berkuasa. Akibatnya timbul sikap ego, angkuh dan lupa diri. Tanggungjawab untuk negara dan rakyat diketepikan. Yang lebih penting ialah mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Tidak mungkin akan lahir kerjasama apatah lagi permufakatan untuk membangunkan rakyat bersama pemimpin pembangkang. Pemimpin pembangkang bagi para pemimpin BN adalah musuh yang perlu dihancurkan karier ploitik mereka secara total. Untuk menghancurkan karier seteru, maka segala agensi yang boleh membantu mereka terus dipengaruhi dan dipaksa tunduk dibawah telunjuk mereka. Oleh sebab itu segala yang insiden yang berlaku  hari ini, semuanya lakonan dan sandiwara yang terancang. Rakyat yang tidak buta hatinya akan cuak dan muak para pemimpin yang suka berlakon ini. Hanya mereka dipengaruhi ekonomi yang masih diam dan membisu tetapi tetap berbisik meluahkan kebencian kepada kerajaan.
    Kajian terhadap harga minyak mungkin merupakan satu lagi sandiwara untuk menaikkan harga barang keperluan itu. Dalam hal ini, jika kerajaan tidak berupaya membatalkan perjanjian dengan IPP, syraikat penerima subsidi terbesar negara, maka agaknya dalam pilihan raya akan datang, rakyat perlulah membuat perjanjian bertulis kepada parti-parti yang bertanding. Sesiapa yang akan berkuasa, maka sibsidi yang diberikan tidak boleh ditarik. Segala janji ketika pilihan raya hendaklah dibuat secara hitam putih. Mungkin dalam bentuk perjanjian. Jika mereka menjadi pemerintah dan gagal pula menunaikan segala janji yang ditaburkan dalam pilihan raya, maka setiap rakyat berhak menuntutnya di mahkamah sebagaimana syarikat besar boleh menuntut kerugian kepada kerajaan. Setujukah pemimpin kita jika ini dilaksanakan? Saya pasti jawapnya tidak. Kerana perjanjian dengan rakyat itu tidak akan menguntungkan mereka. Kerajaan sanggup membayar 19 bilion kepada IPP kerana mereka juga mendapat labanya. Demikian juga perbezaan harga getah dan sawit di Sabah dan Semenanjung. Siapa yang mendapat keuntungan daripada perbezaan itu. Sudah tentunmya para pemimpin BN hari ini. Tidak mungkin pemimpin pembangkang.
     Kita tunggu sahajalah pilihan raya akan datang. Banyak rakyat di luar ini tanpa mengira anutan politik mahukan perubahan. Kami perlukan kerajaan yang bijak menjaga kepentingan rakyat bukan kroni dan ahli-ahli koparat semata-mata. Kami mahu menamatkan kegilaan pemimpin hari ini. Kami tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin yang tidak berkeperimanusiaan, suka melanggar moral dan batas-batas kemanusiaan. Jika para pemimpin hari ini menginsfai hakikatnya ini, mereka tidak perlulah menggunakan pelbagai strategi tidak bermoral untuk kekal berkuasa. Kami rakyat biasa ini, tidaklah terlalu dungu untuk memahami apa yang berlaku. Wallahu'alam bisawab.


Tiada ulasan: