Saya tidaklah mengikuti sepenuhnya ucapan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, namun saya sempat mendengar ucapan beliau dalam sedutan berita di TV 9. Antara perkara yang menraik hati saya sebagai ahli UMNO dan rakyat biasa ialah berkaitan isu politik sate. Saya bersetuju dengan beliau bahawa amalan politik sate dalam parti UMNO memang berleluasa dan amalan ini menyebabkan ramai kalangan rakyat yang cuba menjauhi parti UMNO khususnya generasi baru. Namun amalan ini sebenarnya sudah mendarah daging dalam budaya berpolitik UMNO dan bukan mudah untuk mengubahnya. Perubahan boleh dilakukan jika pemimpin-pemimpin UMNO yang ada pada hari ini mengubah amalan ini kerana kebanyakan yang berada dalam pucuk kepimpinan hari ini adalah antara yang mengamalkan budaya yang tidak sihat ini.
Termasuklah Khairy Jamaluddin, sama ada beliau sedar atau tidak, beliaulah yang perlu menjadi contoh kepada orang bawahannya khususnya golongan belia bak kata orang kepimpin melalui teladan. Saya harap seruan itu bukan sahaja ditujukan kepada orang lain tetapi seruan itu sepatutnya lebih kepada untuk memperbaiki diri sendiri.
Selain itu, ketua pemuda itu juga ada menyebut tentang perkhidmatan pemimpin-pemimpin khususnya UMNO, menurut beliau pemimpin wajarlah berkhidmat secara ikhlas dan amanah kepada rakyat. Kebajikan rakyat itu perlu diutamakan dan bukan setakat cuma dibibir sahaja sebagai amalan mereka selama ini. Mereka sebenarnya memahami ini tetapi jika diteliti ada kalanya pemimpin-pemimpin ini bertindak bodoh dan tidak faham. Lepas perhimpunan, segala usul yang dibentang dan dibincangkan hanya tinggalan kenangan. Mereka akan kembali kepada sikap dan amalan lama. Oleh kerana itu pemimpin-pemimpin UMNO tidak harus menyalahkan ahli-ahli UMNO akar umbi jika sebahagian besar daripada mereka mula beralih sokongan dan perhatian kepada pemimpin-pemimpin pembangkang. Amalan menyalahkan orang lain tidak harus menjadi budaya mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO patut bermusahabah diri secara ikhlas dan jujur apa yang telah mereka lakukan selama ini. Rakyat menyokong pembangkang bukan kerana pemimpin-pemimpin pembangkang yang hendak memusnahkan Parti UMNO itu tetapi kerana sebahagian besar pemimpin UMNO hari ini cakap lain tetapi buat lain. Tidak perlulah saya ulas panjang lebar tentang perkara ini tetapi apa yang jelas ucapan pemimpin UMNO hari ini tidak lagi mampu mempengaruhi sokongan dan perhatian rakyat bawahan kerana mereka cuma cakap tetapi perlaksanaannya nihi. Indah khabar dari rupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan