Rabu, 13 Oktober 2010

Apakah Sejarah Kerajaan Berjaya Akan Berulang Lagi?

KUANTAN – Penyertaan 215 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Lepar Utara dalam UMNO kelmarin adalah satu pembohongan bagi menarik semula kepercayaan pemimpin tertinggi.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman mendakwa, pembohongan itu berlaku mungkin ada kaitan dengan pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selain masalah pemimpinnya.

Menurutnya, perkara itu tidak pernah berlaku dan beliau dimaklumkan hanya lima ahli PKR sahaja yang menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO.

“Bagaimana pula mereka boleh kata seramai 215 ahli PKR masuk UMNO sedangkan jumlah sebenar ahli yang ada di Felda itu ialah 103 dan 18 Ranting di semua Felda di negeri ini.

“Memang mereka boleh berbohong dalam politik tetapi pembohongan itu tidak lama. Mereka sebenarnya bimbang dengan perkembangan positif parti ini yang sudah mempunyai sokongan di Felda,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar mengenai perkara itu di rumahnya, semalam.

Beliau berkata, banyak hikmah yang berlaku dengan pembohongan ini kerana ada ahli UMNO yang tampil memaklumkan kepadanya mengenai pembohongan berkenaan.

“Hari ini pun, kita menerima ahli baru dan sehingga hari ini jumlahnya mencecah 215,” katanya.

Fauzi berkata, penerimaan PKR di kawasan Felda membanggakan kerana sudah ada penubuhan Ranting PKR di semua Felda sejak lebih setahun lalu.

Sinar Harian semalam melaporkan seramai 215 ahli PKR Ranting Lepar Utara di sini kecewa dengan kepimpinan parti dan membuat keputusan menyertai UMNO.

Mereka menyerahkan borang keahlian UMNO kepada ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman di Pejabat UMNO Paya Besar.

Bercakap mengenai pilihan raya kecil di Galas, Mohd Fauzi berkata, Pahang menawarkan menghantar kira-kira 40 wakil PKR untuk membantu calon Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya di kawasan itu
.


Bila membaca berita seperti dalam petikan di atas, saya teringat semula dalam zaman kerajaan Berjaya Di Sabah. Walaupun pada masa itu Sabah membangun dengan pesat dibawah kerajaan Berjaya, namun sokongan rakyat semamin merudum. Ini kerana banyak perkara yang dilakukan oleh kerajaan yang mengguris hati rakyat. Tindakan kerajaan yang terus menekan dan menindas pemimpin pembangkang pada masa itu yang diterajui Datuk Pairin Kitingan telah menyebabkan rakyat simpati kepada Datuk Pairin. Rakyat mula membenci dan muak dengan kerajaan Berjaya. Apa yang disiarkan dalam media rakyat mendengar tetapi mereka tidak percaya. Demikian jugalah apa yang berlaku kepada UMNO hari ini. Tindakan yang keterlaluan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin pembangkang hari ini, menjadi salah satu elemen penting yang meniupkan kebencian rakyat kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan BN. Tapi apa yang menghairankan, kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin Berjaya terus diulang oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka tidak pernah mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku pada masa lampau.
     Perkara kedua, semasa kemerosotan pengaruh dan sokongan kerajaan Berjaya, maka banyaklah berita-berita keluar parti disiarkan dalam media cetak dan media elektronik. Hampir setiap hari ada sahaja berita tentang keluar parti disiarkan. Pada waktu itu internet dan hand phone belum wujud. Orang kampung dan rakyat mudah ditipu, tetapi bila pilihan raya diadakan pada tahun 1985, kerajaan Berjaya tewas dengan pukulan ko. Hanya 6 kerusi yang dapat dipertahankan daripada 36 kerusi dewan undangan negeri. Walaupun pelbagai gula-gula dan propaganda yang disiarkan namun kerana rakyat sudah tidak mempercayai media kerajaan, maka kempen tersebut gagal. Maka berkuburlah parti Berjaya.
    Apakah media arus perdana hari ini mahu berita-berita yang disiarkan itu tidak dipercayai rakyat secara total  maka barulah mereka insaf dan sedar. Jangan sudah terantuk baru tengadah.

  

Tiada ulasan: