Salah satu punca Sabah terus ketinggalan jauh ialah kerana sikap pemimpin-pemimpinnya yang tamak. Jika rakyat Malaysia serta negara ini dikatakan ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain yang dulunya setaraf dengan kita, maka rakyat dan negeri Sabah amnya lebih jauh ketinggalan di belakang kerana sikap pemimpin-pemimpinnya yang tamak haloba. Semasa saya belajar pada tahun 80-an, menurut kajian geografi pada masa itu, Sabah adalah antara negeri yang terkaya di Malaysia. Kawasan hutan balaknya yang luas ditambah dengan royalti minyak yang cuma 5% yang diserahkan oleh Petronas kepada kerajaan negeri Sabah, sudah memadai menjadikan Sabah antara negeri yang makmur. Sayangnya kemakmuran dan kekayaan negeri tidak dinikmati oleh rakyat seluruhnya. Sebaliknya pemimpin-pemimpin Sabah yang datang dan pergi silih berganti menjadi kaya raya dan hidup bermewah-mewah.
Mereka tahu dan sedar bahawa rakyat Sabah terlalu bodoh dan mudah diperdayakan dengan pelbagai janji dan putar belit. Kerakusan dan ketamakan pemimpin-pemimpin Sabah mengaut kekayaan negeri menyebabkan hari ini Sabah adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia. Kerajaan Sabah kini terpaksa mengemis dan memohon bantuan dan ehsan daripada kerajaan pusat untuk membantu rakyatnya yang seakan-akan baru bangun daripada lena yang panjang. Rakyat Sabah yang mula sedar dengan kerakusan pemimpin-pemimpinnya pada hari ini, mudah pula dipancing dengan nilai wang ringgit dan projek-projek, walhal projek-projek besar terus dibolot oleh pemimpin-pemimpin.
Saya ambil satu contoh, mengapa kontraktor-kontraktor kelas F kurang kerja atau projek yang sesuai dengan pemegang lesen kelas F di negeri ini. Salah satu sebab utamanya ialah kerana pemimpin-pemimpin BN Sabah khususnya UMNO telah mengambil kerja-keraj yang seharusnya dilaksanakan oleh pemegang lesen kelas F dan diserahkan kepada syarikat-syraikat besar yang kebanyakannya dimiliki oleh pemimpin-pemimpin utama ini.
Syarikat Kekal Mewah, Lintasan Resource, serta dua buah lagi syarikat besar miliki pemimpin utama BN Sabah serta kroninya telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan jalan-jalan raya di Sabah dalam tempoh 15 tahun. Kerja-kerja tersebut sebenarnya sudah cukup untuk kontraktor-kontraktor kelas F jika kerajaan hari ini benar-benar mahu membantu kontraktor-kontraktor kelas F ini secara ikhlas. Sayangnya peluang tersebut telah dirampas dengan pelbagai dasar kerajaan yang hanya menguntungkan mereka dan kroni sahaja. Dan adalah mustahil untuk kontraktor-kontraktor kelas F ini melaksanakan pula kerja-kerja yang bernilai jutaan ringgit. Dimanakah logik dan munasabahnya dasar kerajaan BN Sabah hari ini. Saya fikir kerja-kerja memotong rumput di bahu jalan tidak perlu menggunakan syarikat besar seperti dilaksanakan hari ini. Apakah kerja-kerja sedemikian juga memerlukan jurutera yang tidak dimiliki oleh kontraktor-kontraktor kelas F? Nampaknya sikap rakus dan tamak haloba pemimpin terdahulu terus diwarisi oleh pemimpin-pemimpin BN hari ini. Ini cuma satu daripada banyak dasar yang dilaksanaklan oleh kerajaan BN untuk membantu kroni serta memenuhkan kocek mereka sendiri. Hasil dasar ini ialah kerja-kerja kontraktor kelas F berkurang dan susulan daripada itu juga ialah pembakuan permohonan lesen kontraktor kelas F. Sudah hampir dua penggal lesen kelas F dibakukan, namun rakyat masih belum insaf bahawa pemimpin BN hari ini adalah pemimpin chauvinstik. Pemimpin yang cuma memikirkan dasar yang boleh menguntungkan diri sendiri dan kroni. Jangan terperanjat jika suatu hari nanti lesen kontraktor kelas F ini dihapuskan atau tiada lagi permohonan baru dibenarkan dan semua kerja yang berkaitan dengan pembinaan diserahkan kepada syarikat-syarikat besar yang cuma mampu dimiliki oleh yb-yb dan kroni-kroni mereka. Rakyat Sabah khususnya perlu mengambil iktibar terhadap kerakusan pemimpin terdahulu yang menyebabkan Sabah hari ini menjadi miskin dan berhutang. Sebagai rakyat yang cinakan nnegeri dan negara ini marilah kita menolak pemimpin-pemimpin seumpama ini pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan